Hukum Persenda Agama Islam

Soalan

Adakah seseorang itu jatuh kafir jika mempersendakan agama atau menjadikan syariat agama bahan lawak? Apakah yang termasuk dalam kategori persendakan agama? Sebagai contoh, ustaz yang sedang menyebar ilmu agama dan dalam memastikan pendengar tidak bosan, ustaz melawak sikit. Adakah itu termasuk dalam kategori persenda agama? 

Selain itu, jika orang buat lawak tentang Jin, adakah dia dikira menjadikan agama bahan lawak atau itu serupa seperti melawak tentang makhluk lain seperti ayam dan ikan? Atau jika saya seorang pelajar, dan saya banyak melawak tentang subject yang saya pelajari, atau buat lawak tentang universiti atau pembelajaran di universiti ketika bersosial bersama pelajar yang lain, adakah itu dikira menjadikan agama bahan lawak? 

Penjelasan

Berjenaka dan berlawak dibenarkan dalam Islam sebagai fitrah manusia, selagi tidak mengandungi penghinaan, pembohongan atau mempermainkan agama dan syiarnya. Menjadikan agama, hukum syarak, ayat al-Quran, hadis atau nama Allah sebagai bahan jenaka adalah dosa besar yang boleh membawa kepada kekufuran. Namun, jenaka dalam konteks pendidikan atau dakwah yang menjaga adab serta batas syarak adalah dibolehkan, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah berjenaka secara santun dan benar. Lawak mengenai perkara duniawi seperti haiwan atau kehidupan harian juga dibolehkan, kecuali jika terselit penghinaan terhadap syariat secara jelas atau tersirat.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Islam adalah agama yang menjaga kehormatan, kesucian, dan maruah syariat. Dalam masa yang sama, ia juga meraikan fitrah manusia yang memerlukan hiburan dan keceriaan dalam kehidupan. Oleh itu, Islam membenarkan jenaka dan gurauan selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip syarak. Namun begitu, terdapat batasan yang perlu dijaga kerana terdapat jenaka yang boleh membawa kepada kekufuran jika ia memperlekeh agama atau syariatnya.

Ancaman Terhadap Sikap Mempersendakan Agama

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ

Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang perbuatan mereka), tentulah mereka akan menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual-bual dan bermain-main sahaja.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Adakah Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mempermain-mainkan? Jangan kamu berdalih, sesungguhnya kamu telah kufur selepas kamu beriman…”

[Surah al-Tawbah 9:65-66]

Imam al-Tabari menjelaskan: “Allah SWT berfirman kepada Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya engkau bertanya, wahai Muhammad, kepada orang-orang munafik ini tentang apa yang mereka katakan berupa kebatilan dan dusta itu, pasti mereka akan menjawab kepadamu: ‘Sesungguhnya kami hanya berbicara secara main-main dan bergurau sahaja.'” Lalu Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW: “Katakanlah, wahai Muhammad: Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan?”

Kisah Riwayat Zaid bin Aslam: Disebutkan bahawa seorang lelaki dari kalangan munafik berkata kepada ‘Auf bin Malik ketika dalam Perang Tabuk: “Apakah halnya dengan para qari (pembaca al-Quran) kita ini? Mereka adalah yang paling rakus perutnya (yakni suka makan), paling banyak berdusta lisannya, dan paling penakut ketika bertemu musuh!”

Maka ‘Auf bin Malik menjawab: “Engkau berdusta! Bahkan engkau adalah seorang munafik! Aku pasti akan memberitahu Rasulullah SAW tentang apa yang kamu katakan!”

Lalu ‘Auf segera pergi kepada Rasulullah SAW untuk memberitahu perkara tersebut, namun didapati bahawa wahyu al-Quran telah lebih dahulu turun mendedahkan perbuatan mereka.

Zaid berkata: Abdullah bin Umar menceritakan bahawa beliau melihat lelaki munafik itu sedang bergantung pada tali unta Rasulullah SAW sambil batu-batu dilemparkan ke arahnya, dia berkata: “Sesungguhnya kami hanya bergurau dan berbicara tanpa maksud serius.”

Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda kepadanya: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu memperolok-olokkan?” [Rujuk Tafsir al-Tabari, jld. 14, hlm. 333]

Apa-apa sahaja yang menafikan asas keimanan sama ada melalui niat, ucapan atau perbuatan boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam, walaupun perkara itu dilakukan secara main-main atau tanpa rasa bersalah.

Para ulama Islam telah menjelaskan dengan terperinci mengenai perkara-perkara yang membatalkan keislaman seseorang, bagi menjaga kesucian akidah dan mengelakkan umat Islam daripada terjerumus dalam kekufuran tanpa disedari. Antara tokoh yang memberikan penjelasan yang tuntas dan berwibawa dalam hal ini ialah Imam al-Nawawi, beliau menyebut:

قطع الإسلام بنية أو قول كفر أو فعل سواء قاله استهزاء أو عنادا أو اعتقادا فمن نفى الصانع أو الرسل أو كذب رسولا أو حلل محرما بالإجماع كالزنا أو عكسه أو نفى وجوب مجمع عليه أو عكسه أو عزم على الكفر غدا أو تردد فيه كفر والفعل المكفر ما تعمده استهزاء صريحا بالدين أو جحودا له كإلقاء مصحف بقاذورة وسجود لصنم أو شمس

Maksudnya: “Islam terputus (batal) dengan niat, ucapan, atau perbuatan kufur, sama ada perkara itu diucapkan dalam dengan tujuan ejekan, sangkalan, atau melibatkan kepercayaan. Maka sesiapa yang menafikan wujudnya Pencipta (Allah), atau menafikan para rasul, atau mendustakan seorang rasul, atau menghalalkan perkara yang telah disepakati haramnya secara ijma‘ seperti zina, atau sebaliknya (mengharamkan perkara yang dihalalkan secara ijma‘), atau menafikan kewajipan perkara yang disepakati wajibnya secara ijma‘, atau sebaliknya (mewajibkan perkara yang tidak diwajibkan secara ijma‘), atau berazam untuk kufur pada esok hari, atau berada dalam keadaan ragu-ragu terhadap kekufuran itu, maka dia menjadi kafir.

Adapun perbuatan yang menyebabkan kekufuran ialah perbuatan yang dilakukan dengan sengaja dalam bentuk ejekan yang jelas terhadap agama, atau penolakan terhadapnya, seperti membuang mushaf (al-Quran) ke dalam tempat najis, atau sujud kepada berhala atau matahari.”

[Rujuk Minhaj al-Talibin, jld. 1, hlm. 293]

Batasan dalam Berlawak Menurut Perspektif Islam

Islam adalah agama yang seimbang dan meraikan fitrah manusia, termasuk keperluan kepada hiburan dan gurauan. Namun, dalam bergurau atau berlawak, terdapat batasan syarak yang wajib dipatuhi agar tidak terjerumus kepada dosa atau perkara yang boleh merosakkan akhlak dan iman seseorang. Dalam konteks seorang guru menyelitkan lawak ketika mengajar, hal ini dibolehkan selagi ia mematuhi adab dan batas syarak. Gurauan yang sopan boleh membantu menarik perhatian pelajar dan menjadikan pengajaran lebih berkesan.

Guru Agama Membuat Jenaka Saat Mengajar

Guru yang membuat lawak semasa menyampaikan ilmu tidaklah berdosa, selama gurauannya terpelihara dari perkara haram. Malah, pendekatan menyelitkan humor ringan boleh dianggap perbuatan baik jika diniatkan untuk memudahkan pemahaman ilmu dan menggembirakan pelajar. Apa yang dilarang adalah jika gurauan itu menjurus kepada memperlekeh ilmu agama atau menghina dalil syarak. Contohnya, jika seorang guru melawak dengan memesongkan pemahaman sebenar ayat al-Quran atau hadis untuk dijadikan bahan ketawa, maka itu jelas haram kerana termasuk mempersenda ayat Allah.

Begitu juga, bergurau berlebihan hingga melalaikan atau menghilangkan kehormatan majlis ilmu patut dielakkan. Sebaliknya, gurauan yang tidak menyentuh hal-hal kesucian syariat Islam dan tidak melampau adalah dibenarkan. Hal ini termasuklah membuat contoh jenaka tentang perkara dunia dalam kuliah – misalnya kisah lucu, perumpamaan melibatkan haiwan, ataupun membuat gurauan tentang jin sebagai makhluk Allah.

Gurauan tentang jin atau subjek pelajaran pada asasnya tidak termasuk dalam larangan istihzā’ agama, selagimana niatnya sekadar hiburan dan tidak mengandungi unsur menghina mana-mana hukum Allah atau perkara ghaib. Jin merupakan salah satu makhluk yang disebut dalam al-Quran, dan mempercayai kewujudannya adalah sebahagian daripada kepercayaan kepada al-Quran itu sendiri.

Jika seseorang bergurau tentang jin dalam erti bercerita lucu mengenai telatah jin atau pengalaman diganggu jin secara berseloroh, itu diharuskan selagi tidak  memperolok ayat-ayat Quran tentang jin dan kewujudannya. Yang perlu diperhatikan, jangan sampai gurauan itu menghina sunnah Nabi  misalnya mempermainkan ruqyah syar‘iyyah (rawatan dengan ayat Quran) terhadap jin, atau mempersendakan doa Nabi ketika berlindung daripada gangguan syaitan.

Selama mana tiada unsur sedemikian, hukum bergurau tentang jin, haiwan, atau perkara-perkara biasa dalam pengalaman pembelajaran adalah harus. Hal ini kerana ia tergolong dalam gurauan umum mengenai perkara dunia, bukan mempermainkan agama. Kaedah fiqh menyebut “Asal pada segala sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus”, maka bergurau tentang subjek pelajaran atau makhluk seperti jin dan haiwan dibolehkan selagi tidak melanggar batas syarak.

Garis Panduan Gurauan

Para ulama telah menetapkan garis panduan berdasarkan al-Quran, hadis dan kaedah syarak dalam soal ini.

Berikut adalah beberapa etika dan batasan dalam bergurau menurut syariat Islam:

1. Larangan Berbohong dalam Gurauan

Islam melarang sama sekali perbuatan berbohong, walaupun dalam konteks bergurau. Ini kerana dusta adalah dosa besar yang tidak boleh dipandang ringan, sekalipun tujuannya sekadar ingin mencetuskan ketawa.

Sabda Nabi SAW:

‏وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالْحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ، وَيْلٌ لَهُ‏

Maksudnya: “Celaka bagi seseorang yang bercakap dusta untuk membuat orang lain ketawa. Celaka baginya! Celaka baginya!”

[Riwayat al-Tirmizi, No. 2315]

2. Tidak Menghina Maruah Individu dalam Lawak

Islam sangat menjaga maruah dan kehormatan individu. Oleh itu, bergurau yang bersifat menghina, mencemuh, atau merendahkan orang lain adalah dilarang keras. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

[Surah al-Hujurat 49:11]

3. Tidak menipu dan tidak mempermainkan syiar agama.

Hal ini kerana, perbuatan mempersendakan agama merupakan dosa besar bahkan telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka azab yang amat perit sepertimana sambungan daripada Firman Allah SWT:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

Maksudnya: Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

[Surah al-An’am 6:70]

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat tersebut menegaskan umat islam yang lain agar berpaling dan tidak duduk bersama-sama mereka yang terlibat dalam penipuan dan persendaan terhadap agama, al-Quran dan hadis. [Rujuk Tafsir Ibn Kathir, Jld.3, Hlm.249]

Contoh Gurauan Rasulullah SAW yang Penuh Hikmah

Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam bergurau. Baginda bergurau dengan penuh hikmah, tidak pernah berdusta, tidak menyakiti hati, dan tidak melampaui batas syarak. sebaliknya membawa makna yang halus, mendidik dan menggembirakan orang lain, Salah satu kisah menarik yang sering disebut oleh para ulama ialah gurauan baginda bersama seorang wanita tua.

Diriwayatkan bahawa seorang wanita tua datang kepada Nabi SAW dan berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, doakan agar Allah memasukkan aku ke dalam syurga.”

Lalu Baginda bersabda:

‏يَا أُمَّ فُلاَنٍ إِنَّ الْجَنَّةَ لَا يَدْخُلُهَا عَجُوزٌ

Maksudnya: “Wahai ibu si fulan, sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh wanita tua.”

Wanita itu pun menangis kerana menyangka dirinya tidak akan masuk syurga. Maka Rasulullah ﷺ menjelaskan:

‏إِنَّكِ لَسْتِ بِعَجُوزٍ إِنَّ اللهَ يَقُولُ ‏{إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً، فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا}‏‏

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau pada waktu itu (di syurga) tidak lagi dalam keadaan tua, kerana Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Kami ciptakan mereka (wanita syurga) dengan ciptaan baru, lalu Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.'”

[Riwayat al-Tirmizi dalam al-Syamail al-Muhammadiyyah, No. 241]

Dari Sudut Undang-Undang Malaysia

Dalam perundangan Malaysia, jenaka yang menyentuh isu agama secara menghina boleh disabitkan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan:

“Sesiapa yang dengan sengaja menyebabkan, atau cuba menyebabkan, suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan atas alasan agama antara orang yang menganut agama yang berlainan…”

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, tidak termasuk dalam kategori mempermainkan agama sekiranya seseorang membuat jenaka mengenai perkara-perkara biasa seperti jin, haiwan, atau pengalaman pembelajaran selama mana tidak terdapat unsur penghinaan, perlekehan atau niat mempermainkan hukum Allah.

Namun, jika jenaka itu berkaitan dengan nama Allah, Rasulullah SAW, ayat al-Quran atau hukum syarak dengan cara yang memperlekeh, maka ia berdosa besar dan boleh membatalkan iman. Oleh itu, berhati-hatilah dalam berkata-kata. Ambillah iktibar daripada jenaka Rasulullah SAW yang penuh hikmah dan tidak melampaui batas.

Jangan gusar untuk terus menyampaikan ilmu dan menjadikan suasana kuliah lebih santai, kerana Islam itu mudah dan tidak menyusahkan. Yang penting, niat kita adalah benar, perkataan kita tidak menyentuh syiar agama dengan hinaan, dan akhlak kita mencerminkan adab Islam. Semoga Allah pelihara lidah dan hati kita daripada tergelincir tanpa sedar.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’alam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑