Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Bangkit Bersama Iman, Menuju Redha Ar-Rahman 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ(٢٦) 

Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

(Surah Sad 3:26)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa dalam naungan rahmat Allah SWT. Khatib ingin mengingatkan para jemaah agar memberikan tumpuan seketika kepada khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang sia-sia seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit.

Alangkah ruginya kita yang sudah berada di ruang zikrullah di dalam masjid ini, tetapi minda dan jiwa masih leka dengan urusan dunia. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Bangkit Bersama Iman, Menuju Redha Ar-Rahman”. 

Wahai Saudaraku Sekalian! 

Hari ini, kita hidup dalam zaman yang penuh fitnah dan mencabar. Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial yang menggugat iman dan akhlak umat. Lihatlah di sekeliling kita; kes pembuangan bayi, pergaulan bebas, salah guna dadah, dan yang lebih  menyedihkan, kes sumbang mahram yang merosakkan kesucian keluarga. Tidak ketinggalan, isu seperti LGBT dan pengaruh budaya luar melalui media sosial terus menyerang melalui skrin telefon pintar yang kita genggam setiap hari. Semua ini sungguh mencabar nilai-nilai Islam yang kita junjung. Inilah tanda-tanda ujian besar yang Allah SWT berikan kepada kita dan ini bukan lagi cerita di tempat jauh, tetapi realiti yang berlaku di depan mata kita! 

Wahai Saudaraku Sekalian, 

Apakah punca semua ini? Di mana silapnya? Mari kita lihat satu persatu supaya kita dapat fikirkan dan bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih parah; 

Pertama: Lemahnya Pegangan Agama

Apabila masyarakat tidak menjadikan agama sebagai panduan hidup, mereka akan mudah terjebak dalam gejala sosial seperti zina, arak, rasuah, dan lain-lain. Semakin jauh seseorang dari peringatan Allah, maka semakin jauhlah dia tersesat dari kebenaran. Allah SWT telah memberi peringatan melalui Surah Taha ayat 124; 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ(١٢٤)

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

(Surah Taha 20:124)

Kehidupan tanpa bimbingan agama membawa kepada kekosongan jiwa, yang akhirnya mendorong kepada keruntuhan moral dan sosial. Maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk berterusan mengukuhkan pegangan akidah, memperbaiki amal ibadah, memperelok akhlak dan muamalah sesama kita. Dengan itu, terjaminlah keselamatannya di dunia dan akhirat. 

Kedua: Pengaruh Media Sosial dan Hiburan Melampau 

Budaya hedonisme dan kebebasan tanpa batas yang ditonjolkan dalam media sosial mencorak pemikiran remaja dan masyarakat, menjadikan maksiat dan kemungkaran sebagai sesuatu yang “normal”. Inilah tipu daya yang telah menjerumuskan banyak orang ke lembah kemaksiatan dan kekufuran. 

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Naml ayat 24

وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَعْمَـٰلَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ

Maksudnya: “Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar)”. 

Maka, semua orang bertanggungjawab untuk mendidik sesiapa yang berada di bawah tanggungjawabnya kerana kita semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan dengannya kelak. 

Ketiga: Kerosakan Institusi Keluarga 

Keluarga yang tidak memainkan peranan sebenar dalam mendidik anak-anak dengan nilai agama menyebabkan generasi yang lahir menjadi liar dan hilang jati diri. Imam al-Bukhari merakamkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Setiap anak dilahirkan dalam fitrah (suci). Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi”. 

Di sinilah besarnya peranan ibu bapa dan seluruh ahli keluarga. Jika rosak institusi keluarga, maka akan runtuhlah juga masyarakat. Dengan itu, nilai-nilai keibubapaan dan kekeluargaan perlu terus disebarkan dan dalam hal ini, penggunaan media sosial perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh JAKIM, agensi-agensi agama dan juga seluruh masyarakat. Keempat: Rakan yang rosak akhlak Remaja dan belia yang dikelilingi oleh rakan-rakan buruk akan mudah terbawa-bawa dengan pengaruh negatif seperti dadah, lumba haram, pergaulan bebas dan sebagainya. Ketahuilah bahawa rakan kita turut memberi pengaruh yang besar kepada corak kehidupan kita. 

Jangan nanti kita menyesal kerana tersilap memilih kawan. Inilah yang dirakamkan dalam Surah al-Furqan ayat 28: 

يَـٰوَيْلَتَىٰ لَيْتَنِى لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًۭا(٢٨)

Maksudnya: “Aduhai celakanya aku! Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!”. 

Justeru, dengan siapa kita berkawan, memberi pengaruh terhadap kehidupan kita bukan sahaja di dunia bahkan sehingga akhirat nanti. Maka pilihlah kawan yang benar-benar dapat membawa kita ke jalan yang diredhai Allah SWT dan bukan kawan yang menghancurkan hidup kita. 

Kelima: Normalisasi Maksiat dan Hilangnya Rasa Malu 

Malu merupakan cabang iman. Tanpanya, manusia akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan benar atau salah tindakannya itu. Manakala syaitan pula terus menghias maksiat supaya nampak baik padahal ia bertentangan dengan prinsip Islam. Inilah yang berlaku hari ini. Allah SWT telah memberikan peringatan yang mengerikan melalui Surah al-Israa’ ayat 16: 

وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا۟ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا ٱلْقَوْلُ فَدَمَّرْنَـٰهَا تَدْمِيرًۭا(١٦)

Maksudnya: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya”.

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Ketahuilah bahawa isu keruntuhan sosial bukan sekadar isu luaran, tetapi berpunca daripada kerosakan dalaman jiwa, dan lemahnya pegangan terhadap ajaran Islam. Solusinya ialah kembali kepada agama, ilmu dan amal. Semua pihak bertanggungjawab menangani isu sosial dan tidak hanya berharap pada sesuatu individu atau pihak. Kita tidak boleh berdiam diri melihat umat ini terus rosak. Kita jangan hanya sibuk mengutuk, mengeji atau mencela tetapi kita bertanggungjawab membimbing antara satu sama lain dengan kasih sayang.

Nasihati antara satu sama lain dan bimbinglah mereka yang telah tergelincir untuk masuk semula ke landasan. Didiklah anak-anak kita supaya memahami batas syariat, kenal yang mana baik dan buruk serta sibukkan mereka dengan aktiviti kekeluargaan. Akhirnya, semua pihak perlu memainkan  peranan masing-masing dan bekerjasama dalam menyediakan ruang nasihat, bimbingan kaunseling, pendidikan, dan perlindungan. 

Justeru sebelum mengakhiri khutbah, renungkan beberapa pengajaran ini; 

Pertama: Allah SWT menguji kita dengan tujuan kita bersatu hati menangani dan menyelesaikannya menurut acuan dan ajaran Islam. 

Kedua: Kita perlu berusaha mengembalikan umat ini kepada landasan Islam yang sebenar dari sudut akidah, syariah, akhlak, muamalah dan seterusnya. Ketiga: Kita jangan hanya sibuk mengeji tetapi bertindaklah mengikut bidang kuasa dan keupayaan masing-masing. Membiarkan umat ini terus rosak adalah kesilapan terbesar yang membawa kita menuju kehancuran dan kemurkaan Allah SWT. 

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 19:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَـٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (١٩)

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”.

(Surah An-Nur 24:19)

Tarikh Dibaca: 26 Syawal 1446h | 25 April 2025 
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑