أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ(٢٧)
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
(Surah Hajj 22:27)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa dalam naungan rahmat Allah SWT. Khatib ingin mengingatkan para jemaah agar memberikan tumpuan seketika kepada khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang sia-sia seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Alangkah ruginya kita yang sudah berada di ruang zikrullah di dalam masjid ini, tetapi minda dan jiwa masih leka dengan urusan dunia.
Khutbah pada hari ini bertajuk: “Amanah Dikhianati, Ibadah Dinodai”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Alhamdulillah, pada 29 April 2025 bersamaan 1 Zulkaedah 1446H, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah pun berangkat ke Tanah Suci. Betapa beruntungnya mereka yang mendapat jemputan Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya. Perasaan sedih bercampur hiba meninggalkan keluarga tercinta demi memenuhi seruan Baitullah. Rasa terharu pula kerana dapat berpeluang melaksanakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi mereka yang berkemampuan, sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenisjenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”.
Bagi mereka yang belum terpilih, bersabarlah dan teruslah berdoa. Yakinlah, dengan hati yang ikhlas dan doa yang bersungguh-sungguh, Allah pasti akan mempermudahkan jalan kita ke Tanah Suci.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Dalam keghairahan untuk menunaikan ibadah suci ini, kita pernah dikejutkan dengan berita-berita penipuan yang menyedihkan: ada yang terkandas di lapangan terbang; ada yang diseludup masuk ke Makkah dengan visa palsu atau visa pelancong, terpaksa bersembunyi, hidup dalam ketakutan kerana diburu pihak berkuasa. Pada tahun lalu, sebanyak 44 kes penipuan visa haji dan umrah telah disiasat oleh pihak berkuasa. Ini bukan angka kecil. Ia satu amaran besar dan peringatan kepada kita semua. Mereka yang tamak dan tidak bertanggungjawab sanggup menipu, memperdaya insaninsan yang hanya ingin memenuhi panggilan Ilahi.
Bayangkan, saudara-saudara kita yang menabung bertahun-tahun lamanya. Ada yang menjual tanah, ada yang menggadai barang kemas, semata-mata untuk menunaikan rukun Islam kelima – ibadah haji.
Namun, tergamaknya, seseorang menipu dalam hal ibadah iaitu dalam urusan yang paling suci yang sepatutnya membawa manusia mendekati Allah tetapi sebaliknya membawa penderitaan dan air mata. Mereka menabur janji manis dengan bermacam-macam tawaran. Padahal semuanya dusta. Mereka mengkhianati amanah yang telah diberi lantas menodai kesucian ibadah itu. Ingatlah, Tabung Haji sentiasa mengingatkan kita agar berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diiktiraf dan dilesenkan. PJH inilah yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menguruskan perjalanan haji kita dengan selamat dan sah di sisi undang-undang.
Jangan mudah terpedaya dengan janji manis “scammer” yang kononnya boleh membawa kita ke Makkah dengan visa yang tidak sah. Ketahuilah, syarat kemampuan untuk menunaikan haji bukan sekadar pada wang ringgit, tetapi termasuk memiliki visa yang sah. Muzakarah Haji Kebangsaan Kali Ke-27 telah menetapkan bahawa memperoleh kuota haji merupakan sebahagian daripada syarat istito’ah. Maka janganlah kerana terlalu ingin, kita sanggup melanggar undang-undang dan memperjudikan nasib kita.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Ketegasan Kerajaan Arab Saudi dalam hal ini amat jelas. Mereka menetapkan denda yang berat: 20,000 Riyal kepada mereka yang menunaikan haji tanpa visa sah; 100,000 Riyal kepada mereka yang membawa atau melindungi pemegang visa pelancong. Lihatlah, betapa besar risiko yang ditanggung. Jika kita melanggar peraturan ini, bukan hanya diri kita terkesan, malah nama baik negara turut tercalar. Sedarlah, jemaah haji Malaysia selama ini diiktiraf sebagai jemaah yang berdisiplin, teratur dan dipandang tinggi oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Hubungan baik ini telah membuka banyak kemudahan kepada kita, seperti Program Makkah Route. Janganlah kerana kealpaan dan ketamakan segelintir pihak, nama baik seluruh umat Islam Malaysia tercemar.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Khatib menyeru kita semua agar menjauhi sebarang bentuk penipuan, walaupun dengan niat yang baik. Islam tidak pernah menghalalkan cara yang salah walau tujuannya mulia. Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran keras. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang menipu, maka dia bukan dari golongan kami”.
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menipu atau yang tertipu. Bersabarlah. Selidiklah. Gunakanlah saluran yang betul. Pastikan syarikat atau agensi yang dipilih berdaftar dan mendapat lesen sah daripada Tabung Haji. Selain penipuan visa, wujud juga penipuan badal haji dengan tawaran harga tidak munasabah. Ingatlah, syarak menetapkan satu orang hanya boleh melakukan badal haji bagi seorang sahaja. Waspadalah terhadap iklan yang menjanjikan ribuan badal haji serentak.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Sebagai penutup khutbah ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran:
Pertama: Antara syarat menunaikan haji ialah istito’ah (berkemampuan) dalam banyak aspek. Maka bersabarlah menanti jemputan Allah untuk menunaikan haji.
Kedua: Berwaspadalah dengan penipuan visa haji oleh agensi atau syarikat tidak bertanggungjawab. Jangan pula kita menjadi mangsa dek kerana sikap tidak sabar kita sendiri. Pastikan hanya menggunakan agensi sah yang dilesenkan Tabung Haji.
Ketiga: Jangan pernah terlibat atau bersubahat menipu orang lain semata-mata kerana sikap tamak mencari keuntungan.
Nabi tidak mengaku umat dan ingatlah balasan seksa yang sangat pedih menanti. Renungkan firman Allah SWT dari Surah al-Baqarah ayat 9-10 ini:
يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ(٩) فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌۭ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًۭا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْذِبُونَ(١٠)
Maksudnya: “Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)”.
(Surah al-Baqarah 2:9-10)
Tarikh Dibaca: 11 Zulkaedah 1446H | 9 Mei 2025
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
👍
LikeLike