Psikologi Gelap Dan 9 Taktik Manipulasi Psikologi

Psikologi Gelap merujuk kepada kajian dan penggunaan prinsip psikologi untuk memanipulasi, mempengaruhi atau mengawal orang dengan cara yang negatif dan memudaratkan. Psikologi Gelap meneroka bagaimana individu menggunakan taktik seperti manipulasi, paksaan, dan penipuan untuk mencapai matlamat mereka dengan merugikan orang lain.

Antara taktik manipulasi psikologi gelap yang popular ialah dengan membuat seseorang merasa bersalah, enggan mengaku penipuan sendiri walaupun terdapat bukti jelas penipuan tersebut, dan reverse psychology atau psikologi terbalik. 

Mereka yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi sering mempunyai kemahiran untuk mengendalikan situasi sosial dengan mudah dan dapat memahami emosi orang lain. Kemahiran ini membuatkan mereka senang memperoleh simpati, menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial yang berbeza, dan menyelesaikan konflik dengan baik. Namun begitu, kemahiran ini boleh disalah guna demi kepentingan diri sendiri. 

Psikologi gelap melihat bagaimana mereka yang mempunyai sikap-sikap psikopat, dan narsisisme menggunakan kemahiran ini untuk manipulasi orang-orang di sekeliling mereka menggunakan pemahaman mereka tentang emosi dan dinamik sosial orang di sekelilingnya.  

Mari Kenali Beberapa Taktik Manipulasi Psikologi: 

Paltering 

Paltering merupakan taktik memperdaya di mana seseorang bercakap benar tetapi menyembunyikan maklumat penting, mewujudkan tanggapan palsu atau mengelirukan. Sebagai contoh, apabila baru berkenalan dengan seseorang, dia memberitahu bahawa yang dia seorang yang terbuka, tidak kisah berkongsi passwords media sosial, berkongsi duit, butiran akaun bank dan sebagainya. Ini memberi tanggapan yang dia seorang yang jujur dan tidak berselindung. Namun, apa yang mungkin tidak diceritakan ialah dia seorang yang tidak mempercayai orang lain, cemburu dan sering ingin mengetahui aktiviti anda serta suka mengambil kesempatan dengan mengetahui tahap kewangan pasangannya. Jadi berhati-hatilah apabila mendengar butiran-butiran yang ‘too good to be true’ agar tidak menyesal dan terpedaya di kemudian hari. 

Gaslighting

Gaslighting ini terma yang sering diguna masyarakat masa kini. Taktik manipulasi ini adalah satu bentuk manipulasi psikologi di mana seseorang membuat orang lain meragui persepsi atau kewarasan mereka dengan menafikan kebenaran atau mengubah realiti. Apabila pasangan atau kawan kita sering memberitahu kita, “Kau berangan je kot?” atau “Mana pernah jadi macam tu?”, “Eh, macam tak betul je cerita kau ni, yang jadi macam lainlah!” yang menjadikan kita ragu-ragu dengan pengalaman atau perasaan yang kita alami sendiri. Lama-kelamaan, mangsa akan ragu-ragu dengan diri sendiri dan realiti diri sehingga merasakan dia lah punca segala masalah dalam perhubungan tersebut. 

Backstabbing

Backstabbing atau ‘tikam belakang’ ini merujuk kepada perbuatan mengkhianati kepercayaan atau keyakinan seseorang dengan mencederakan atau memudaratkan mereka secara rahsia, terutamanya selepas berpura-pura menjadi kawan. Ia melibatkan penipuan dan pengkhianatan, selalunya untuk kepentingan peribadi atau mencederakan orang lain. Sebagai contoh, Ahmad ingin naik pangkat dan dia melihat Bakar sebagai halangan. Oleh itu Ahmad berpura-pura memberi sokongan kepada Bakar dan dalam masa yang sama menyebarkan fitnah dan mengambil kredit atas kerja-kerja baik Bakar, untuk menaikkan peluangnyauntuk naik pangkat berbanding Bakar. 

Triangulation

Triangulation ialah taktik manipulasi di mana seseorang melibatkan pihak ketiga untuk memanipulasi atau mengawal situasi, selalunya dengan mewujudkan persaingan, cemburu, atau rasa tidak selamat. Contohnya, Siti cemburu dengan persahabatan di antara Nadia dan Sara. Cara yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan memberitahu Nadia apa yang dia rasa tetapi Siti memilih untuk mengumpat Nadia di hadapan Sara dengan berita-berita yang tidak menyenangkan dan ini akan membuatkan perhubungan Sara dan Nadia berantakan. 

Exploitation

Exploitation atau eksploitasi melibatkan taktik mengenal pasti dan mengambil kesempatan daripada kelemahan, rasa ragu-ragu atau ketakutan seseorang untuk memanipulasi mereka. Ini termasuk kelemahan emosi, psikologi atau fizikal. Sebagai contoh seseorang boleh mengeksploitasi kesunyian dan keinginan orang tua untuk berteman dengan berpura-pura menjadi rapat dengan mereka. Apabila orang tua ini sudah percaya, pemangsa akan mereka-reka cerita yang membuatkan orang tua ini memberikan wang yang mereka ada kepada ‘teman baharu’nya itu. 

Guilt-tripping

Guilt-tripping adalah taktik manipulasi di mana seseorang cuba membuat orang lain rasa bersalah dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka. Ini selalunya melibatkan manipulasi emosi dengan membuat pasangan atau rakan rasa bertanggungjawab terhadap sesuatu yang bukan kesalahan mereka atau membesar-besarkan kesan tindakan mereka terhadap orang lain. Sebagai contoh, rakan anda membuat anda berasa bersalah dengan berkata, “Aku ingat kau ambil berat tentang aku tapi rasanya tak kot.” Kenyataan ini dikeluarkan untuk membuat anda berasa bersalah kerana tidak memenuhi jangkaan mereka, walaupun jangkaan tersebut tidak munasabah atau tidak adil kepada diri anda.

Reverse Psychology

Reverse psychology atau psikologi terbaik ialah strategi di mana seseorang menggalakkan ‘mangsa’nya melakukan sesuatu dengan mencadangkan mereka melakukan sebaliknya, memanfaatkan keinginan mereka untuk autonomi atau menentang untuk dimanipulasi. Penggunaan reverse psychology ini sebagai contohnya, jika pasangan inginkan pasangannya meluangkan lebih banyak masa dengan mereka, dia mungkin berkata, “You mungkin taknak spend time dengan I, so pergilah lepak dengan kawan you.” Konon-kononnya dia memberi kebenaran kepada pasangannya tetapi dalam masa yang sama dia membuat pasangannya membatalkan rancangan untuk bersama rakan-rakannya dan membuat pasangannya berasa tertekan dan tidak selesa.

Love Bombing

Love bombing ialah taktik manipulasi yang digunakan untuk mendapatkan kasih sayang atau kepercayaan seseorang dengan memberi perhatian dan pujian yang melampau. Ini mewujudkan ikatan emosi yang kuat yang boleh digunakan untuk memanipulasi atau mengawal orang itu. Sebagai contoh, dalam hubungan romantis, seseorang mungkin menggunakan bom cinta ini untuk memenangi hati pasangannya dengan cepat dengan memberi mereka hadiah dan kasih sayang. Paparan kasih sayang yang luar biasa ini boleh membuatkan sasaran berasa istimewa dan disayangi, tetapi ia sering dilakukan dengan niat untuk mengawal mereka.

Negging

Negging ialah taktik manipulasi yang digunakan dalam temu janji atau interaksi sosial untuk menjejaskan keyakinan seseorang, menjadikan mereka tidak ada keyakinan diri. Ia selalunya melibatkan pemberian pujian bersadur penghinaan ringan yang menyamar sebagai pujian. Sebagai contoh, seseorang mungkin menggunakan negging dengan berkata kepada orang yang ingin didekati, “Kau ni comel juga walaupun tak pandai jaga diri .” Kenyataan ini secara halus menghina penampilan orang itu, membuatkan dia merasa tidak yakin dan bergantung kepada pemangsa untuk pengesahan. 

Apabila sudah kenal taktik-taktik manipulasi ini, kita boleh mengenali sikap orang-orang baharu yang muncul dalam hidup kita serta mengenalpasti orang-orang toksik di sekeliling kita. Pengetahuan ini bukan untuk kita mencari gaduh atau merosakkan persahabatan, sebaliknya menjadikan kita lebih peka dan tahu cara untuk menguruskan diri dan tidak terlibat dengan golongan negatif yang akan memudaratkan hidup kita. Di samping itu juga, kita dapat muhasabah diri dan mengenalpasti ciri-ciri manipulasi ini dalam diri sendiri agar kita tidak memudaratkan orang lain yang hadir dalam diri kita.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑