أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ (١٣)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”.
(Surah Al-Hujurat 49:13)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Suka untuk saya mengingatkan saudara-saudara sekalian agar tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan berhentilah dahulu dari bermain telefon bimbit. Dengar dengan tekun khutbah ini. Mudah-mudahan ia membawa banyak pengajaran kepada kita semua.
Khutbah pada hari ini bertajuk: “Syawal Dirai, Ukhuwah Dipeduli.”
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Alhamdulillah, pada hari ini kita masih lagi dalam kegembiraan Syawal. Kegembiraan ini bukan sahaja milik hari pertama Syawal tetapi Islam membuka ruang seluas-luasnya untuk kita meraikan keberkatan Bulan Syawal sepanjang bulan. Syariat tidak melarang kita meraikan Syawal selama sebulan bahkan seluruh Bulan Syawal merupakan masa yang mulia untuk kita terus menyambutnya dengan penuh kesyukuran, dalam batasan yang dibenarkan syarak.
Memeriahkan sambutan Syawal memberikan kita peluang yang besar untuk memperkukuhkan silaturahim bersama keluarga, jiran tetangga, dan rakan taulan. Dalam zaman serba moden ini, kita menghadapi pelbagai cabaran – ada yang terikat dengan tugas, berjauhan tempat tinggal, atau menghadapi kekangan tertentu yang menghalang kita untuk berkumpul pada hari pertama Syawal. Oleh itu, sambutan secara berperingkat dalam tempoh sebulan ini selari dengan semangat Islam yang meraikan kepelbagaian dan memudahkan urusan umatnya. Rumah terbuka dan amalan ziarah-menziarahi boleh diadakan secara terancang untuk mengelakkan kesesakan, pembaziran dan keletihan yang berlebihan.
Saudaraku Yang Dikasihi,
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13 sebagaimana yang saya baca pada awal khutbah tadi bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa silaturahim merupakan asas perpaduan dalam masyarakat. Sambutan Syawal selama sebulan harus dijadikan medan untuk memohon kemaafan, menyantuni keluarga dan merapatkan hubungan yang mungkin telah renggang. Inilah masanya untuk kita kembali kepada fitrah kemanusiaan, saling memaafkan dan mengukuhkan ikatan kasih sayang.
Memeriahkan sambutan Syawal tidak sepatutnya berhenti sekadar adat, tetapi sepatutnya menjadi pendekatan dakwah yang membudayakan kasih sayang dan kepedulian dalam masyarakat. Ada sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’; yang maksudnya:
“Allah Azza wa Jalla berfirman: Telah wajib kasih sayang-Ku untuk orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, yang duduk bersama kerana Aku, yang saling menziarahi kerana Aku, dan yang saling memberi kerana Aku”.
Lihatlah betapa besarnya ganjaran dalam menjalin hubungan sesama manusia. Justeru, kita boleh memanfaatkan bulan ini bukan sahaja untuk beramal ibadah, tetapi juga dengan usaha mempererat tali kasih sayang dalam kalangan umat melalui amalan kunjung-mengunjung.
Para Tetamu Allah Yang Dimuliakan,
Sehubungan dengan itu, Syawal seharusnya menjadi pemangkin kepada sikap peduli kita terhadap saudara-saudara yang lain terutamanya yang sedang dilanda musibah, bencana atau penderitaan.
Episod duka yang saban waktu mencengkam umat Islam di Palestin tidak boleh kita abaikan. Hipokrasi Barat dan sekutunya hanya menguntungkan zionis Israel sejak sekian lama. Rakyat Palestin terus tersepit di sebalik kepura-puraan yang dikuasai oleh media kawalan Barat. Umat Islam di Palestin kini terus menjadi mangsa kekejaman rejim zionis Israel. Rumah-rumah mereka dibom, mereka dibakar hidup-hidup dalam khemah yang menjadi tempat perlindungan, jasad anak-anak kecil berhamburan, pintu sempadan ditutup dari kemasukan bantuan, nyawa mereka terus diragut dan kehidupan mereka dilakar dengan penderitaan yang sangat sukar untuk kita bayangkan. Inilah ujian yang mereka hadapi dan dalam masa yang sama, ia juga ujian buat kita semua.
Situasi yang berlaku di Gaza merupakan manifestasi kezaliman yang nyata. Kita tidak boleh berdiam diri. Kita wajib menyokong perjuangan saudara kita di sana, sama ada melalui doa, bantuan kemanusiaan, mahupun suara lantang yang bersungguh-sungguh menentang kezaliman. Justeru, marilah kita ambil peluang ini untuk menzahirkan solidariti, menyumbang apa jua yang termampu, dan berdoa agar Allah SWT memberikan kemenangan kepada rakyat Palestin.
Oleh itu, marilah kita jadikan Syawal ini sebagai bulan untuk kembali kepada nilai-nilai mulia Islam. Sambutlah dengan hati yang terbuka, tangan yang menghulur kebaikan, dan langkah yang menuju ke arah kebersamaan dan kepedulian terhadap saudara kita yang lain. Semoga usaha kita dalam meraikan Syawal sepanjang sebulan ini diterima sebagai ibadah di sisi Allah SWT.
Sebagai penutup khutbah, renungkan beberapa saranan ini:
Pertama: Raikan Syawal dengan rasa syukur dan teruslah memperkukuhkan silaturahim melalui amalan kunjung-mengunjung.
Kedua: Menyambut Syawal selama sebulan bukan sekadar adat, tetapi boleh menjadi pendekatan dakwah yang membudayakan kasih sayang dan kepedulian dalam masyarakat
Ketiga: Umat Islam tidak boleh berdiam diri terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Kita wajib menyokong perjuangan saudara kita di sana, sama ada melalui doa, bantuan kemanusiaan, mahupun suara lantang yang bersungguh-sungguh menentang kezaliman.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa, ayat 75:
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهْلُهَا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّۭا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا (٧٥)
Bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)” (Surah An-Nisa 4:75)
Tarikh Bacaan: 12 Syawal 1446H | 11 April 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment