[Khutbah Khas Sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XVII)]
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
(Surah An-Nisaa’ 4:59)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.
Bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, maka khutbah pada hari ini akan berbicara tentang; “Dirgahayu Tuanku: Raja Dikasihi, Negara Diberkati”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan bertuah. Kita mempunyai sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Sistem ini menzahirkan hikmah dalam tadbir urus negara, berteraskan adat, undang-undang dan nilai-nilai Islam. Islam menyanjung tinggi institusi kepimpinan yang adil dan berintegriti apatah lagi kepimpinan yang bersikap rahmah terhadap seluruh warganya.
Dalam sejarah Islam, kita dapat lihat bagaimana Khalifah Umar bin Abdul Aziz mentadbir rakyatnya dengan penuh kasih sayang dan keadilan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan satu contoh kepimpinan yang terbaik yang boleh dijadikan panduan dan teladan.
Demikian jugalah amanah yang digalas oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar lambang tetapi Baginda merupakan pemelihara agama, penyatu bangsa, dan pengaman negara. Dalam konteks Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai Ketua Utama Negara, serta Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar tradisi, tetapi pemegang amanah Allah sebagai ketua negara. Peranan Raja berdiri atas konsep “Ulil Amri” (pemegang autoriti) yang wajib ditaati selagimana tidak bertentangan dengan perintah syarak.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Hubungan antara rakyat dan Raja dalam Islam diikat dengan rasa hormat, taat, dan doa antara satu sama lain. Rakyat perlu menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara sesuai dengan lafaz ikrar Rukun Negara. Kesetiaan kepada Raja bukan sekadar budaya, tetapi tuntutan agama sepertimana yang dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 59 di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
Kewajipan saling mendoakan antara Raja (pemimpin) dan rakyat merupakan salah satu prinsip penting dalam Islam yang menekankan hubungan simbiosis, harmoni dan saling menghormati demi kebaikan dan kesejahteraan kedua-duanya. Hubungan ini sudah tentu terbina atas dasar kasih sayang, keadilan, dan ketaatan kepada Allah SWT.
Mendoakan kesejahteraan pemerintah juga merupakan suatu tuntutan. Dalam satu hadis riwayat Imam Muslim, diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka mendoakan kebaikan untuk kamu.”
Hubungan saling mendoakan ini mencerminkan ikatan yang erat antara pemimpin dan rakyat. Hal ini selari dengan konsep “ukhuwah Islamiah” yang menekankan kasih sayang dan kerjasama dalam masyarakat Islam. Inilah model ideal hubungan antara pemerintah dan rakyat iaitu saling menyayangi dan saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain.
Sidang Jemaah Sekalian,
Sebagai rakyat yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan, adalah wajib bagi kita menumpahkan sepenuh taat setia kepada kepimpinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan segala agenda pentadbiran dan kemakmuran dapat dicapai. Kita juga pastinya menginginkan Negara ini berkembang pesat dalam keadaan seluruh rakyat hidup bahagia dan harmoni.
Maka sepatutnya kita bersama-sama memelihara keamanan dan kesatuan yang telah terbina dan meninggalkan sebarang usaha negatif yang berhasrat merosakkan keharmonian ini.
Semoga di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, ikrar Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan akan terus kukuh setia dalam sanubari setiap rakyat Malaysia semuanya.
Akhirnya, marilah kita mendoakan kesejahteraan, perlindungan dan inayah buat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar Baginda dapat menjalankan amanahnya dengan sempurna. Kita tahu bahawa amanah yang dipikul bukanlah suatu perkara yang ringan bahkan ia menjadi pertanggungjawaban di akhirat kelak. Dan kita sebagai rakyat juga di akhirat nanti pasti akan dipersoalkan tentang tanggungjawab sebagai rakyat, sama ada sudah dilaksanakan atau belum.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa intipati yang boleh kita ambil sebagai pedoman;
Pertama: Islam menyanjung tinggi institusi kepimpinan apatah lagi yang dijalankan secara adil, berintegriti dan bersikap rahmah terhadap seluruh warganya.
Kedua: Kesetiaan kepada Raja bukan sekadar budaya, tetapi tuntutan agama yang dirakam dalam al-Quran.
Ketiga: Kewajipan saling mendoakan di antara Raja (pemimpin) dan rakyat merupakan salah satu prinsip penting dalam Islam bagi mewujudkan ukhuwah Islamiyah dan kasih sayang antara satu sama lain.
Dirgahayu Tuanku! Khatib dan seluruh rakyat dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah menjunjung kasih atas kepimpinan Tuanku yang berjiwa rakyat. Khatib dan rakyat sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus melimpahkan keberkatan usia, kesihatan yang sempurna, serta taufik dan hidayah kepada Tuanku dalam memayungi rakyat serta memelihara kedaulatan negara tercinta ini. Daulat Tuanku!
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 41:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ(٤١)
Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.
(Surah Al-Hajj 22:41)
Tarikh Dibaca: 2 Zulhijjah 1446H | 30 Mei 2025
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment