Teks Khutbah Jumaat (WP): Berkat Dalam Keringat

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ (٢٧)

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” 

(Surah Al-Anfal 8:27)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita terus memperkukuh iman dan takwa sebagai benteng menangkis anasir durjana. Sesungguhnya, kita yang bekerja sejak subuh hingga kini barangkali terlepas juadah tengah hari, namun kita tetap juga bergegas ke masjid menyahut seruan Tuhan mencari reda-Nya.

Alhamdulillah, kehadiran ini menzahirkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar, satu nikmat besar untuk disyukuri. Hanya kepada Allah SWT tempat kita berlindung dan berserah sepenuh hati. 

Bertepatan dengan kesyukuran itu, maka marilah bersama kita hayati khutbah bertajuk “Berkat Dalam Keringat.”

Saudara-Saudaraku Yang Dikasihi Allah,

Bekerja merupakan satu tuntutan dalam Islam. Dengan bekerja, kita meraih pendapatan, nafkah isteri dan keluarga dapat dilunaskan, ekonomi negara bergerak seiring kemajuan serta rakyat dapat hidup penuh kecukupan dan kesyukuran. Justeru, bersyukurlah kita kerana terpilih untuk bekerja, tidak kira di posisi mana kita berada, kitalah permata keluarga dan negara.

Berperananlah dengan sebaiknya, kerana di sana masih ramai kenalan, sahabat, jiran mahu pun sanak saudara kita yang masih belum direzekikan dengan peluang pekerjaan. Justeru, panjatkanlah setinggi kesyukuran kepada Allah Yang Maha Pemurah kerana merezekikan kita nikmat pekerjaan, dan pada masa yang sama berdoalah buat mereka yang lain agar segera di kurniakan pekerjaan yang baik demi kelangsungan dan keterjaminan hidup yang sejahtera.

Ayuh kita renung sejenak. Apakah sebenarnya tujuan kita bekerja? Siapakah yang menumpang kasih di bawah pencarian rezeki ini?  Hasil rezeki yang bagaimanakah kita berikan kepada tanggungan kita? 

Walaupun pada asalnya kita bekerja untuk mendapatkan upah, tetapi niatnya perlu diluruskan hanya kerana ilahi dan hasil rezeki mestilah daripada jalan yang Dia redai.

Asas yang paling utama dalam mencapai kerja yang diredai adalah bergantung kepada bagaimana cara kita menunaikan amanah dan tanggung jawab yang diberikan. Sekiranya kita cuai dalam menunaikan amanah bermakna kita telah gagal dalam pekerjaan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Ingatlah pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 27 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul- Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

Justeru, bersifat amanahlah dalam bekerja. Laksanakan setiap tugasan tanpa culas, mematuhi peraturan waktu bekerja dan menjaga sehabis baik aset-aset dan kewangan pejabat yang dipertanggungjawabkan. Selain itu, tingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam memastikan mutu dan hasil kerja sentiasa di tahap yang terbaik selaras kemajuan dan peredaran teknologi semasa. 

Sesungguhnya seorang Muslim bukanlah mereka yang sekadar melepaskan batuk di tangga namun usahanya laksana genggam bara api biar sampai jadi arang. Renungi hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani daripada ‘Aisyah Radiallahuanha, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Wahai Tetamu Allah Yang Diberkati,

Islam hadir dengan kebaikan dan kesempurnaan. Begitu juga dalam sektor pekerjaan. Tuntutan untuk bekerja mestilah meraikan aspek kebaikan dan keberkatan. Bekerjalah dalam suasana pekerjaan yang mematuhi piawaian agama. Batasi pergaulan mesra dengan rakan sekerja. Hidupkan budaya kerja yang sihat dan harmoni. Saling bantu membantu antara satu sama lain. 

Hindarkan apa jua perlakuan yang mampu menjejaskan keharmonian dan budaya kerja yang tidak baik, seperti saling membenci, mengutuk, melabel, merendah-rendahkan potensi orang lain dan seumpamanya. Ini bukan perlakuan seorang pekerja Muslim. Ingatlah firman Allah SWT melalui Surah al-Hujurat, ayat 11:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَسْخَرْ قَوْمٌۭ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُوا۟ خَيْرًۭا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَآءٌۭ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيْرًۭا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَـٰبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَـٰنِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ(١١) 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Surah Al-Hujurat 49:11)

Saudara-Saudaraku Yang Dikasihi Allah,

Pernahkah kita berada dalam situasi perbelanjaan seharian tidak mencukupi? Ada sahaja perkara dan tuntutan diri atau keluarga yang tidak dapat kita penuhi meskipun gaji dan pendapatan yang diperolehi kelihatan besar pada nilai zahirnya. Namun, ada juga yang kita lihat pendapatannya mungkin tidak seberapa, tetapi hidup tenang dan bahagia. Sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Tidak pernah terlintas untuk mengeluh atau berduka. Mungkin inilah yang dikatakan kerberkatan dari yang Maha Esa. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 96:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ (٩٦) 

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah Al-A’raf 7:96)

Hadirin Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Ingatlah saudaraku sekalian. Sesungguhnya kerja yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan, pasti akan turut bersamanya keredaan. Akhirnya akan membuahkan hasil tuaian penuh keberkatan. Mengakhiri khutbah pada hari ini, berikut dinyatakan beberapa pengajaran yang boleh kita jadikan pegangan:

Pertama: Bersyukurlah sebagai seorang pekerja, tidak kira di posisi mana kita berada tunaikanlah amanah pekerjaan dengan sempurna.

Kedua: Bekerjalah dalam suasana pekerjaan yang mematuhi piawaian agama serta hindari diri daripada perlakuan mencemar imej dan kredibiliti seorang pekerja Muslim.

Ketiga: Amanah dalam bekerja akan menjanjikan hasil yang berkat di dunia dan nikmat di akhirat. Yakinlah bahawa Allah SWT Maha Adil memberikan rezeki kepada mereka yang berusaha.

Marilah kita renungi bersama firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun ayat 8:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ(٨)

Bermaksud: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah Al-Mukminun 23:8)

Tarikh Bacaan: 4 Zulkaedah 1446H | 2 Mei 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑