أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًۭا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ(١٣٢)
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Taha 20:132)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Khatib ingin mengingatkan para jemaah agar memberikan tumpuan seketika kepada khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang sia-sia seperti berbual-bual, bermain telefon bimbit dan seumpamanya.
Semoga kehidupan kita sentiasa dalam naungan rahmat Allah SWT. Mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “Solat Azimat Keramat”.
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Ibadah solat merupakan tuntutan dan kewajipan bagi setiap Muslim yang mukallaf. Solat juga adalah tonggak utama kepada seluruh ibadah lain dan mesti dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Solat bukan sekadar kewajipan dan tanggungjawab, bahkan menjadi penguat jiwa insan dalam menghadapi cabaran kehidupan. Solat juga merupakan bukti kesyukuran dan laluan taubat hamba kepada pencipta-Nya. Malah, ibadah yang merupakan rukun Islam kedua ini menjadi sumber kekuatan dan medium komunikasi istimewa di antara makhluk dan al-Khaliq, penciptanya.
Lantaran kepentingan dan keagungan ibadah ini, Allah SWT memerintahkan agar solat tetap didirikan dengan sempurna dan sabar oleh semua umat Islam. Perintah penuh hikmah ini dinyatakan di dalam surah Taha ayat 132 yang dibacakan pada permulaan khutbah, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Betapa besarnya kurniaan dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya! Bersama jaminan rezeki yang telah ditentukan, Allah meminta kita mendirikan solat. Namun, amat menyedihkan apabila masih ramai dalam kalangan umat Islam yang mengabaikan solat atau mendirikannya secara sambil lewa, tanpa ilmu dan tidak sempurna.
Hadirin Jumaat yang dikasihi,
Sesungguhnya solat adalah tiang agama. Tiang yang menjadi sandaran kekuatan jiwa dan kejayaan seorang Muslim di dunia dan di akhirat. Umat Islam wajib memelihara dan mendirikan solat dengan sempurna kerana ia merupakan ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Baik atau buruk amalan dan sikap kita berkait rapat dengan tahap kesempurnaan solat. Imam al-Tabrani meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya amalan yang pertama dihisab ke atas seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Jika baik solatnya maka baik segala amalannya dan jika buruk solatnya maka buruk segala amalannya.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Persoalannya, mengapa masih ramai yang mengabaikan solat? Sedangkan solat menjadi azimat keramat kerana ia membekalkan kehebatan yang membawa kemuliaan kepada mereka yang mendirikannya. Antara kehebatan dan kemuliaan solat ialah dapat menjernihkan jiwa. Jiwa hamba yang bersolat akan kuat membenteng dirinya daripada perlakuan dosa dan kemungkaran. Solat yang sempurna dapat memperteguhkan iman untuk melawan runtunan nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa meruntun ke lembah maksiat. Inilah janji Allah SWT menerusi Surah al-Ankabut ayat 45:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut 29:45)
Solat juga terbukti memberikan manfaat fizikal sekiranya dilakukan dengan tekun dan postur yang betul. Secara saintifik, solat mampu menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang dan mengaktifkan otot lantai pelvik. Sujud yang sempurna dikesan menyumbang kepada kekuatan dan fleksibiliti yang lebih baik pada otot serta mengurangkan kesakitan belakang, leher dan bahu.
Selain itu, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, seramai sejuta atau bersamaan 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan. Malah, hampir separuh daripada jumlah itu berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa, yakinlah dengan solat yang khusyuk mampu memberikan ketenangan dan kedamaian jiwa, mengurangkan tekanan perasaan serta memelihara kesihatan mental. Lantaran dengan solat yang khusyuk, manusia hakikatnya berbicara, mengadu dan berdoa kepada Penciptanya yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dan Maha Mengasihi semua hamba-Nya. Benarlah firman Allah di dalam Surah al-Ma’arij ayat 19-23:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا(١٩) إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعًۭا(٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ ٱلْخَيْرُ مَنُوعًا(٢١) إِلَّا ٱلْمُصَلِّينَ(٢٢) ٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ دَآئِمُونَ(٢٣)
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.”
(Surah al-Ma’arij 70:19-23)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar juga ingin mengingatkan agar solat yang didirikan ini disempurnakan dengan hadir berjemaah di masjid dan surau. Solat dan masjid umpama isi dengan kuku, tanpa satunya tiada sempurna. Renunglah kembali betapa nikmatnya kita mengimarahkan masjid di bulan Ramadan. Jadikan kemeriahan Syawal ini penyambung momentum imarah bukan pemutusnya. Bawalah bersama ahli keluarga untuk turut serta mengimarahkan masjid agar manfaat dan kebaikannya dapat kita rasai dan nikmati bersama.
Mengakhiri khutbah, beberapa saranan dititipkan untuk perhatian dan tindakan bersama;
Pertama: Dirikan solat dan kekal menunaikannya. Solat ialah azimat yang menjamin ketenangan, kebahagiaan dan kemuliaan hidup kita di dunia dan di akhirat.
Kedua: Didik ahli keluarga mendirikan solat. Pastikan anak-anak dan isteri kita mendirikan solat lebih-lebih lagi secara berjemaah di masjid. Sesungguhnya, solat memberikan keberkatan dan nilai yang tinggi kepada kehidupan mereka.
Ketiga: Dirikan solat dengan khusyuk. Kuasai ilmu tentang solat dan usahakan kefahaman, penghayatan serta khusyuk untuk mencapai kejayaan sebenar insan beriman.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 1-2:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ(١) ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ(٢)
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
(Surah al-Mukminun 23:1-2)
Tarikh Bacaan: 19 Syawal 1446H | 18 April 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment