Asmaul Husna yang ke 94 ialah Al-Hadi yang bererti Tuhan yang menunjuk jalan kepada manusia. Kalaulah Tuhan tidak menunjukkan jalan menuju akhirat, maka mustahil manusia bertemu dengan jalan yang betul.
Allah SWT mengajar manusia supaya memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus. Iaitu jalan yang telah dilalui oleh para nabi dan rasul. Jalan syukur yang dipenuhi hidayah Allah SWT dan bukannya jalan kufur yang ditimpa kemurkaan Allah SWT.
Sebagai orang mukmin sudah semestinya mengambil pengajaran daripada sifat Al-Hadi. Manusia juga seharusnya memiliki perangai atau kecenderungan suka menunjuk jalan, supaya orang lain terutamanya kaum keluarga, kaum kerabat, jiran sekampung dan sahabat seperjuangan mendapat petunjuk Allah SWT. Orang yang sedar bahawa dia memiliki Tuhan yang bernama Al-Hadi, nescaya dia tidak akan senang hati dengan hanya duduk berdiam diri sahaja tanpa melakukan kerja menyeru manusia kepada petunjuk Allah SWT.
Mereka mesti berbakti di kalangan masyarakat manusia seperti mengajar ilmu yang menunjuk kepada keredaan Allah SWT, serta menjadikan dirinya bermanfaat kepada manusia. Sesungguhnya Rasulullah SAW sangat gembira jika seluruh umatnya menjadi golongan yang melaksana tugas sebagai penunjuk jalan kepada masyarakat dunia seluruhnya.
Manusia jangan mengadakan sesuatu agenda yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT seperti mengadakan peraturan yang bertentangan dengan hukum Allah SWT, atau mengadakan program maksiat yang melalaikan manusia dari jalan Allah SWT.
Empat Jenis Hidayah
Hidayah adalah anugerah Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang ingin dikurniakan. Hidayah sama sekali tidak boleh ditentukan oleh manusia, apatah lagi diwarisi daripada mereka yang telah mendapat hidayah.
Apabila seseorang mendapat hidayah daripada Allah SWT, maka dia tergolong daripada kalangan mereka yang yang bertuah. Hidayah boleh memandu manusia melalui lorong-lorong kebenaran yang boleh membawa kepada keredaan Allah SWT. Apabila keredaan Allah SWT telah menaungi hidup seseorang maka cahaya kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat akan bersinar.
Ini bermakna mereka yang diberikan hidayah adalah mereka yang telah ditunjukkan jalan untuk menuju ke syurga yang penuh nikmat.
Adapun hidayah Allah SWT itu terbahagi kepada empat jenis:
1. Hidayah Bersifat Umum
Hidayah yang Allah SWT berikan kepada setiap makhluk; tertanam dalam fitrah masing-masing. Hidayah bermakna petunjuk jalan. Justeru, hidayah berbentuk umum ini bermaksud semua makhluk itu diberikan petunjuk oleh Allah SWT. Menerusi fitrah mereka sendiri untuk mengenali keburukan dan kebaikan diri.
Firman Allah SWT:
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا(٨)
Maksudnya: “Maka mengilhamkannya akan kejahatan dan kebaikannya”
(Surah As-Syams 91:8)
2. Hidayah Berbentuk Iman
Hidayah berbentuk kurniaan Allah SWT terhadap insan-insan pilihan untuk menerima nur keimanan lantas menempatkan mereka dari kalangan orang-orang yang taat terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Allah SWT akan menyematkan di hati mereka keimanan dan keislaman yang akan menjadi asbab untuk mereka menjadi seorang yang beriman dan bertakwa.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَآءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَآءَ فَلْيَكْفُرْ
Maksud: Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.
(Surah al-Kahfi 18:29)
3. Hidayah Menuju Syurga
Hidayah itu merupakan jalan menuju ke syurga Allah SWT yang indah dan penuh nikmat. Mereka yang mendapat hidayah ini adalah mereka yang telah dilorongkan perjalanannya untuk menempatkan diri sebagai ahli syurga. Bagi mereka yang tidak berjumpa jalan ke syurga, maka mereka adalah golongan yang tersesat jalan dalam menuju ke syurga. Lantas, apabila tersesat jalan menuju ke syurga, maka nerakalah yang akan menjadi destinasi pengakhiran mereka. Ini kerana, hanya terdapat dua jalan di akhirat nanti iaitu satu jalan ke syurga dan satu lagi jalan menuju neraka jahanam.
Diriwayatkan dalam hadis, ada manusia yang dikurniakan oleh Allah SWT syurga, tanpa sempat mereka melakukan sebarang amalan. Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Semuanya disebabkan mereka mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
بيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ
Maksud: “Niat orang mukmin itu lebih baik daripada amalannya.”
(Al-Mukjam al-Kabir : 5809)
Beruntunglah mereka yang mendapat limpahan kasih sayang Allah SWT. Pasti mereka akan dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan kesejahteraan hidup di akhirat kelak.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment