Soalan
Apakah hukum bagi wanita Islam menyertai koir yang memerlukan lenggokan badan untuk mengikut rentak lagu yang dimainkan dan dipersembahkan di hadapan khalayak ramai termasuk kaum lelaki?
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga ke hari kiamat.
Maksud Koir
Kumpulan orang (penyanyi) yang dilatih untuk bernyanyi bersama-sama dengan suara yang harmoni (Rujuk Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua).
Hukum Suara Wanita
Isu mengenai suara dan nyanyian wanita merupakan perkara yang dibincangkan oleh ulama dengan pelbagai pandangan. Dalam Mazhab Syafi’i menyatakan, suara wanita secara asasnya bukanlah aurat. Namun, suara wanita tersebut tidak boleh diperdengarkan dengan cara yang lembut sehingga menimbulkan rasa ghairah pada lelaki. Ini berlandaskan kepada ayat al-Quran:
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
[Surah al-Ahzab 33:32]
Imam ibn Kathir berpendapat ayat-ayat ini mengandung etika-etika yang dianjurkan oleh Allah SWT kepada isteri-isteri Nabi SAW, sementara kaum wanita dari umatnya mengikuti mereka dalam hal ini. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman kepada isteri-isteri Nabi SAW bahawa jika mereka bertakwa kepada-Nya sesuai dengan perintah-Nya, maka tidak ada wanita lain yang setara dengan mereka, mahupun yang dapat menandingi keutamaan dan kedudukan mereka.
Selain itu, makna yang dimaksudkan adalah perkataan yang baik, layak, dan tegas. Dengan kata lain, seorang wanita sebaiknya tidak berbicara dengan lelaki lain menggunakan nada suara yang lembut. Ertinya, seorang wanita tidak boleh berbicara dengan lelaki lain sebagaimana cara ia berbicara kepada suaminya sendiri (Rujuk Tafsir Ibn Kathir jld. 3, hlmn. 464).
Imam al-Jami berpendapat tidak ada nas yang jelas yang mengatakan suara wanita itu aurat, malah dalil yang ada lebih menunjukkan sebaliknya. Sebagai contoh, para wanita sahabat pernah meninggikan suara mereka ketika berada dalam kalangan wanita untuk bertanya kepada Rasulullah SAW, dan para sahabat mendengarnya. Begitu juga di zaman Khulafa’ al-Rasyidin, para sahabat bertanya kepada Ibu-ibu orang beriman dan sahabiyyat tentang beberapa perkara, dan mereka menjawab dengan suara yang jelas. Semua ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa yang mempelajari hadis. “Secara ringkasnya, suara wanita itu bukanlah aurat, tetapi jika ada kekhuatiran akan timbulnya fitnah, maka mendengar suara itu menjadi haram. Wallahu a’lamu bissawab, kepada-Nya lah kita kembali dan berserah.” (Rujuk Zakirah al-Aqba fi Sharh al-Mujtaba 9/708).”
Imam al-Ghazali juga menjelaskan pendapat Mazhab Syafei dengan katanya yang maksudnya: Suara wanita, selain dalam konteks nyanyian, bukanlah aurat. Hal ini karena pada zaman para sahabat R.Anhum, kaum wanita sering berkomunikasi dengan kaum lelaki, seperti dalam memberi salam, meminta fatwa, mengajukan permohonan, serta bermusyawarah. Namun, dalam nyanyian terdapat unsur tambahan yang dapat membangkitkan syahwat. (Rujuk al-Ihya jld 2 hlmn 281)
Ibn al-Ṣabbāgh berkata:
ولم يفرق أصحابنا بين سماع الغناء من الرجل والمرأة، وينبغي أن يكون سماع الغناء من المرأة الأجنبية أشد كراهة من سماعه من الرجال أو من جاريته أو زوجته أو ذات رحم محرم؛ لأنه لا يؤمن الافتتان بصوتها وإن كان صوتها ليس بعورة، كما أن وجهها ليس بعورة ولا يجوز له النظر إليه.
Maksudnya: Ulama mazhab kami (yakni Syafi’i) tidak membezakan antara mendengar nyanyian dari lelaki atau wanita. Tetapi sepatutnya, mendengar nyanyian dari wanita ajnabi (bukan mahram) adalah lebih makruh (tidak digalakkan) berbanding mendengarnya dari lelaki, atau dari hamba wanitanya, isterinya, atau wanita yang mahram dengannya; kerana tidak dapat dielakkan dari kemungkinan fitnah (godaan) disebabkan suara wanita tersebut, walaupun suaranya bukanlah aurat sama seperti wajah wanita bukan aurat, namun tetap tidak dibolehkan lelaki memandangnya. (Rujuk: al-Bayan fi mazhab Imam al-Syafie, jld.13, hlmn. 295).
Nyanyian Wanita kepada lelaki yang bukan mahram itu boleh membawa kepada fitnah. Namun Islam tidak melarang untuk orang lain melakukan hiburan yang menepati syarak dan hukum sabda nabi SAW:
يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ
Maksudnya: Wahai Aisyah! Apakah kalian membawa sekali hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar itu suka akan hiburan.
(Riwayat al-Bukhari 5162)
Garis panduan JAKIM berkaitan nyanyian:
- Hendaklah menjaga adab-adab yang dituntut dalam Islam, seperti menutup aurat dengan sempurna, mengelakkan pergerakan yang boleh menimbulkan fitnah, tidak bersolek secara berlebihan, serta berpakaian mengikut syariat yang ditetapkan bagi wanita Muslimah.
- Pastikan suasana majlis bebas daripada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, bagi menjaga batas pergaulan sebagaimana yang digariskan dalam Islam.
- Persembahan yang diadakan mestilah berlandaskan tujuan dakwah dan menyemai kesedaran tentang Islam, bukan semata-mata untuk hiburan. Elemen seperti tazkirah atau zikir kepada Allah boleh dimasukkan bagi memanfaatkan ruang ini untuk menyampaikan kefahaman tentang Islam yang menyeluruh (Rujuk E-SMAF: 2/2012).
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa nyanyian wanita dibolehkan selama dilakukan dengan adab yang benar, tanpa melembutkan suara secara berlebihan hingga menimbulkan rangsangan. Hukum bagi wanita yang mengambil bahagian dalam paduan suara (koir) dengan percampuran pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram serta melenggokkan badan mengikuti irama lagu dan menampilkannya di hadapan umum adalah haram. Namun, suara wanita sendiri bukanlah aurat.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu a’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment