Asmaul Husna yang ke-96 ialah Al-Baqi yang bermaksud Tuhan yang Maha Kekal buat selama-lama tanpa penghujung bagi hayat-Nya.
Pada sifat Allah Al-Baqi itu tidak dapat ditiru kerana manusia adalah benda baru yang bakal menempuh ajal. Bagaimanapun masih ada perkara yang patut dilakukan iaitu amal soleh dan kerja-kerja kebajikan. Dengan demikian insya-Allah mereka akan beroleh pahala yang kekal hingga ke akhirat dan akan memberi manfaat yang sangat berharga. Mudah-mudahan manusia akan mencapai kejayaan di akhirat berbekalkan pahala yang banyak itu.
Untuk mendapatkan pahala itu banyak perkara yang boleh dilakukan, seperti bersedekah jariah. Misalnya, mewakafkan harta membina masjid dan rumah ibadat, madrasah tempat mengajar ilmu Allah SWT dan sebagainya.
Selain itu, bolehlah mengajar manusia dengan ilmu yang bermanfaat, mendidik anak-anak menjadi orang yang soleh, supaya seseorang itu kembali ke pangkuan Allah SWT. Maka segala pahalanya akan terus mengiringi rohnya menghadap Tuhan. Pendek kata apa jua amalan yang boleh mendatangkan pahala, lakukanlah semasa hayat dikandung badan.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment