أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً أَوْ ظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا۟ ٱللَّهَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلُوا۟ وَهُمْ يَعْلَمُونَ(١٣٥)
Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
(Surah Ali Imran 3:135)
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita diizinkan Allah untuk bertemu dengan Jumaat terakhir dalam bulan Syawal yang mulia ini.
Teruslah bersabar mematuhi suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Biarlah Syawal ini menjadi saksi, bahawa kita tidak kembali kepada kebiasaan lama yang melalaikan, sebaliknya terus melangkah dalam jejak ketakwaan.
Suka untuk khatib mengingatkan diri dan para jemaah sekalian. Dengarlah khutbah ini bukan sekadar dengan telinga, tetapi dengan hati yang terbuka. Lupakan sejenak hiruk-pikuk dunia. Redakan keresahan jiwa. Saat ini kita berada di dalam rumah Allah, yang setiap saatnya penuh barakah. Alangkah ruginya jika jasad berdiri di saf jemaah, namun hati mengembara tanpa arah. Sedangkan setiap butir nasihat di atas mimbar ini, adalah suluhan menuju keselamatan di akhirat. Maka hari ini, khatib akan membicarakan tajuk “Noktahkan Normalisasi Maksiat”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Ramadan baru sahaja berlalu, Syawal pun belum sepenuhnya pergi. Namun, begitu banyak peristiwa yang membuatkan kita termenung sejenak. Ada kisah kebaikan yang disebarluaskan, pada masa yang sama kita juga tidak sunyi dengan perkara dosa yang berlaku sehingga kadangkala ia seolah-olah diterima.
Normalisasi dosa ialah apabila saat maksiat dilakukan, tercabut rasa berdosa dan bersalah, bahkan dibanggakan. Lebih parah, ada pula yang mengiktiraf perbuatan dosa sebagai sebahagian hak asasi manusia. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan kini tidak lagi boleh ditegur atas alasan ini hal peribadi. Mendedahkan aurat dan pakaian menjolok mata bukan satu perkara yang asing lagi. Hanyut dalam aktiviti hedonisme yang melampau dianggap sebagai terapi.
Bahkan menjadi satu kehairanan jika ada yang menegur kemungkaran ini disuruh kembali pedulikan hal sendiri dan disindir terpaling suci. Inilah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat yang perlu kita sedar. Dosa dibungkus dengan alasan hak individu. Maksiat dihias atas label ‘kebebasan’. Lalu, yang haram tidak lagi menggerunkan, yang mungkar tidak lagi memalukan. Allahuakbar.
Oleh yang demikian, sebagai muslim bersegeralah mengingati Allah apabila bermaksiat. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 135 yang dibacakan di awal khutbah yang bermaksud: “Dan juga orang- orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
Muslimin Rahimakumullah,
Dosa tetap dosa, tidak akan sama dengan pahala. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah (samar), yang tidak diketahui oleh ramai orang…”
Maka jangan sesekali mengaburkan sempadan halal haram dengan hujah kebebasan atau normalisasi. Hakikatnya, tidak ada dosa secara tiba-tiba menjadi budaya. Tiada maksiat yang sekelip mata menjadi biasa. Semuanya bermula sedikit demi sedikit. Dosa yang dahulunya secara sembunyi, kian dipromosi.
Antara punca maksiat dinormalisasi ialah berulang kali melakukan dosa akhirnya terasa ringan. Apabila lisan biasa memaki hamun, mata atau telinga selalu melihat yang haram, lama-kelamaan akan tercabut rasa bersalah. Malah kadangkala menimbulkan ketagihan pada dosa sehingga sukar ditinggalkan. Akhirnya, apabila nasihat dipandang kolot, teguran dianggap benci, maka muncullah masyarakat yang diam terhadap dosa. Dan dosa yang tidak ditegur, akhirnya perlahan-lahan diterima. Hakikatnya hati tidak merasa tenang tetapi tetap melangkah bersama-sama melakukan perkara yang jelas haram dan dimurkai Allah.
Takutlah akan ancaman Allah SWT sepertimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umatku dimaafkan kecuali yang berbuat dosa terang-terangan. Dan sesungguhnya termasuk perbuatan dosa secara terang-terangan ialah seseorang berbuat dosa di malam hari, sementara Allah telah menutupinya, namun keesokan harinya dia malah bercerita, “Wahai fulan! Tadi malam aku melakukan ini dan ini.” Sedangkan Tuhannya telah menutupi (dosa-dosanya) di malam harinya, tetapi pada pagi harinya dia membuka apa yang telah Allah tutup tentangnya.”
Muslimin Yang Dimuliakan Allah,
Solusi kepada normalisasi dosa hanyalah dapat dibasmi dengan normalisasi pahala. Biarlah trend yang tular adalah perkara berpahala dan bermanfaat.
Antara contohnya, fenomena Solat Subuh seperti Jumaat membuktikan, hati-hati manusia sangat cinta akan Tuhannya. Dengan pendekatan berhikmah, semakin ramai yang memilih jalan hijrah dan kembali kepada fitrah.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Mengakhiri khutbah, beberapa rumusan sebagai manfaat dan pengajaran untuk kita bersama.
Pertama: Tanamkan rasa benci pada dosa, bukan pada pelakunya. Usah biarkan dosa berlarutan kerana bimbang akan menjadi budaya di esok hari. Hati ini sepatutnya membenci maksiat dan jangan biarkan ada sekelumit perasaan dosa ini perkara yang biasa.
Kedua: Suburkan iman dengan amal soleh. Iman yang subur akan membezakan antara hak dan batil. Perbanyakkan zikir, istiqamahlah dengan masjid dan solat jemaah serta dampingi orang soleh dan majlis ilmu. Ajaklah seramai mungkin untuk menyibukkan diri dengan amal soleh.
Ketiga: Berani menegur dengan hikmah. Amal makruf nahi mungkar bukan tugas agamawan semata. Hijrahkan diri, bimbing keluarga dan orang sekeliling dengan hikmah, bukan marah. Dengan kasih, bukan menghukum.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 25:
وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ(٢٥)
Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”
(Surah Al-Anfal 8:25)
Tarikh Bacaan: 26 Syawal 1446H | 25 April 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment