Pernahkah anda, setelah menetapkan sesuatu matlamat, kemudian menggagalkannya secara semulajadi? Anda mungkin pernah menangguhkan projek besar, mengelak diri daripada perbualan yang penting, atau menamatkan hubungan yang mempunyai masa depan tanpa sebab munasabah. Cara-cara sabotaj diri ini boleh membuatkan kita tertanya-tanya, mengapa kita menggagalkan diri kita sendiri dan bagaimana kita boleh melepaskan diri daripada perangai sabotaj diri ini untuk menjadi seorang yang lebih sihat dan berjaya?
Sabotaj diri sendiri ini terjadi apabila ianya menyebabkan masalah dalam kehidupan seharian dan menganggu matlamat masa hadapan seseorang. Perangai sabotaj diri yang sering dilakukan ramai termasuklah sikap bertangguh-tangguh, ‘berubat sendiri’ dengan dadah dan alkohol, mencederakan diri sendiri dan sebagainya. Selalunya kita tidak sedar yang kita sedang mensabotaj diri sendiri. Namun mereka yang sedar bahawa dia melakukan perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada diri juga tidak menjamin yang dia akan berubah dan tidak melakukannya.
Pada terasnya, sabotaj diri ini merupakan mekanisma perlindungan yang berpunca daripada ketakutan, keraguan diri, dan corak tingkah laku yang sudah sebati. Ianya percubaan tanpa sedar diri kita untuk mengelak perasaan tidak selesa, mengelak penolakan, atau kegagalan cuma ironinya, sabotaj diri akan menghasilkan apa yang kita tidak mahu dalam kehidupan kita.
Mengapa Orang Sering Sabotaj Diri Sendiri?
- Takut Gagal (atau Berjaya): Takut gagal merupakan punca biasa seseorang mensabotaj diri, tetapi ada juga yang takut berjaya kerana apabila seseorang mencapai matlamatnya, ianya datang dengan tekanan tambahan, jangkaan yang lebih tinggi, atau iri hati daripada orang lain. Bagi sesetengah orang, selesa itu ‘lebih selamat’ berbanding meneroka perkara yang mereka tidak pasti atau ketahui.
- Kurang Harga Diri: Jika diri berasa tidak layak untuk berjaya, anda mungkin mempunyai kurang harga diri. Secara tidak sedar seseorang mungkin mensabotaj diri untuk mengesahkan ciri-ciri negatif diri sendiri, lantas mengekalkan kitaran kecewa dalam kehidupan.
- Sikap Terlalu Sempurna: Sikap terlalu sempurna ini memberi risiko kepada diri di mana walaupun diri mempunyai standard yang tinggi, ia juga boleh menyebabkan diri sendiri tidak maju kerana takut apa yang dilakukan tidak “cukup baik”. Ini boleh menyebabkan penangguhan atau mengelak dalam memastikan diri tidak pernah mengambil risiko untuk gagal.
- Trauma Yang Tidak Ditangani: Pengalaman lalu, terutamanya yang melibatkan penolakan, pengkhianatan, atau kegagalan, mampu membentuk cara kita melihat diri dan dunia. Trauma yang tidak ditangani dengan baik boleh mencetuskan tingkah laku mensabotaj diri sebagai cara untuk mengelak daripada mengulangi pengalaman yang menyakitkan.
- Selesa Dalam Dunia Sendiri: Manusia adalah makhluk tabiat. Walaupun bersikap negatif, manusia boleh berasa selamat kerana mereka sudah terbiasa dengannya. Sebagai contoh, jika kita membesar dalam persekitaran yang huru-hara dan tidak terurus, secara tidak sedar kita akan mencipta semula huru-hara dalam kehidupan sendiri, walaupun ianya berisiko negatif.
Cara Biasa Sabotaj Diri
- Bertangguh-tangguh: Menangguhkan tugas, selalunya kerana takut gagal atau risiko ketidaksempurnaan.
- Terlebih komited: Mengambil terlalu banyak tugasan sehingga diri sendiri keletihan dan menghasilkan tugasan yang tidak cemerlang.
- Cakap Kendiri Negatif: Kritikan dalaman yang menjejaskan keyakinan dan motivasi.
- Sikap Mengelak: Mengelak peluang, perbualan atau risiko yang boleh membawa kepada kemajuan diri.
- Hubungan Toksik: Kekal dalam dinamik perhubungan yang tidak sihat yang menguatkan lagi perasaan bahawa diri anda ‘tidak berguna’.
Bagaimana Menghentikan Sabotaj Diri?
- Cabar Fikiran Negatif: Mulakan dengan mengenal pasti fikiran yang mendorong perangai sabotaj diri. Sebagai contoh, jika anda percaya bahawa diri sendiri “tidak cukup baik”, tanya diri anda: Adakah ini berdasarkan fakta, atau adakah ia hanyalah rekaan yang saya percaya? Gantikan fikiran negatif dengan fikiran tentang diri anda yang lebih membina dan realistik.
- Tetapkan Matlamat Kecil dan Boleh Dicapai: Mengagihkan matlamat besar kepada langkah yang lebih kecil dan boleh diurus akan mengurangkan perasaan keterlaluan dan membina keyakinan. Raikan setiap kemajuan, tidak kira betapa kecilnya dan ini akan menambah rasa cekap dalam diri.
- Terima Ketidaksempurnaan: Ingatkan diri anda bahawa kesempurnaan adalah ilusi. Membuat silap adalah biasa dalam proses memajukan diri dan bukannya tanda kegagalan. Pupuk perasaan belas kasihan pada diri apabila tersilap langkah, dan gunakan halangan sebagai peluang untuk belajar.
- Bina Sistem Sokongan: Kelilingi diri dengan mereka yang menggalakkan dan menaikkan semangat. Kongsi matlamat dan perjuangan dengan rakan atau mentor yang dipercayai, iaitu mereka yang boleh menawarkan perspektif, kebertanggungjawapan dan motivasi.
- Amalkan Sifat Sentiasa Sedar: Kesedaran membantu diri kita kekal hadir dan sedar tentang pemikiran dan tindakan diri sendiri. Apabila anda perasan kecenderungan mensabotaj diri menjalar masuk, berhenti sejenak dan renung diri. Apakah yang mencetuskan tingkah laku ini? Apakah hasil yang anda inginkan sebenarnya?
- Dapatkan Bantuan Profesional: Untuk perangai yang berakar umbi dalam diri, ambillah khidmat nasihat ahli terapi atau kaunselor untuk menanganinya bagi jangkamasa panjang. Mereka boleh membantu anda mendedahkan punca, memproses trauma masa lalu dan membangunkan strategi mengatasi yang lebih sihat.
Tiba masanya untuk melepaskan diri daripada perangai sabotaj diri dan mencabar potensi diri sendiri untuk masa hadapan yang lebih baik.
Leave a comment