Soalan
Jika suami melafazkan taklik kepada isterinya contohnya, “kalau kamu keluar rumah tanpa izin, maka jatuh talak”. Selepas itu, isteri keluar rumah tanpa izin dan berlaku talak kemudian suami dan isteri rujuk semula, adakah taklik itu masih kekal?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.
Taklik ialah perbuatan suami yang menggantungkan lafaz talak kepada isterinya berdasarkan suatu sifat, syarat, atau perbuatan, sama ada yang dilakukan oleh isteri atau orang lain.
Berdasarkan soalan yang diajukan, jatuh talak apabila berlaku perkara yang ditaklikkan untuk kali pertama sahaja. Sekiranya suami isteri tersebut rujuk semula dalam tempoh iddah, maka taklik yang dah berlaku tersebut tidak sah lagi. Hal ini berdasarkan kenyataan berikut:
(وَ) الْأَدَوَاتُ الْمَذْكُورَةُ (لَا) تَقْتَضِي أَيْضًا بِالْوَضْعِ (تَكْرَارًا) فِي الْمُعَلَّقِ عَلَيْهِ، بَلْ إذَا وُجِدَ مَرَّةً وَاحِدَةً فِي غَيْرِ نِسْيَانٍ وَلَا إكْرَاهٍ انْحَلَّتْ الْيَمِينُ وَلَمْ يُؤَثِّرْ وُجُودُهَا ثَانِيً
Maksudnya: Perkataan-perkataan yang disebutkan (yang digunakan sebagai syarat seperti perkataan ‘jika’, ‘bila’) tidak membawa maksud pengulangan pada perkara yang ditaklikkan. Sebaliknya, jika berlaku satu kali saja bukan disebabkan lupa dan tanpa paksaan, maka sumpah (taklik) itu terlerai dan tidak memberi apa-apa kesan sekiranya berlaku kali kedua.
Walau bagaimanapun sekiranya suami melafazkan taklik dengan menyebut apa-apa perkataan yang membawa maksud pengulangan seperti ‘setiap kali’, maka jatuh talak setiap kali perkara ditaklikkan itu berlaku.
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment