Soalan
Apakah kesahihan cerita tentang dailog antara Rasulullah SAW dengan malaikat Jibril AS berkaitan Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril AS adakah beliau pernah ketawa? Jibril AS membalas ya pernah, kerana aku melihat manusia mencari ketenangan dunia, sedangkan ketenangan itu tidak ada di dunia.
Penjelasan
Tidak dijumpai teks hadis yang menceritakan berkenaan dialog Nabi SAW bersama malaikat Jibril AS tentang adakah Jibril AS pernah ketawa atau tidak dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Antara ciri-ciri sesuatu hadis itu palsu ialah teksnya tidak ditemui dalam mana-mana karya ulama hadis yang muktabar.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Setelah membuat carian, didapati bahawa hadis ini banyak tersebar di internet sama ada di facebook, tiktok, instagram dan seumpamanya. Lafaz riwayat tersebut adalah seperti berikut:
سأل النبي صلى الله عليه وسلم جبرائيل عليه السلام : هل أنت تضحك ؟ قال له نعم . قال له النبي صلى الله عليه وسلم: متى ؟ قال : عندما يخلق الإنسان ، ومن أول ما يولد إلى إن يموت ، وهو يبحث عن شيء ، وهو لم يخلق في الدنيا . تعجب النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : ما هو الشيء الذي يبحث عنه الإنسان ، ولم يخلق في الدنيا ؟ قال جبرائيل : الراحة ؛ إن الله لم يخلق الراحة في الدنيا ، بل خلقها في الآخرة .
Maksudnya: “Nabi SAW pernah bertanya kepada Jibril AS: Adakah engkau pernah ketawa? Maka Jibril AS pun menjawab: Ya, pernah. Lalu Nabi SAW pun bertanya lagi: Bila? Jibril AS menjawab: Ketika manusia diciptakan, semenjak dia dilahirkan hingga dia meninggal dunia, dia mencari sesuatu yang tidak diciptakan di dunia ini. Rasulullah SAW terkejut dan bertanya: Apakah yang dicari oleh manusia itu, yang tidak diciptakan di dunia? Jibril AS menjawab: Ketenangan; sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan ketenangan di dunia, tetapi Dia menciptakannya di akhirat.”
Riwayat ini tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis bersanad yang muktabar. Menurut Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor antara cara untuk mengenali sesuatu hadis itu palsu ialah tidak ditemui dalam mana-mana kitab ulama walaupun setelah membuat penelitian yang mendalam.
Selain itu, hadis-hadis yang palsu antara ciri lainnya ialah mempunyai kelemahan dan penuh dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas, yang menunjukkan kepalsuan dan rekaan yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.
Namun terdapat hadis lain yang menceritakan berkenaan dialog Nabi SAW dengan Jibril AS tentang adakah malaikat Mikail AS tidak pernah ketawa? Hadis ini telah dibahaskan dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-531 tetapi ulama hadis berbeza pandangan dalam menilai hadis ini.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan di atas, tidak dijumpai teks hadis yang menceritakan berkenaan dialog Nabi SAW bersama malaikat Jibril AS tentang adakah Jibril AS pernah ketawa atau tidak dalam mana-mana karya hadis yang muktabar.
Antara ciri-ciri sesuatu hadis itu palsu ialah teksnya tidak ditemui dalam mana-mana karya ulama hadis yang muktabar.
Wallahu a’lam
Sumber: PMWP
Leave a comment