Hukum Pemerintah Mengharamkan Pembunuhan Haiwan Terancam

Soalan

Setahu saya, Islam menghalalkan membunuh haiwan yang merbahayakan manusia seperti kala jengking. Tetapi, apakah hukumnya apabila pemerintah membuat undang-undang yang mengharamkan rakyat daripada membunuh haiwan terpelihara seperti harimau dan sesetengah jenis gagak atas alasan pemeliharaan spesis tersebut?

Penjelasan

Hukum pemerintah yang mengharamkan pembunuhan haiwan terancam adalah berkait rapat dengan usaha untuk melindungi habitat asal haiwan tersebut. Oleh itu, langkah ini selaras dengan prinsip-prinsip syarak dan tidak bertentangan dengan hukum Islam. Walau bagaimanapun, sekiranya haiwan tersebut menceroboh kawasan kediaman, tindakan pertama yang perlu diambil adalah dengan menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Haiwan Perosak

Haiwan fawasiq merujuk kepada haiwan perosak yang berpotensi mendatangkan mudarat dan bahaya kepada manusia. Justeru, syarak membenarkan seseorang untuk membunuh haiwan-haiwan ini apabila ia mengancam keselamatan. Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, di mana Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya: Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.

[Riwayat al-Bukhari 3314 & Muslim 1198]

Keharusan membunuh haiwan perosak sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis tidaklah terhad kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Sebaliknya, ia merangkumi semua haiwan yang boleh membawa ancaman atau gangguan khususnya yang menjejaskan keselamatan manusia atau menyebabkan kerosakan. Ini seperti mana yang disebutkan oleh imam al-Nawawi dalam kitabnya:

Haiwan-haiwan tertentu digelar fasiq disebabkan keluarnya hanya mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui oleh haiwan tunggangan. [Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, Jld. 14, Hlmn. 97]

Syeikh Nawawi al-Bantani Rahimahullah dalam kitabnya, Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja, telah menyebut:

يُسَنُّ قَتْلُ ٱلْمُؤْذِيَاتِ ، أَيْ : الَّتِيْ تُؤْذِيْ بِطَبْعِهَا ، كَالْفَوَاسِقِ الْخَمْسِ ، وَهِيَ ٱلَّتِيْ كَثُرَ خَبَتُهَا وَإِيْذَاؤُهَا

Maksudnya: Disunatkan untuk membunuh binatang yang mendatangkan gangguan iaitu secara tabiatnya seperti al-Fawasiq al-Khams. Ini kerana keadaannya yang mendatangkan rasa jijik, kotor dan juga menganggu. [Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja hlmn. ]

Jadi, sekiranya haiwan yang ganas dan berbahaya tersebut menceroboh kawasan tempat tinggal atau persekitaran manusia serta mengancam keselamatan atau mengganggu keadaan sekeliling, syarak membenarkan tindakan membunuh haiwan tersebut dengan syarat ia dilakukan dengan penuh ihsan tanpa menyeksa atau menyakiti haiwan itu. Namun, jika haiwan yang ditemui merupakan spesies yang hampir pupus, langkah yang lebih wajar adalah dengan menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) terlebih dahulu, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjutan.

Cara Membunuh Haiwan

Walaupun syariat membenarkan pembunuhan haiwan fawasiq, Islam sangat menitikberatkan adab dan nilai ihsan dalam setiap tindakan. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkata, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kalian tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah.

[Riwayat Muslim 1955]

Walaupun terdapat keharusan dalam membunuh haiwan fawasiq ini, namun adab yang telah diterapkan oleh ajaran Islam melalui hadis-hadis Nabi Muhammad SAW perlulah diberi perhatian. Pembunuhan haiwan tersebut mestilah dilakukan dengan penuh ihsan dan tanpa diseksa. Adalah penting untuk memastikan haiwan tersebut dibunuh dengan cara yang paling cepat dan paling sedikit memberi kesakitan, mengikut prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam syariat.

Kenapa Haiwan Terancam Kepupusannya Perlu Diselamatkan

Haiwan yang hampir pupus perlu diselamatkan kerana mereka penting untuk keseimbangan alam. Setiap haiwan ada peranan dalam rantaian makanan dan ekosistem. Jika satu spesies hilang, ia boleh menyebabkan gangguan besar kepada alam semula jadi dan kehidupan makhluk lain, termasuk manusia. Kepupusannya pula bermakna kita kehilangan ciptaan Allah yang unik dan tidak akan kembali.

Sebahagian manusia juga bergantung kepada haiwan dan habitat mereka untuk sumber makanan, ubat-ubatan, dan pendapatan. Oleh itu, menyelamatkan haiwan yang terancam bukan sahaja menjaga alam, tetapi juga menjaga kehidupan manusia.

Harimau contohnya, sangat penting dalam menjaga keseimbangan alam. Ia memburu haiwan seperti rusa dan babi hutan, sekali gus mengelakkan tumbuh-tumbuhan dimakan secara berlebihan.

Harimau juga memilih mangsa yang lemah atau sakit. Ini membantu memastikan hanya haiwan yang sihat terus hidup dan membiak. Dengan cara ini, harimau bantu kuatkan kesihatan haiwan buruan dan seluruh ekosistem.

Kehadiran harimau juga membuatkan haiwan lain lebih berhati-hati dan tidak membiak sesuka hati. Ini bantu kawal jumlah spesies supaya tidak ada yang terlalu banyak atau terus pupus. Selain itu, harimau juga makan haiwan kecil seperti tikus, yang kalau dibiarkan boleh merosakkan tanaman dan alam sekitar.

Harimau hidup dalam hutan semula jadi, dan manusia pun sangat perlukan hutan ini. Ada yang cari rezeki dari hasil hutan, dan ada juga yang bergantung pada hutan untuk dapatkan udara bersih, makanan, serapan karbon dan banyak lagi manfaat alam. Oleh itu, melindungi harimau Malaya dan habitatnya bukan sekadar melindungi haiwan, tetapi juga menjaga masa depan alam dan manusia itu sendiri.

Dalam Kaedah fiqhiyyah dinyatakan :

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyat mestilah berpandukan kepada maslahah.”

Maka, adalah harus dan wajar bagi pemerintah mengharamkan pembunuhan haiwan yang hampir pupus seperti harimau demi kemaslahatan rakyat dan alam.

Menangani Konflik Manusia-Harimau

Apabila harimau masuk ke kawasan kampung, tindakan tangkap dan pindah oleh PERHILITAN menunjukkan keadilan dalam menangani konflik, tanpa membunuh haiwan tanpa sebab syarie. Islam mengharamkan pembunuhan haiwan melainkan jika ada ancaman nyata.

Sabda Nabi SAW

من قتل عصفورا عبثا عج إلى الله عز وجل يوم القيامة  يقول يا رب إن فلانا قتلني عبثا ولم يقتلني لمنفعة

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seekor burung (atau makhluk kecil) dengan sia-sia, maka ia akan datang mengadu kepada Allah ‘Azza wa Jalla pada hari kiamat sambil berkata: Wahai Tuhanku, si fulan telah membunuhku dengan sia-sia dan bukan kerana sebarang manfaat (yang diharuskan).”

(Riwayat al-Nasa’i no 4446)

Hadis ini menggambarkan betapa Islam amat menitikberatkan rahmat dan belas ihsan terhadap haiwan, bahkan seekor burung kecil pun mempunyai hak untuk mendapat keadilan di akhirat. Ia juga menunjukkan bahawa setiap perbuatan kezaliman walau sebesar mana atau sekecil mana  akan diadili oleh Allah pada hari kiamat. Maka, membunuh haiwan tanpa sebab yang syarie atau manfaat yang sah adalah satu kezaliman yang dihisab.

Jika burung pun Nabi larang dibunuh sewenang-wenangnya, maka lebih-lebih lagi harimau yang menjadi simbol ekosistem dan kebanggaan negara. Oleh itu, adalah lebih wajar untuk menghubungi pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum mengambil tindakan sendiri. Ini bagi memastikan tindakan yang diambil selari dengan undang-undang dan tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Kesimpulan

Syara’ membenarkan tindakan membunuh haiwan yang membahayakan nyawa atau haiwan perosak yang mengganggu keselamatan diri atau keluarga seseorang atau keselamatan awam. Walau bagaimanapun, keharusan ini tidak terpakai sekiranya haiwan berkenaan berada dalam habitatnya di hutan simpan yang dilindungi. Sekiranya haiwan tersebut menceroboh kawasan penempatan manusia dan menimbulkan ancaman keselamatan, maka tindakan awal yang wajar ialah dengan melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahu a’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑