Soalan
Suami saya menyimpan koleksi kereta Hot Wheels untuk hiasan sahaja. Anak-anak tidak bermain dengan koleksi beliau. Apakah hukum hobi beliau ini?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Hobi dalam Islam
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘hobi’ bermaksud kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama, seperti mengumpul setem, membaca, bermain bola sepak dan sebagainya.
Sejak dahulu manusia mempunyai kecenderungan untuk melakukan sesuatu perkara yang diminati secara konsisten yang bukan daripada ketetapan tanggungjawab dirinya atau pekerjaan. Perkara ini sememangnya fitrah manusiawi yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia agar kehidupan yang mereka lebih bervariasi.
Hobi juga merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia yang memberikan kepuasan dan kerehatan minda. Dalam Islam, hobi bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi ia boleh menjadi satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul serta tidak melanggar syariat.
Islam adalah agama yang menitikberatkan keseimbangan antara dunia dan akhirat, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:
وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ
Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
[Surah al-Qasas 28:77]
Selain itu, Islam juga membenarkan hobi yang berlandaskan nilai-nilai yang baik dan tidak melalaikan diri daripada menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim. Di samping itu, antara aktiviti yang digalakkan kepada umat Islam agar dilakukan adalah memanah, berenang dan berkuda. Hal ini berdasarkan kepada hadis Ibn Umar RA yang menyebutkan:
عَلِّمُوا أَبنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ والرَّمْيَ، والمَرْأَةَ الْمِغْزَلَ
Maksudnya: “Ajarkanlah anak-anak kamu berenang dan memanah, serta (ajarkan) wanita memintal benang.”
Hadis ini menunjukkan kepentingan aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga bermanfaat untuk kesihatan jasmani dan persiapan diri. Oleh itu, hobi dalam Islam seharusnya memberikan kebaikan sama ada dari sudut fizikal, mental, mahupun spiritual.
Hukum Menyimpan Koleksi Kereta Mainan Hot Wheels Sebagai Hobi
Hot Wheels adalah sebuah jenama kereta mainan berskala kecil yang dikeluarkan oleh syarikat Mattel sejak tahun 1968. Ia terkenal dengan reka bentuk kreatif, warna menarik, kelajuan tinggi di trek khas, serta model yang diinspirasikan daripada kereta sebenar dan konsep futuristik. Selain menjadi mainan kanak-kanak, Hot Wheels juga diminati oleh pengumpul koleksi kerana terdapat edisi terhad dan model eksklusif yang bernilai tinggi.
Hukum bermain dan menyimpan koleksi kereta mainan Hot Wheels adalah harus. Hal ini demikian adalah kerana kereta mainan tersebut termasuk dalam kategori alat permainan yang dibenarkan dalam syarak. Selain itu, ia turut berlandaskan kepada kaedah:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus.
[Rujuk al-Ashbah wa al-Naza’ir, jld. 1, hlm. 133]
Namun, perlu diingat barangan koleksi simpanan mestilah tidak terlalu berlebihan sehingga tidak digunakan dan dianggap sia-sia. Setiap harta yang kita peroleh sudah tentu akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sepertimana hadis Nabi SAW:
لا تزولُ قدَما عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يسألَ عن عمرِهِ فيما أفناهُ ، وعن عِلمِهِ فيمَ فعلَ ، وعن مالِهِ من أينَ اكتسبَهُ وفيمَ أنفقَهُ ، وعن جسمِهِ فيمَ أبلاهُ
Maksudnya: “Tidak akan bergeser dua tapak kaki seorang hamba pada hari kiamat nanti sehingga dia ditanya (dipertanggungjawabkan) tentang umurnya ke mana dihabiskannya, tentang ilmunya bagaimana dia mengamalkannya, tentang hartanya dari mana diperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, serta tubuh badannya untuk apa digunakannya.”
[Sunan al-Tirmidhi 2584]
Sebagai peringatan, kami turut menyarankan agar tidak menjadikan hobi menyimpan koleksi ini sebagai sebuah tuntutan yang mendesak sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama sebagai Muslim atau orang yang berkeluarga seperti menunaikan kefarduan solat atau memberikan nafkah kepada ahli keluarga.
Kesimpulan
Berdasarkan pernyataan di atas, Islam tidak menghalang seseorang daripada memiliki hobi selagi ia selaras dengan syariat dan memberikan manfaat kepada diri serta masyarakat. Oleh itu, diharuskan menyimpan kereta mainan Hot Wheels sebagai hobi namun mestilah dalam batasan tidak terlalu berlebihan serta tidak melalaikan diri daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya
Wallahu’alam
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment