6 Cara Menyekat ‘Overthinking’

‘Overthinking’ ialah keadaan di mana seseorang kerap berfikir secara berlebih-lebihan. Memanglah ramai yang kadang-kadang risau sedikit dalam sesuatu perkara tetapi sesetengah golongan ditimpa dengan masalah berfikir secara berlebihan dalam setiap masa dan keadaan. Mereka yang bergelut dengan masalah ‘overthinking’ ini akan mengulang-ulang perbualan yang berlaku semalam, was-was dalam setiap keputusan yang dibuat dan membayangkan hasil yang buruk pada setiap masa. Masalah ‘overthinking’ atau berfikir secara berlebihan begini adalah kronik dan perlu diperbetulkan.

Berfikir secara berlebihan mengganggu kehidupan anda kerana ianya akan menghalang anda daripada melakukan apa-apa dan tentu sekali mengganggu mood harian kerana minda sentiasa terbayang ‘hasil buruk’ yang akan terjadi jika anda membuat keputusan tentang sesuatu. 

Pernahkah terjadi di mana anda berfikir, “sepatutnya aku tak cakap perkara itu dalam mesyuarat semalam. Mesti semua orang ingat aku ni bodoh.” Bagi mereka yang pernah bertukar kerja dan kerja baharu tidak memberangsangkan, lantas minda anda akan berkata, “Kalaulah aku tak berhenti dulu, mesti aku lebih gembira sekarang.”

Adalah lebih bahaya kalau minda anda sering berkata-kata seperti ini, “Esok mesti aku akan malukan diri sendiri dalam presentation. Mesti aku lupa semua benda kan?” Atau, “Mesti semua orang naik pangkat kecuali aku.” atau “Sampai bila-bila pun aku tak boleh berhenti kerja sebab duit takkan cukup.” Pemikiran negatif ini akan merisaukan minda anda sentiasa dan ini adalah tidak baik untuk kesihatan mental. 

Dan seperti yang diketahui umum, untuk menukar tabiat bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dengan latihan yang kerap, minda boleh dilatih untuk berfikir dengan cara yang berbeza. 

Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Cuba 6 cara untuk menyekat ‘overthinking’

1. Sedar Apabila Otak Anda Terperangkap

Kerana sudah terbiasa dengan berfikir secara berlebihan, ianya menjadi tabiat otak anda dan anda tidak akan sedar atau perasan apabila anda sedang melakukannya. Beri tumpuan kepada cara anda berfikir supaya ada sedar tentang masalah yang sedang dihadapi. Apabila anda sering memikirkan sesuatu perkara berkali-kali dan risau tentang perkara di luar kawalan, sedarlah bahawa minda anda sedang ‘overthinking’. Berfikir hanya baik apabila digunakan untuk perkara-perkara di bawah kawalan dan boleh menjurus kepada hasil dan tindakan positif. Hentikan berfikir tentang perkara di luar kawalan dan perkara yang telah berlaku!

2. Fokus Pada Penyelesaian Masalah

Kerap memikirkan masalah tidak akan menyelesaikannya! Sebaliknya, fikirkanlah penyelesaian kepada masalah tersebut.  Jika ianya sesuatu di bawah kawalan anda, fikirkan bagaimana untuk menyelesaikan atau mengelakkan masalah itu daripada berlaku. Sebaliknya, jika perkara itu di luar kawalan anda seperti bencana alam, fikirkan strategi bagaimana untuk berdamai dengannya. Fokus kepada perkara yang boleh anda kawal, seperti sikap dan usaha anda. 

3. Cabar Pemikiran Anda

Manusia memang mudah terbawa-bawa dengan pemikiran negatif! Jadi, sebelum anda berfikir yang cuti sakit akan membuat anda hilang kerja, atau jika ada gagal dalam satu-satu tugasan, anda akan kehilangan pendapatan, tolonglah sedar bahawa ini semua hanyalah minda negatif anda. Ingatlah bahawa emosi akan mengganggu keupayaan anda untuk melihat situasi secara objektif. Jadi, relaks dan lihat kepada bukti-bukti yang jelas. Apa bukti jelas yang boleh menyokong buah fikiran negatif anda tadi? Apa bukti yang menyanggah fikiran negatif tersebut? 

4. Kawal Aktiviti Otak Anda

Memikirkan masalah anda untuk jangka masa yang lama adalah sangat tidak produktif, tetapi berfikir sejenak boleh membantu. Fikirkan bagaimana anda boleh berfikir dengan lebih baik, lebih positif agar anda boleh berfungsi dengan lebih baik di masa hadapan. Ambil sedikit masa untuk melayan ‘overthinking’ anda seperti 20 minit untuk anda risau dan memikirkan apa sahaja yang diinginkan. Namun, apabila masa ‘overthinking’ tamat, berhenti berfikir perkara-perkara tersebut. Dan apabila otak anda ingin kembali kepada  ‘overthinking’ , sekat dia dan ingatkan tentang masa khas tersebut. Di masa khas itu baru otak anda diberi kebenaran untuk  ‘overthinking’. Kawal aktivitu 

5. Belajar Kemahiran ‘Mindfulness’

Adalah sangat tidak perlu untuk mengingati dan mengulang-ulang dalam memori  perkara yang berlaku semalam, risau tentang perkara yang akan berlaku esok kerana anda hidup hari ini. ‘Mindfulness’ atau kesedaran ini akan membantu ada wujud di sini dan sekarang, dan tidak sibuk memikirkan semalam dan hari esok. Seperti kemahiran lain, kesedaran ini memerlukan latihan, dan apabila anda kerap melakukannya, ‘overthinking’ akan berkurangan. Apabila kita solat, kita mencari kusyuk’, kusyuk’ itu salah satu latihan mindfulness, iaitu memberi tumpuan kepada tugasan pada masa itu dan minda tidak tersasar ke tempat lain. 

6. Ubah Arah!

Memberitahu diri sendiri untuk berhenti berfikir tentang sesuatu akan membuat otak anda lebih memikirkan tentang perkara tersebut!  Oleh itu, cara yang lebih baik ialah ubah arah dengan menukar aktiviti anda. Pergilah bersenam, borak tentang subjek yang berbeza dan buat projek yang buat anda lupa tentang perkara yang membuat anda ‘overthinking’. Mengalih arah dan membuat perkara lain akan menyekat pemikiran negatif daripada berleluasa. 

Kawal dan latih minda sendiri! Apabila anda beri perhatian kepada cara anda berfikir, ini akan membuat anda perasan tabiat buruk minda anda. Bila sudah mengenalpasti tabiat ini, latih minda untuk berfikir cara yang berbeza. Dari masa ke semasa, membina tabiat yang lebih sihat akan membantu anda membina otot mental yang diperlukan untuk minda yang kuat. 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑