Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Lisan Yang Berhikmah 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ(١٢) 

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

(Surah Al-Hujurat 49:12)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa dalam naungan rahmat Allah SWT. Saya ingin mengingatkan para jemaah agar memberikan tumpuan seketika kepada khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya kita yang sudah berada di ruang zikrullah di dalam masjid ini, tetapi minda dan jiwa masih leka dengan urusan dunia. 

Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Lisan Yang Berhikmah”. 

Kaum Muslimin Yang Berbahagia, 

Lisan kita merupakan anugerah Allah SWT yang sangat berharga. Dengannya, kita mampu mengucapkan kalimah syahadah, berzikir, menyampaikan ilmu dan kebenaran. Namun pada masa yang sama, lisan juga boleh menjadi punca kehancuran diri sendiri  dan orang lain. Kita harus sentiasa bersyukur kerana Allah SWT menegaskan pemberianNya ini melalui firman-Nya dalam Surah al-Balad ayat 8 dan 9:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

أَلَمْ نَجْعَل لَّهُۥ عَيْنَيْنِ(٨) وَلِسَانًۭا وَشَفَتَيْنِ(٩)

Maksudnya: “Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) – Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?”

(Surah al-Balad 90: 8-9)

Oleh sebab itu juga, kita harus sentiasa memperhatikan setiap perkataan dilafazkan agar ia tidak menjadi sebab terjerumusnya kita ke dalam neraka yang pedih. 

Wahai Saudaraku Sekalian, 

Lisan atau lidah kita ini seperti senjata bermata dua. Iaitu dapat digunakan untuk taat kepada Allah SWT dan juga digunakan untuk menurut telunjuk syaitan. Allah SWT juga memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang dibaca pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. 

Jika kita gunakan lisan untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa kepada Allah, untuk amar ma’ruf, nahi munkar, maka inilah yang dituntut dari seorang mukmin dan ia merupakan bentuk syukur kepada Allah SWT terhadap nikmat lisan. 

Sebaliknya, jika kita gunakan lisan untuk berdusta, bersaksi palsu, melakukan ghibah (mengumpat), namimah (batu api), qazaf, memecah belah umat Islam, merosakkan kehormatan seorang muslim yang lain, atau seumpamanya maka ini diharamkan, dan merupakan bentuk kekufuran kepada Allah SWT. 

Begitulah, besarnya fungsi lidah kita. Sama ada ia jadi penyebab diangkatnya darjat kita, atau ia jadi penyebab kepada kebinasaan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimah yang termasuk keredhaan Allah, dia tidak menganggapnya penting; dengan sebab satu kalimah itu Allah menaikkannya beberapa darjat. Dan sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimah yang termasuk kemurkaan Allah, dia tidak menganggapnya penting; dengan sebab satu kalimah itu dia dihumban ke dalam neraka Jahannam”.

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) 

Saudaraku Yang Saya Kasihi Sekalian, 

Mutakhir ini, dosa lisan bukan sekadar dengan mulut. Ia juga dengan mudahnya boleh berlaku melalui jari-jemari kita – dalam bentuk tulisan, perkongsian, dan komen yang menyakitkan. Dalam hal ini, ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam”.

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim) 

Maka, ketika menggunakan media sosial, perlunya kita menjaga adab dan antara panduan yang dapat saya kongsikan ialah; 

1. Semak Sebelum Sebar

Setiap berita yang sampai kepada kita itu perlu dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Dalam hal ini, Rasulullah SAW memberi peringatan penting kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud:

“Cukuplah seseorang itu dikira berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang didengarnya”.

(Hadis riwayat Imam Muslim) 

2. Fikir Sebelum Meninggalkan Komen 

Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum meninggalkan komen di media sosial. Jangan terlalu ikutkan emosi sebaliknya gunakanlah hujah dan fakta yang tepat. Ingat bahawa setiap perbuatan termasuk komen-komen di media sosial akan dicatat dalam buku catatan amal dan akan dibentang di akhirat nanti. 

3. Tidak Terikut-ikut Bicara Dalam Perkara yang Berada di Luar Pengetahuan Kita

Bukan semua hal yang timbul di media sosial itu perlu kita ulas. Lebih-lebih lagi halhal yang berada di luar pengetahuan kita. Serahkan kepada pihak yang sepatutnya untuk menyelesaikan sesuatu isu dan janganlah terlalu mudah membuat hipotesis atau teori terhadap sesuatu isu.

Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah al-Israa’ ayat 36;

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا(٣٦)

Maksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. 

(Surah al-Israa’ 17:36)

Saudaraku Sekalian, 

Lisan perlu dijaga dari melakukan perbuatan dosa. Apa yang dilafaz pada lisan sebenarnya mencerminkan hati seseorang. Oleh sebab itu, Nabi SAW mewasiatkan kita untuk menjaga lisan. Itulah hubung kait antara lurusnya lisan dan kelurusan hati dan iman seseorang. Dalam Musnad Imam Ahmad, dari Anas bin Malik, dari Nabi SAW, baginda bersabda yang maksudnya: 

“Iman seseorang hamba tidak akan istiqamah, sehingga hatinya istiqamah. Dan hati seorang hamba tidak akan istiqamah, sehingga lisannya istiqamah. Dan orang  Khutbah Jumaat Lisan Yang Berhikmah 5 yang jirannya tidak aman dari kejahatan-kejahatannya, dia tidak akan masuk syurga”.

(Hadis Riwayat Imam Ahmad) 

Maka, peliharalah lisan kita, sama ada secara zahir mahupun di media sosial. Rasulullah SAW menjamin seseorang yang menjaga lisannya dengan baik: Baginda SAW bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara dua rahangnya dan apa yang ada di antara dua kakinya, nescaya aku menjamin syurga baginya”.

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) 

Justeru sebelum mengakhiri khutbah, renungkan beberapa pengajaran ini; 

Pertama: Lisan atau lidah kita ini seperti senjata bermata dua; yang boleh membawa manfaat jika digunakan pada jalan kebaikan; juga boleh membawa kebinasaan jika digunakan pada jalan dosa. 

Kedua: Gunakan lisan secara berhikmah seperti memperbanyakkan berzikir dan mengajak orang lain membuat kebaikan. Inilah salah satu bentuk kesyukuran atas nikmat lisan yang dikurniakan. 

Ketiga: Jauhilah perkataan-perkataan yang boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain. Hindari juga perbuatan tuduh-menuduh, mencaci dan mencerca antara satu sama lain apatah lagi menuduh tanpa bukti dan dan melemparkan sangkaan buruk terhadap orang lain. 

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 70-71: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا(٧٠) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا(٧١)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan  Khutbah Jumaat Lisan Yang Berhikmah 6 (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”.

(Surah Al-Ahzab 33:70-71)

Tarikh Dibaca: 19 Syawal 1446H | 18 April 2025
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑