Teks Khutbah Jumaat (Negeri Sembilan): Masjid, Medan Ibadah, Ilmu Dan Silaturahim 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

فِى بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْـَٔاصَالِ(٣٦) رِجَالٌۭ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَـٰرَةٌۭ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًۭا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلْقُلُوبُ وَٱلْأَبْصَـٰرُ(٣٧) 

Maksud: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

(Surah An-Nur 24: 36-37)

Sidang Juma‘at Yang Dirahmati Allah ‘Azzawajalla, 

Bertaqwalah kepada Allah ‘Azzawajalla dengan mentaati perintah-Nya dan berusahalah meninggalkan perbuatan maksiat yang ditegah olehNya. Ketika khutbah sedang disampaikan, elakkan daripada berbual-bual dan menggunakan telefon bimbit agar keberkatan dan pahala Juma‘at tidak menjadi sia-sia. 

Khatib ingin menyeru seluruh Muslimin supaya menunaikan kewajipan berzakat dan melakukan amalan berwaqaf melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Khatib juga ingin mengingatkan agar kita tidak melupakan saudara-saudara seagama kita di Palestin yang terus menerus ditindas oleh musuh-musuh Allah SWT. Panjatkanlah doa tulus ikhlas buat mereka dan hulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. 

Sidang Juma‘at Yang Dirahmati Allah ‘Azzawajalla, 

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Masjid, Medan Ibadah, Ilmu Dan Silaturahim”. 

1. Institusi masjid dan surau merupakan pusat pembangunan umat, penyebaran ilmu, penyatuan masyarakat serta pengurusan yang membabitkan masyarakat Islam. Selain itu, masjid dan surau juga berperanan sebagai benteng akidah, medan memperkukuh ukhuwah dan menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, sewajarnya semua pihak, sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam pentadbiran masjid, berusaha untuk memastikan matlamat murni ini dapat dicapai dengan penuh keikhlasan, komitmen dan rasa tanggungjawab demi kesejahteraan umat Islam seluruhnya. 

2. Masyarakat Muslim di Negeri Sembilan sememangnya mementingkan kefahaman Islam yang sebenar dan berteraskan ajaran al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, segala perkara yang boleh menjadi punca perpecahan, perselisihan faham atau menimbulkan agenda berkepentingan duniawi yang mengancam kesatuan umat hendaklah dielakkan dan dibasmi agar umat ini terus kuat dan dihormati. 

3. Dalam kitab al-Muwatta’ (الموطأ) ada dinyatakan bahawa Sayidina Umar radiallahu‘anhu membina sebuah kawasan lapang di sebelah masjid yang dinamakan al-Butayha’ (البطيحة) Kemudian Sayidina Umar radiallahu‘anhu berkata yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin berbual kosong, mendeklamasikan puisi atau meninggikan suara, maka hendaklah dia keluar ke kawasan lapang ini.” 

4. Peringatan ini menjelaskan kepada kita bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah yang khusus tetapi medan untuk penyucian rohani dan pengukuhan iman. Oleh itu, umat Islam ditegah meninggikan suara di dalam masjid, sama ada untuk berbual kosong, mendendangkan puisi yang bercanggah dengan syarak mahupun membincangkan hal duniawi kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu kekhusyukan jemaah lain. 

Suasana yang tenang amat penting bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk beribadah seperti solat, berzikir serta mentadabbur ayat al-Quran. Sikap Sayidina Umar radiallahu‘anhu yang tegas dalam menegur individu yang tidak menjaga adab di masjid menunjukkan betapa tinggi penghormatan para sahabat terhadap rumah Allah bukan sahaja dari aspek kebersihan yang zahir malah meliputi adab pertuturan dan tingkah laku. 

Sidang Juma‘at Yang Dirahmati Allah ‘Azzawajalla, 

5. Secara asasnya setiap daripada kita menyedari peranan utama masjid sebagai pusat ibadat dan lambang penyatuan ummah. Setiap jiwa Islam pasti menginginkan masjid yang dibina menjadi tempat yang mendamaikan, menyatukan hati umat dalam suasana penuh rahmat dan kasih sayang. Akan tetapi, kadangkala hasrat murni ini terganggu disebabkan oleh sikap segelintir pihak yang tidak dapat mengawal emosi yang didorong oleh kecenderungan peribadi. Sesungguhnya perbuatan seperti ini boleh menimbulkan rasa kurang harmoni dalam kalangan masyarakat. 

6. Perbezaan pandangan dalam urusan duniawi dan ukhrawi seharusnya diuruskan dengan penuh hikmah dan tidak dipengaruhi oleh emosi dan fahaman yang taasub. Fahaman yang sempit seharusnya diluaskan bagi menghindari perpecahan dalam masyarakat. Kita tidak mahu ada dalam kalangan kita yang mengheret unsur permusuhan duniawi sampai di dalam rumah Allah SWT ini. Tidakkah tindakan sedemikian mencemarkan kesucian institusi masjid yang seharusnya dipelihara dengan penuh rasa hormat dan takzim. 

7. Alangkah indahnya jika setiap daripada kita mengambil langkah memelihara kesucian institusi masjid ini, dengan menjauhi segala unsur yang boleh mencemarkan ketenangan dan tujuan asal pembinaannya. Fahamilah maksud firman Allah SWT yang telah saya bacakan pada awal 5 khutbah ini yang bermaksud: “Nur, iaitu petunjuk Allah itu bersinar dengan terang di rumah-rumah ibadah yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan, disebut serta diperingati nama-Nya di dalamnya. Di situ juga dikerjakan ibadah menyucikan serta memuji Allah pada waktu pagi dan petang. Ibadah tersebut dilakukan oleh golongan yang mempunyai iman yang kuat; tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada mengingati Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka gerun akan hari akhirat kerana pada hari tersebut hati dan pandangan akan berubah.” 

8. Ayat ini mengajarkan bahawa masjid ialah tempat yang dimuliakan oleh Allah SWT, dibangunkan untuk mengingati-Nya serta memperbanyakkan ibadah. Orang beriman tidak melalaikan diri dengan urusan duniawi seperti perniagaan, sebaliknya tetap mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka sentiasa ingat akan saat cemas pada hari akhirat yang penuh dengan perhitungan dan pertanggungjawaban. 

Sidang Juma‘at Yang Dikasihi, 

9. Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, telah bertitah pada 14 Februari 2025 agar masjid dan surau wajar dipelihara kesuciannya serta dijauhkan daripada sebarang program atau ceramah yang berunsur fitnah, perkauman atau berkepentingan politik. Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini selari dengan tuntutan syarak dan amat penting untuk dilaksanakan. Hal ini bertujuan memastikan rumah-rumah Allah terus kekal sebagai institusi yang aman dan tenteram, serta berfungsi sebagai medan ilmu, penyatuan, ketenteraman, silaturahim dan kesejahteraan umat. 

Sidang Juma‘at Yang Dirahmati Allah ‘Azzawajalla,  

10. Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita bersama-sama memelihara kesucian masjid dan surau dengan menjadikannya pusat penyatuan umat, medan penyebaran ilmu serta tempat bernaungnya roh keimanan. Semoga usaha kita menjadi asbab kepada terbinanya umat Islam yang kukuh, bersatu dan dirahmati sepanjang zaman. Marilah kita mengamalkan doa dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud iaitu yang maksudnya: 

“Ya Allah, satukanlah hati kami, baikilah hubungan sesama kami, tunjukkilah kami jalan kedamaian, keluarkanlah kami daripada kegelapan menuju cahaya dan lindungilah kami daripada segala keburukan, sama ada yang zahir mahupun yang batin.”

Tarikh: 2 Mei 2025 | 4 Zulkaedah 1446 
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑