ASMAUL HUSNA – AL-BADI’U (Yang Maha Pencipta Yang Baru)

Asmaul Husna yang ke-95 ialah Al-Badi’u yang bererti Tuhan yang Maha Mencipta dengan ilmu- Nya sendiri. Maha Bijaksana Tuhan dapat dilihat melalui pelbagai ciptaan-Nya. Dari sebesar-besar ciptaan berbilion planet yang terapung di angkasa hingga kepada ciptaan yang terlalu seni seperti benih manusia di dalam air mani lelaki yang hanya dapat dilihat dengan mikroskop, semuanya itu satu manifestasi sifat Allah SWT yang maha mencipta sesuatu berdasarkan ilmu-Nya sendiri. Sedikitpun tidak mengharapkan bantuan ilmu daripada pihak lain. 

Betapa bijaksananya Allah SWT, Dia telah mencipta berbilion manusia sejak Nabi Adam AS hingga manusia terakhir menjelang kiamat dengan rupa paras dan watak yang berbeza-beza. Segala daya reka Allah SWT itu terkandung di dalam Asma-Nya yang mulia iaitu Al-Badi’u.

Manusia perlu mengambil pengajaran daripada sifat Allah SWT yang Maha Pencipta (Al-Badi’u), orang-orang mukmin terutamanya mesti menjadi seorang yang kreatif dan tidak pasif. Mereka juga mesti mempunyai daya usaha untuk merekacipta berasaskan idea yang berkembang bagi menghasilkan sesuatu kerja yang boleh diambil manfaat oleh orang lain, sama ada dari segi harta benda atau dari segi ilmu pengetahuan.

Dengan harta kekayaan, manusia boleh menolong orang lain. Begitu juga dengan ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi dapat menolong orang lain. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan manusia dari kejahilan. Islam tidak menyuruh manusia goyang kaki dan membiarkan otak beku. Sebaliknya hendaklah ada daya reka dan ikhtiar supaya mendatangkan manfaat buat diri sendiri dan juga orang lain. 

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑