Apa Yang Perlu Dilakukan Selepas Solat Istikharah?

Soalan

Bagaimana kita mengetahui sama ada Allah memberi petunjuk selepas kita melakukan solat istikharah? Sekiranya saya merasakan petunjuk A itu dari Allah, tapi saya pilih B, adakah saya berdosa sebab saya tidak memengendahkan petunjuk Allah? Saya dalam dilema sama ada perlu meneruskan pengajian sambil bekerja atau tidak, jika saya menyambung pengajian, adakah saya berdosa?

Penjelasan

Pertama sekali, perlu diingatkan bahawa istikharah dilakukan bukanlah untuk memilih perkara ketaatan atau maksiat, halal atau haram, afdhal atau kurang afdhal namun ia untuk memilih dua perkara yang sukar dipilih kerana sama kedudukan dan kebaikannya. 

Apabila seseorang telah melakukan istikharah, maka Allah SWT akan memberikan taufiq dan hidayah kepada orang yang melaksanakannya untuk menyempurnakan urusannya dengan sebaik mungkin. 

Walau bagaimanapun, telah menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.

Bahkan, para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah ialah dengan apa yang dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata:

وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ، والله أعلم

Maksudnya: “Kemudian hendaklah dia bangkit daripada melakukan istikharah tersebut terhadap apa yang telah dilapangkan dadanya kepadanya.”

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, bahawa tidak disyaratkan untuk bermimpi untuk mendapat jawapan terhadap istikharah yang dilakukan, bahkan tidak memerlukan apa-apa petunjuk melainkan dengan dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusan.

Oleh itu, apabila seseorang telah melakukan istikharah hendaklah dia melakukan hal urusannya seperti biasa berdasarkan apa yang dilapangkan hatinya dan dimudahkan urusannya, serta tidak menunggu untuk mendapat jawapan dalam bentuk mimpi atau seumpamanya. Hal ini kerana istikharah yang dilakukan adalah untuk kita memohon pengakhiran yang baik kepada Allah SWT terhadap urusan yang kita usahakan.

Kedua, tidak berdosa jika tidak memilih apa yang telah dilapangkan oleh Allah SWT berkenaan dua pilihan yang baik. Sesungguhnya tidak akan menyesal dan kecewa orang yang melaksanakan istikharah dan istisyarah kepada Allah SWT berdasarkan satu hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلَا عَالَ مَن اقتَصَد

Maksudnya: Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

Sumber: eMusykil, Mufti Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑