Soalan
Saya ingin bertanya, benarkah wujud ramai Khalifah yang jahat dalam empayar dunia Islam dahulu?
Penjelasan
Ya, kita tidak menafikan bahawa di sana terdapat beberapa khalifah yang zalim ketika mereka memerintah kerajaan Islam. Namun, bagi mengetahuinya dengan lebih terperinci kami cadangkan saudara mempelajarinya serta memperluaskan lagi bacaan melalui kitab-kitab sejarah Islam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Kitab-Kitab Sejarah Islam
Bagi mengetahui sejarah pemerintahan Islam terdahulu, Maka di sini, kami lampirkan beberapa rujukan sebagai panduan pihak tuan dalam mengenal sejarah kerajaan Islam terdahulu.
1. al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية)
- Pengarang: Imam Ismail Ibn Kathir (w. 774H)
2. Tarikh al-Tabari (تاريخ الطبري)
- Pengarang: Imam Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari (w. 310H)
3. Tarikh Dimasyq
- Pengarang: Ibn Asakir (w. 571H)
4. Tarikh Khalifah (تاريخ الخلفاء)
- Pengarang: Imam Jalaluddin al-Suyuti (w. 911H)
5. al-Kamil fi al-Tarikh (الكامل في التاريخ)
- Pengarang: Ibn al-Athir (w. 630H)
Kitab-kitab yang telah kami sebutkan di atas merupakan sebahagian daripada sumber utama yang menjadi rujukan dalam memahami sejarah pemerintahan umat Islam pada zaman terdahulu. Pelbagai peristiwa penting telah direkodkan di dalamnya, merangkumi pemerintahan para khalifah serta tokoh-tokoh berpengaruh dalam dunia Islam. Sehubungan itu, bagi mendapatkan pemahaman yang lebih jelas dan terperinci, kami nasihatkan agar pihak saudara menelusuri bahan-bahan rujukan tersebut serta terus berusaha dalam mempelajari ilmu sejarah islam.
Al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa khalifah dalam sejarah Islam yang telah disebut oleh para sejarawan sebagai pemerintah yang bersikap zalim. Antara tokoh yang sering dikaitkan dengan sifat sedemikian ialah al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi, salah seorang tokoh berpengaruh dalam pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah. Pelbagai kenyataan telah direkodkan oleh sejarawan Islam berkaitan tindakan dan dasar pemerintahannya antaranya al-Hafiz Ibn Kasir menyebut di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
وَأَمَّا المبير فهو الجاج بْنُ يُوسُفَ هَذَا، وَقَدْ كَانَ نَاصِبِيًّا يُبْغِضُ عَلِيًّا وَشِيعَتَهُ فِي هَوَى آلِ مَرْوَانَ بَنِي أُمَيَّةَ، وَكَانَ جَبَّارًا عَنِيدًا، مِقْدَامًا عَلَى سَفْكِ الدِّمَاءِ بِأَدْنَى شُبْهَةٍ. وَقَدْ رُوِيَ عَنْهُ أَلْفَاظٌ بَشِعَةٌ شَنِيعَةٌ ظَاهِرُهَا الْكُفْرُ كَمَا قَدَّمْنَا. فَإِنْ كَانَ قَدْ تَابَ مِنْهَا وَأَقْلَعَ عَنْهَا، وَإِلَّا فَهُوَ بَاقٍ فِي عُهْدَتِهَا، وَلَكِنْ قَدْ يُخْشَى أَنَّهَا رُوِيَتْ عَنْهُ بِنَوْعٍ مِنْ زِيَادَةٍ عَلَيْهِ، فَإِنَّ الشِّيعَةَ كَانُوا يُبْغِضُونَهُ جِدًّا لِوُجُوهٍ، وَرُبَّمَا حَرَّفُوا عَلَيْهِ بَعْضَ الْكَلِمِ. وَزَادُوا فِيمَا يَحْكُونَهُ عَنْهُ بَشَاعَاتٍ وَشَنَاعَاتٍ.
Maksudnya: Adapun yang dimaksudkan dengan al-Mubīr (si pembinasa) ialah Al-Hajjaj bin Yusuf ini. Dia adalah seorang nāsibī (pembenci Sayyidina ‘Ali dan pengikutnya) yang membenci ‘Ali dan kelompoknya demi kecenderungannya kepada keluarga Marwan dari Bani Umayyah. Dia merupakan seorang yang sangat zalim, keras kepala, dan berani menumpahkan darah hanya dengan syubhat yang paling ringan. Telah diriwayatkan daripadanya beberapa ucapan yang keji dan sangat buruk, yang zahirnya menunjukkan kekufuran, sebagaimana yang telah kami nyatakan terdahulu. Jika dia telah bertaubat dan meninggalkan perkara-perkara tersebut, maka (semoga) dia terlepas daripadanya. Namun, jika tidak, maka dia kekal dalam tanggungan (dosa)nya. Walau bagaimanapun, dikhuatiri sebahagian riwayat tersebut telah ditokok-tambah terhadapnya, kerana golongan Syiah sangat membencinya atas pelbagai sebab. Maka, tidak mustahil mereka telah menyelewengkan sebahagian kata-katanya serta menambahkan padanya perkara-perkara yang mengerikan dan menjijikkan.
Kata al-Hafiz Ibn Katsir lagi:
وَقَدْ رُوِّينَا عَنْهُ أنَّه كَانَ يَتَدَيَّنُ بِتَرْكِ الْمُسْكِرِ، وَكَانَ يُكْثِرُ تِلَاوَةَ القرآن، ويتجنب المحارم، ولم يشتهر عنه شئ مِنَ التَّلَطُّخِ بِالْفُرُوجِ، وَإِنْ كَانَ مُتَسَرِّعًا فِي سَفْكِ الدِّمَاءِ فَاللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ وَحَقَائِقِ الأمور وساترها، وخفيات الصدور
Maksudnya: Diriwayatkan kepada kami bahawa beliau meninggalkan perkara-perkara yang memabukkan, banyak membaca al-Quran, menjauhi larangan-larangan agama, dan tidak dikenali sebagai seseorang yang pernah terlibat dalam perkara keji berkaitan nafsu syahwat, walaupun beliau sangat berani dalam hal menumpahkan darah. Maka Allah Ta‘ala jualah yang lebih mengetahui akan kebenaran dan hakikat segala urusan, termasuk rahsia-rahsianya serta perkara-perkara yang tersembunyi dalam hati manusia. [Rujuk al-Bidayah wa an-Nihayah Jld. 9, Hlmn. 153]
Demikian sebahagian daripada catatan yang terkandung dalam karya sejarawan Islam. Sebenarnya, masih banyak lagi kisah dan peristiwa yang direkodkan oleh para sejarawan berkaitan sejarah pemerintahan serta tokoh-tokoh terkenal yang memainkan peranan penting dalam era masing-masing. Justeru, bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut, maka tidak dapat tidak kita mestilah mempelajarinya serta meluaskan lagi bahan bacaan.
Kesimpulan
Memang tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir khalifah yang berlaku zalim semasa mentadbir kerajaan Islam. Namun, bagi memahami isu ini dengan lebih menyeluruh, kami mencadangkan agar pihak tuan meneliti kitab-kitab sejarah Islam yang kami sebutkan di atas.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu a’lam
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment