أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَـٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ(١١)
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Mujadalah 58:11)
Para tetamu Allah yang dikasihi,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Menundukkan diri kepada segala perintah-Nya dan menjauhkan diri dari segala kemurkaan-Nya. Dengan rendah hati, khatib ingin mengajak para jemaah yang dikasihi, marilah kita mendengar khutbah ini bukan hanya dengan pendengaran, tetapi dengan penuh ketulusan di dalam hati.
Ingatlah, setiap patah kata yang disampaikan di mimbar ini adalah cahaya yang menerangi jalan kita ke akhirat yang abadi. Menghargai jasa dan pengorbanan para guru, bicara mimbar pada hari ini bertajuk “Guru Jantung Bangsa, Pemacu Ummah Berjaya”. Semoga ia dapat menyentuh hati dan minda kita semua.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari yang mulia ini, marilah kita menginsafi betapa pentingnya ilmu dalam membina insan dan umat. Ilmu adalah cahaya yang menghancurkan kejahilan, membimbing langkah menuju keredaan, meninggikan darjat insan, memajukan keluarga, dan menguatkan tiang masyarakat, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 yang dibacakan di awal khutbah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
Ketahuilah, ilmu adalah kunci kemenangan, asas kekuatan, dan perisai keselamatan. Tanpa ilmu, hidup menjadi kelam, umat menjadi malap dan suram serta generasi menjadi lemah dan tenggelam. Namun, ilmu itu tidak akan sampai tanpa guru yang berjuang. Guru bukan sekadar menyampaikan huruf dan angka, bukan hanya menghafal fakta, tetapi guru membina hati yang mengenal Tuhan, membentuk jiwa yang tunduk kepada syariat, dan menyemai akhlak yang mekar dalam diri seorang insan.
Kalimat “guru” hakikatnya tidak terhad kepada satu pekerjaan di sektor pendidikan seperti di sekolah mahupun institut pengajian tinggi. Siapa sahaja yang memberi tunjuk ajar dalam apa jua pengetahuan sekalipun adalah guru. Di sebalik setiap kejayaan yang gemilang, sudah pasti ada insan-insan yang memberikan kita tunjuk ajar dalam kehidupan baik secara formal ataupun ilmu kehidupan.
Oleh itu, mengingati jasa guru bukan sekadar adab biasa, tetapi adalah satu kewajipan agama. Rasulullah SAW sendiri mengajarkan adab terhadap para guru dan alim ulama. Baginda memuliakan orang berilmu dan menyatakan bahawa mereka adalah pewaris para nabi. Imam Abu Daud Rahimahullah meriwayatkan daripada Abu Darda’ Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham (harta), tetapi mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil ilmu, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”
Maka, barang siapa yang memuliakan guru, dia telah memuliakan ilmu, dan barang siapa yang memuliakan ilmu, dia telah meletakkan dirinya di jalan menuju syurga.
Wahai saudara-saudaraku sekalian,
Membina sebuah generasi yang berilmu, berakhlak mulia, dan mampu membangun peradaban merupakan impian kita dalam membentuk masyarakat madani. Pembinaan modal insan yang cemerlang ini bukanlah tugas satu pihak sahaja, tetapi menuntut kerjasama erat yang saling melengkapi antara dua tunjang utama: guru dan murid.
Kisah agung pertemuan Nabi Musa ‘alaihissalam dengan Nabi Khidr ‘alaihissalam dalam Surah Al-Kahfi memberikan kita pedoman berkenaan hubungan seorang guru dan murid yang terbaik demi menggapai ilmu dan hikmah yang tinggi.
Antara petunjuk yang boleh kita renungkan bersama ialah keikhlasan dalam menuntut Ilmu. Perjalanan mencari ilmu ini bermula daripada niat yang ikhlas. Nabi Musa, dengan kedudukannya yang mulia, menunjukkan keikhlasan dan keazaman yang luar biasa untuk mencari ilmu yang ada pada Nabi Khidr. Baginda sanggup bermusafir jauh demi tujuan itu. Pada masa yang sama, Nabi Khidr dengan ilmu yang dikurniakan Allah pula bersedia untuk berkongsi ilmu tersebut, meskipun dengan syarat. Proses pendidikan yang berjaya menuntut keikhlasan dari hati seorang murid untuk benar-benar mahu belajar, dan kesediaan tulus dari seorang guru untuk mencurahkan ilmu dan bimbingan. Keikhlasan inilah yang menjadi asas sinergi pendidikan.
Di samping itu, hubungan berasaskan adab, hormat dan persefahaman akan peraturan. Sinergi dalam pembelajaran hanya akan subur jika dibina di atas landasan adab dan saling menghormati. Nabi Musa menunjukkan adab yang tinggi dengan memohon izin Nabi Khidr untuk mengikutinya dan menyatakan hasrat untuk belajar. Sebagai seorang pendidik Nabi Khidr meletakkan peraturan yang perlu dipatuhi demi kelancaran proses pembelajaran. Guru perlu dihormati dan murid perlu faham serta patuh pada peraturan yang ditetapkan demi kebaikan bersama. Inilah intipati persefahaman dalam hubungan guru-murid.
Firman Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 66 merakamkan kesediaan Nabi Musa dalam menuntut ilmu:
قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًۭا(٦٦)
Maksudnya: Nabi Musa berkata kepadanya (Khidr): Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (Surah Al-Kahf 18:66)
Ayat ini jelas menunjukkan bukan sahaja hasrat Nabi Musa menuntut ilmu, tetapi juga harapannya agar ilmu itu berserta rushd yakni petunjuk kepada kebaikan. Tujuan ilmu itu sendiri adalah untuk membimbing kepada kehidupan yang berakhlak, yang memerlukan sinergi guru yang sudi membimbing dan kesediaan murid menerima bimbingan.
Selain itu, proses menuntut ilmu itu penuh cabaran seperti yang dilalui Nabi Musa dan Khidr. Murid mungkin berhadapan kesulitan memahami, membuat kesilapan, atau hilang sabar. Guru pula perlu sabar membimbing, menguji dan menegur dengan hikmah. Para pelajar pula harus bersabar dalam berusaha dan menerima teguran. Perjalanan bersama ini membentuk bukan sahaja kefahaman ilmu yang mendalam tetapi mematangkan sahsiah guru dan murid dalam menjadi insan yang sabar, tabah, dan bertanggungjawab.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Ketahuilah apabila seorang murid membesar menjadi insan yang beriman, berakhlak mulia dan menyumbang kebaikan kepada umat manusia, maka itu adalah kebanggaan dan kegembiraan yang tidak ternilai bagi seorang guru. Oleh itu, kita perlu menghormati pekerjaan seorang guru, mengenang jasa mereka dan berusaha menjadi insan yang terus menambah nilai dalam kehidupan. Mudah-mudahan menjadi bukti nyata kepada keberkatan ilmu yang telah mereka curahkan.
Marilah kita bermunajat memohon kepada Allah SWT dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati:
“Ya Allah, rahmati guru kami atas didikan ikhlas mereka, ampunilah dosa mereka dan tempatkanlah di syurga-Mu. Jadikanlah kami dan zuriat kami pewaris ilmu dan adab mulia, berguna kepada agama dan negara.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai kesimpulan khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran.
Pertama: Ilmu adalah kunci kemenangan, asas kekuatan, dan perisai keselamatan. Tanpa ilmu, hidup menjadi kelam, umat menjadi malap serta generasi menjadi lemah dan tenggelam. Namun, ilmu itu tidak akan sampai tanpa guru yang berjuang.
Kedua: Kita wajib menghargai jasa para guru yang telah berpenat lelah membimbing kita mengenal huruf, membina akal fikiran, memupuk adab dan akhlak, serta menanamkan nilai iman dalam diri kita. Tanpa mereka, kita tidak akan mengenal ilmu, tidak akan mengerti kehidupan, dan tidak akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Ketiga: Antara bentuk tanggungjawab kita adalah mendoakan kebaikan untuk para guru, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Hormatilah mereka, kenangkanlah bakti dan jasa serta sebarkanlah ilmu yang telah disampaikan oleh mereka.
Menutup tirai mimbar, renungi firman Allah SWT tentang ilmu dan hikmah, menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 269. Semoga kita sentiasa menggali ilmu dan menghormati para guru di sepanjang hidup ini.
يُؤْتِى ٱلْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ ٱلْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًۭا كَثِيرًۭا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ(٢٦٩)
Maksudnya: “Allah memberikan hikmah (ilmu yang mendalam) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang diberikan hikmah, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal.” (Surah Al-Baqarah 2:269)
Tarikh Bacaan: 18 Zulkaedah 1446H | 16 Mei 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment