أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍۢ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ(١٤)
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
(Surah Luqman 31:14)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintahNya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.
Khutbah pada hari ini bertajuk; “Kasih Ibu, Jalan Ke Syurga”.
Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin menyeru kepada seluruh umat Islam agar tidak lupa untuk terus mendoakan saudara-saudara kita di Palestin yang sedang dizalimi rejim Zionis. Doa kita adalah senjata paling ampuh, maka jangan lalai mengangkat tangan memohon pertolongan Allah buat mereka. Di sebalik doa yang tulus, ada harapan, kekuatan, dan keberanian yang mengalir kepada mereka. Ingatlah, penderitaan mereka adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan biarkan mereka berjuang sendirian.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Ibu bukan sekadar gelaran. Ibu ialah insan yang membawa kita ke dunia dengan penuh pengorbanan. Dari saat kita belum bernyawa, sampai kita mampu berdikari. Daripada terbaring, sampai kita mampu berjalan sendiri.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah orang yang paling berhak aku layan dengan baik?” Rasulullah menjawab, “Ibumu”. Tiga kali disebut, kemudian barulah, “Ayahmu”.
Kenapa ibu didahulukan? Kerana dari dalam kandungan, ibu sudah menanggung beban. Dialah yang menahan sakit, merasakan loya, keletihan, kemudian menanggung kesakitan separuh mati ketika melahirkan kita. Belum sempat dia berehat, dia pula menyusukan, berjaga malam, membersihkan kita, merawat pula ketika sakit, seterusnya membesarkan, mendidik dan menjaga kita. Semuanya dilakukan dengan penuh kasih tanpa syarat.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Hebatnya seorang ibu, mampu menguruskan anak-anak walau sesibuk mana pun dia. Mereka mendahulukan anak-anak sebelum diri mereka sendiri. Mereka sentiasa memastikan anak-anak mereka kenyang terlebih dahulu sebelum mereka sempat mengalas perut mereka sendiri. Begitulah kasihnya seorang ibu terhadap anak-anaknya.
Ramai anak apabila sudah berjaya, lupa siapa yang dulu sanggup berlapar, yang sanggup menangis diam-diam, yang menahan sakit sendirian dan yang berdoa setiap masa agar anaknya berjaya di dunia dan akhirat, menjadi orang yang paling berguna.
Dalam satu hadis riwayat al-Nasai’e, diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin Jahimah asSulami, bahawa Jahimah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Aku ingin keluar berjihad dan aku datang untuk meminta pandanganmu”. Baginda bertanya: “Adakah engkau masih mempunyai ibu?” Dia menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Dampingilah dia, kerana sesungguhnya syurga itu berada di bawah kedua kakinya”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Hadis ini riwayat al-Nasa’i. Diriwayatkan juga oleh Ahmad, al-Tabarani, dan dinilai hasan oleh sebahagian ulama hadis. Sebagai anak, kita berkewajipan mentaati dan memuliakan ibu. Kita tidak perlu menunggu senang untuk berbuat baik kepadanya. Kita tidak perlu menunggu mereka uzur untuk berbakti kepadanya. Jangan sampai ibu kita meninggal dunia baru kita mahu menyesal atau menangis.
Sebaliknya dalam kesempatan masih ada umur kita dituntut untuk terus berbuat baik kepada mereka. Berbuat baik kepada ibu bukan hanya dengan wang. Ia bermula dengan berbicara lembut. Janganlah sekali-kali meninggikan suara apatah lagi mengherdik walaupun ada perkara yang kita tidak bersetuju dengannya. Berusaha menggembirakan hatinya, walau dengan senyuman atau bertanya khabar. Tetap merendahkan diri, walaupun kita berpangkat besar kerana kita harus ingat bahawa dalam kejayaan kita ada doa tulus dari ibu.
Seterusnya, doakanlah kesejahteraannya, sama ada yang masih hidup atau telah tiada. Manakala yang yang sudah tiada ibu, berbaktilah kepada mereka dengan memohonkan keampunan buat mereka dan menjaga hubungan silaturahim.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا(٢٣)
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. (Surah Al-Isra’, 17:23)
Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian,
Jika hari ini ibu kita masih ada, peluklah dia walau hanya seketika. Jika dia jauh, seringlah telefon dia, dan bertanya khabar. Jika dia sudah tiada, doa dan mohonkanlah keampunan buat dia dan ziarahlah kuburnya. Dan andai kita pernah mengguris hatinya, mohonlah ampun dan maaf kepada mereka sebelum terlambat.
Akhirnya, saya menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jemaah sekalian, marilah kita terus menghargai ibu kita, bukan hanya sempena Hari Ibu, tetapi setiap hari dalam hidup kita. Teruslah taat, berbuat baik dan gembirakan hati mereka. Semoga dengan berbakti kepada ibu, Allah SWT membuka jalan ke syurga untuk kita semua. Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, ingatlah beberapa pesanan dari khutbah yang telah disampaikan;
Pertama: Insan yang bergelar ibu telah menyerahkan sepenuh jiwa dan raga mereka demi kebahagiaan anak-anak tersayang.
Kedua: Islam memuliakan kedudukan ibu kerana pengorbanan besarnya dan oleh sebab itu kita dituntut untuk sentiasa taat dan berbuat baik kepada ibu.
Ketiga: Teruslah berbakti kepada ibu walaupun mereka sudah tiada kerana itulah jalan kita untuk menuju ke syurga.
Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 14:
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍۢ وَفِصَـٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ(١٤)
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
(Surah Luqman 31:14)
Tarikh Dibaca: 25 Zulkaedah 1446H / 23 Mei 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment