Teks Khutbah (WP): Zulhijjah: Menguji Cinta Kepada Allah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ

Maksudnya: “Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan”.

(Surah Al-Hajj 22:37)

Sidang Jemaah Jumaat Sekalian,

Segala puji bagi Allah yang memuliakan kita dengan segala ruang menggandakan ibadah. Di fasa terakhir Zulkaedah, menuju gerbang Zulhijjah, pertukaran dua bulan ini dalam kalendar Hijrah adalah satu seruan memperbaharui janji kepada Allah. Marilah, kita terus bersabar dalam mematuhi segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, meskipun nafsu dan syaitan tidak pernah jemu menggugah.

Suka juga khatib mengingatkan diri dan para jemaah. Bangun dan celikkan mata. Hadirkan hati dan minda. Berikan fokus sepenuhnya. Nescaya ganjaran pahala menanti mereka yang menekuni setiap saat di taman jannah. Moga intipati khutbah pada hari ini menjadi asbab menghapus lelah.

Di penghulu segala hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah bertajuk: “Zulhijjah: Menguji Cinta Kepada Allah”.

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 37 yang menjadi muqaddimah khutbah sebentar tadi yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan”.

Pembuktian cinta kepada Allah SWT jelas terzahir melalui pensyariatan ibadah korban. Kerana takwa, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam menerima perintah menyembelih anak yang disayangi tanpa soal dan bertangguh. Sedang anak itulah sekian lama dinanti, ditatang bagai minyak yang penuh. Nabi Allah Ismail ‘alaihissalam pula membuktikan takwa melalui jawapan dalam Surah as-Saffat ayat 102 :

قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ(١٠٢) 

Maksudnya: “…Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

(Surah As-Saffat 37:102) 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

‘Ibrah di sebalik peristiwa korban ini mengajar kita tentang nilai perjuangan dan kesabaran. Di sepanjang hidup Nabi Ibrahim, Baginda diuji berulang kali. Membesar dalam persekitaran yang bergelumang dengan karatnya syirik. Setelah berkeluarga, dikurniakan permata hati bernama Ismail ketika Nabi Ibrahim di usia tua. Diperintah pula meninggalkan isteri dan anak di Makkah, namun tetap dituruti sebagai tanda kepercayaan mutlak kepada Allah.

Seterusnya di tengah kegembiraan, anak kesayangan pula perlu dikorbankan. Ia tetap dipatuhi sebagai lambang ketundukan dua hamba. Hakikat ibadah korban ialah keikhlasan melepaskan sesuatu yang dicintai demi meraih reda Ilahi. Ia adalah cerminan sejauh mana kita mampu mengutamakan ketakwaan dalam mengorbankan “keinginan” diri kita yang mungkin menghalangi hubungan kita dengan Allah. Kasih sayang yang membutakan, kebergantungan kepada dunia, atau keegoan yang menghalang kepatuhan kita terhadap Allah SWT. Sejauh mana kita sanggup mengutamakan Allah berbanding selain-Nya?

Dalam hidup ini, kita diberikan kebebasan membelanjakan harta kita asalkan pada perkara yang halal. Ada yang diberikan rezeki yang lapang sehingga mampu menikmati berbagai kemudahan dunia. Namun, ibadah korban yang merupakan lambang syukur dan kepatuhan masih lagi tertangguh dengan pelbagai alasan.

Di sisi lain, kita dapat melihat beberapa insan dengan rezeki yang terbatas. Ajaibnya, namanya terpahat di papan senarai penginfak ibadah korban di masjid, setiap tahun tanpa gagal. Berbekalkan tekad yang kuat dan cinta yang mendalam kepada Allah, gigih mengasingkan sebahagian kecil daripada simpanannya bagi melaksanakan ibadah korban. Subhanallah.

Hal ini sesuatu yang perlu kita renung dan insafi. Dua situasi yang menyedarkan kita bahawa, korban itu bukan soal ada dan mampu tetapi soal mahu. Korban bukan tentang banyaknya harta tetapi di mana kita meletakkan Allah mendahului dunia dan isinya.

Muslimin Rahimakumullah,

Lihat pula sebahagian saudara atau sahabat kita yang sedang berjuang di Tanah Suci. Betapa banyak bukti cinta kepada-Nya yang terzahir di sebalik falsafah haji yang sedang mereka kerjakan. Mengumpul harta, meninggalkan yang tersayang, mengerah segala tenaga demi menyempurnakan rukun Islam kelima. Mari kita renung satu persatu falsafah di sebalik setiap rukun.

Dalam tawaf, Allah SWT mengajar kita untuk meletakkan DIA di tengah-tengah kehidupan. Segala gerak dan langkah berpaksikan cinta dan ketaatan kepada-Nya. Ketika melontar jamrah, yang dibuang bukan batu semata-mata tetapi segala sifat syaitan yang bersembunyi dalam diri; panas baran, hasad dengki, bakhil, sombong dan segala sifat mazmumah.

Wuquf di Arafah pula adalah saat perhentian jiwa. Kita diajak berdiam diri dan bermuhasabah. Siapakah aku sebelum ini dan siapakah aku selepas ini? Adakah aku tetap orang yang sama atau telah menaik darjah cinta kepada Allah setelah bergelar haji atau hajjah?

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Ketahuilah, kita kini berada di ambang bulan Zulhijjah, bulan yang penuh dengan keutamaan dan keberkatan. Secara khusus, 10 hari pertama bulan ini memiliki kedudukan yang sangat istimewa di sisi Allah SWT. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan tidak pula amalan padanya lebih dicintai oleh-Nya daripada hari-hari yang sepuluh ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah). Oleh itu, perbanyakkanlah padanya tahlil, takbir dan tahmid.”

Marilah kita menyambut kedatangan 10 hari yang penuh kemuliaan ini dengan penuh kesedaran dan semangat untuk memperbanyak amal ibadah. Ini adalah kesempatan emas yang Allah berikan kepada kita untuk meraih pahala yang berlipat ganda, mendekatkan diri kepada-Nya, serta mengharapkan ampunan dan rahmat-Nya yang luas.

Pelbagai ibadah dianjurkan untuk diperbanyak pada 10 hari awal Zulhijjah ini, di antaranya adalah puasa sunat, terutama puasa pada hari Arafah bagi yang tidak menunaikan ibadah haji, sebagaimana fadilatnya telah kita ketahui bersama. Basahkan lidah dengan bacaan al-Quran dan zikir.

Zahirkan kecintaan kita kepada Allah dengan gema takbir, tahlil, dan tahmid.

Bagi saudara-saudara kita yang saat ini sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, mari kita doakan mereka agar Allah SWT menerima seluruh amal ibadah mereka dan mengembalikan mereka ke tanah air dengan haji yang mabrur. Bagi kita yang belum berkesempatan, kita manfaatkan sebaik-baiknya 10 hari awal Zulhijjah ini untuk meningkatkan kualiti ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Muslimin Yang Dimuliakan Allah,

Justeru mengakhiri khutbah, khatib menyeru diri dan sidang jemaah sekalian untuk merenungi beberapa saranan berikut:

Pertama: Hidupkan 10 awal Zulhijjah dengan memperbanyakkan amal. Rebutlah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran, sedekah dan berpuasa sunat terutama pada 9 Zulhijjah.

Kedua: Tanamkan semangat melaksanakan korban. Lihatlah mereka yang hidup sederhana tetapi mampu berkorban kerana mengutamakan sifat mahu. Latih diri, rancang dan menabunglah. Laksanakan ibadah korban melalui institusi yang diyakini seperti masjid, surau atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berautoriti yang telus dan amanah. Secara tidak langsung, kita turut menyumbang kepada ummah dalam memperkukuhkan fungsi institusi Islam.

Ketiga: Ketika dunia sedang bergelut dengan krisis kemanusiaan di Palestin, kita harus mengambil semangat Zulhijjah ini untuk melahirkan umat yang rela berkorban. Bukan sekadar dalam bentuk lembu dan kambing, tetapi korban masa, harta dan nafsu dalam diri.

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 32:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ(٣٢)

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”

(Surah Al-Haj 22:32)

Tarikh Bacaan: 25 Zulkaedah 1446H | 23 Mei 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑