Soalan
Apabila kelihatan seekor lembu korban sudah tidak bernyawa sebelum dilaksanakan proses sembelihan, adakah sah ibadah korban haiwan yang telah mati?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Allah SWT berfirman:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”
(Surah al-Kauthar 108: 2)
Imam al-Qurtubi menukilkan kalam Qatadah bahawa maksud ayat ini adalah merujuk kepada suruhan mengerjakan solat sunat hari raya Aidiladha kemudian melaksanakan ibadah korban.
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada kita agar beribadat hanya kepada Allah yang Maha Esa dan laksanakan korban sama ada unta, lembu atau kambing, tulus niat kerana-Nya dan bukan kerana sesuatu yang lain.
Dengan demikian, pelaksanaan ibadah korban mestilah memenuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan syarak. Sekiranya tidak, korban yang dilaksanakan adalah tidak sah. Antara syaratnya ialah syarat yang melibatkan penyembelihan haiwan iaitu haiwan tersebut mestilah masih mempunyai tanda hayat mustaqirrah (حياة مستقرة) sebelum ia disembelih. Maksud hayat mustaqirrah di sini ialah keadaan ia masih hidup ketika disembelih sekalipun sebelum pada itu ia telah mengalami kecederaan atau kesakitan malahan pergerakannya juga sama seperti pergerakan binatang yang disembelih.
Sebagai makluman, hayat mustaqirrah boleh diketahui dengan cara:
- Adanya pergerakan atau rontaan yang kuat setelah memutuskan halkum dan mari atau,
- Darah terpancut keluar.
Oleh yang demikian, sekiranya haiwan korban itu sudah tiada ciri ataupun tanda hayat mustaqirrah ketika sembelihan, maka penyembelihan ketika itu tidak dianggap al-Tazkiah dan sembelihan tersebut tidak halal, kecuali setelah dilakukan penyembelihan darurat sebelumnya.
Berkenaan hal sembelihan korban yang diajukan si penanya, dapat kita simpulkan bahawa sekiranya tiada kedua-dua tanda hayat mustaqirrah atau salah satu tanda yang dinyatakan, maka ibadah korban yang dilaksanakan adalah tidak sah dan haiwan tersebut telah menjadi bangkai.
Sehubungan dengan itu, kami menasihati para peserta ibadah korban agar dapat memastikan ibadah korban yang dilaksanakan mengikut panduan dan hukum syarak, di samping turut mempelajari kaedah-kaedah dan juga panduan sembelihan yang benar dengan mereka yang berkelayakan dan berautoriti.
Wallahu A‘lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment