Teks Khutbah Jumaat (WP): Hebahkan Pernikahan, Sempurnakan Tuntutan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ (٣٢) 

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”

(Surah An-Nur 24:32)

Hadirin Solat Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah. Suburkan jiwa kehambaan dengan beristiqamah melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala tegahan. Di ruang penuh keberkatan ini, berikan tumpuan sepenuhnya kepada khutbah yang disampaikan. 

Tinggalkan seketika perkara lagha seperti interaksi dengan telefon bimbit, berbual-bual atau tidur yang menghilangkan kesempurnaan ganjaran. Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk “Hebahkan Pernikahan, Sempurnakan Kewajipan”.

Kaum Muslimin yang Berbahagia,

Kita semua maklum bahawa pernikahan merupakan sunah Rasulullah SAW yang digalakkan dalam Islam. Pernikahan dibina menerusi ikatan akad yang sah bagi menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri. Galakan bernikah jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat 32 surah Al-Nur, yang dibacakan pada awal khutbah, bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

Sesungguhnya, pernikahan adalah medan meraih pahala menerusi pelaksanaan perintah Allah SWT. Setiap individu perlu meletakkan niat bahawa tujuan dan matlamat utama pernikahan adalah untuk mendapat reda Allah. Dengan asas niat dan matlamat yang agung ini, insya-Allah setiap usaha dan tindakan sepanjang pernikahan akan menjadi pahala berterusan buat pasangan suami dan isteri. Bahkan ia akan memupuk tautan kasih sayang yang ampuh lalu setiap ujian dan permasalahan rumah tangga pasti diberikan jalan keluar yang terbaik.

Kaum Muslimin yang dikasihi,

Pernikahan juga dapat memenuhi tuntutan fitrah manusia yang cenderung untuk hidup berkasih sayang. Hal ini dijelaskan dalam Surah al-Rum ayat 21:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ(٢١) 

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir.” 

(Surah Al-Rum 30:21)

Meskipun begitu, keindahan syariat ini tercemar dengan sikap kurang bertanggungjawab individu yang tidak mendaftarkan pernikahan mengikut undang-undang. Hal ini dilakukan kerana ingin menyembunyikan perkahwinan daripada pengetahuan wali, isteri sedia ada atau ahli keluarga.

Walau apa pun alasannya, perkahwinan dalam Islam adalah suatu yang perlu diwar-warkan, bukan disembunyikan. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu yang maksudnya: “Nabi SAW melihat tanda kuning (kesan minyak wangi) pada Abdul Rahman bin Auf, lalu baginda bertanya: “Apakah ini?” Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah, saya baru saja menikahi seorang wanita dengan mahar berupa emas seberat biji kurma.” Nabi SAW bersabda, “Semoga Allah memberkatimu. Adakanlah walimah, meskipun hanya dengan seekor kambing.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menyarankan supaya setiap pernikahan dihebahkan kepada masyarakat. Pastinya terdapat hikmahdaripada saranan baginda ini. Yang pasti, hebahan ini perlu agar tidak timbul pelbagai isu dan masalah di kemudian hari. Dalam konteks masa kini penghebahan pernikahan haruslah diluaskan lagi pemahamannya dengan melibatkan keperluan mendaftarkan pernikahan. Apatah lagi, Seksyen 25 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menjelaskan bahawa setiap perkahwinan mestilah didaftarkan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga adalah pihak berkuasa agama yang dilantik dan berautoriti untuk mendaftarkan pernikahan atau perkahwinan bagi permastautin di Wilayah Persekutuan.

Ingatlah, kepatuhan kepada pihak berkuasa yang disebut sebagai Ulil amri merupakan suatu tuntutan asas agama yang perlu diberi perhatian. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 59:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا(٥٩)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Mengikut rekod Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, dari tahun 2019 hingga tahun 2024 terdapat sebanyak 2,740 kes pernikahan tanpa kebenaran. Rentetan itu, kes-kes ini menyumbang kepada peningkatan data anak-anak yang tidak mempunyai pengenalan diri. Hak-hak pasangan juga terjejas apabila undang-undang tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah.

Lebih membimbangkan, perkahwinan yang tidak didaftarkan ini akan menyebabkan nasab yang tidak jelas dan kekeliruan salasilah keluarga. Hal ini juga menyukarkan urusan tuntutan nafkah dan perwarisan harta. Bahkan ia menjadi masalah kepada anak-anak dalam urusan-urusan penting seperti pendidikan dan perkahwinan mereka.

Lihatlah bagaimana niat yang pada awalnya untuk mencari reda Allah SWT dengan pernikahan yang sah akhirnya menjadi suatu fitnah dan musibah yang pastinya mengundang murka Allah lantaran mengabaikan keperluan mendaftarkan perkahwinan. Islam sangat tegas menolak apa juga bentuk kemudaratan. Justeru, Ulul Amri telah mewujudkan undang-undang yang jelas, terperinci dan menyeluruh supaya hak suami, isteri, ibu bapa atau anak-anak terjaga. Natijah dan tujuannya, agar masing-masing dapat berperanan dan menjalankan tanggungjawab yang wajib disempurnakan.

Saudara-Saudaraku yang dikasihi,

Mengakhiri khutbah, beberapa saranan dinyatakan selaras khutbah hari ini:

Pertama: Pernikahan adalah wadah untuk meraih kebahagiaan dalam kehidupan. Pastikan ia disempurnakan menurut pedoman syariat.

Kedua: Setiap perkahwinan mesti diwar-warkan dan didaftarkan mengikut undang-undang. Ia menjamin kemaslahatan dan hak semua pihak.

Ketiga: Pendaftaran pernikahan dapat mengelakkan kezaliman kepada pasangan dan juga anak-anak. Ia pasti membawa kesejahteraan dan keberkatan hidup.

Renungi firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 74:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا(٧٤) 

Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

(Surah al-Furqan 25:74)

Tarikh Bacaan: 11 Zulkaedah 1446H | 9 Mei 2025M
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑