Soalan
Adakah pertunangan dianggap batal jika perempuan menyatakan hasrat untuk memutuskan pertunangan dan lelaki tidak setuju. Sebaliknya, pihak lelaki memberi tempoh bertenang (untuk berfikir)?
Apakah dalam waktu tersebut perempuan boleh menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sedangkan tempoh yang diberikan oleh lelaki belum tamat?
Apakah salah jika dalam tempoh tersebut lelaki masih menganggap perempuan itu tunangnya.?
Penjelasan
- Pertunangan tidak memerlukan lafaz rasmi pembubaran seperti talak. Ia terbatal secara sah apabila salah satu pihak – sama ada perempuan atau walinya – menyatakan keengganan untuk meneruskan hubungan tersebut, walaupun pihak lelaki tidak bersetuju dan ingin memberi tempoh bertenang. Ini kerana pertunangan hanyalah janji yang tidak mengikat secara syarie.
- Selama mana pihak perempuan belum menyatakan secara jelas pembatalan pertunangan, atau jika masih terdapat unsur tidak jelas, maka haram baginya menerima lamaran baru atau menjalin hubungan (ta’aruf) dengan lelaki lain. Namun, jika perempuan telah menzahirkan penolakan secara nyata, maka larangan terhadap pinangan baru terangkat dan dia boleh menjalinkan hubungan lain mengikut adab dan batasan syarak.
- Dari sudut emosi, tidak salah untuk peminang pertama merasa masih terikat. Namun, secara hukum, apabila perempuan telah menyatakan hasrat untuk memutuskan pertunangan, maka dia tidak lagi menjadi tunangnya. Oleh itu, lelaki tidak mempunyai hak syarie ke atas perempuan tersebut dan tidak wajar lagi menganggapnya sebagai tunangannya.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Ikatan pertunangan merupakan satu langkah awal yang indah dalam menuju gerbang perkahwinan. Melaluinya hati berjanji untuk saling mengenali dengan lebih dekat sebelum mengikat janji suci untuk akhirnya membina rumah tangga bersama. Ia bukan sekadar adat atau budaya semata-mata, tetapi merupakan sebuah proses yang diberi ruang dalam syariat Islam agar kedua-dua pihak dapat menilai keserasian, menimbang akhlak dan latar belakang pasangan dengan penuh hikmah sebelum menyempurnakan ikatan pernikahan yang sah.
Dalam fasa pertunangan, terselit harapan dan impian, tetapi juga amanah serta tanggungjawab yang perlu dipelihara dengan adab serta batasan syarak. Oleh itu, memahami kedudukan pertunangan dalam Islam amat penting agar langkah yang dimulakan dengan niat yang baik ini tidak terpesong daripada panduan yang ditetapkan oleh agama.
Definisi Khitbah
“khitbah” bererti lamaran atau pertunangan. Para ulama’ mendefinisikannya seperti berikut:
التماس الخاطب النكاح من المخطوبة أو من وليها
Maksudnya: “Permintaan seorang lelaki untuk mengahwini seorang perempuan sama ada permintaan itu ditujukan kepada wanita tersebut atau walinya (iaitu pinangan secara langsung atau melalui wali)”.
[Rujuk Fath al-Wahhab, Jld.2, Hlm.40]
Dalam Islam, pertunangan dianjurkan sebelum melangsungkan nikah agar kedua-dua pihak mendapat kepastian dan kerelaan satu sama lain. Ia bukanlah akad nikah, sebaliknya janji awal sebelum akad. Oleh itu, semasa tempoh bertunang, pasangan masih tertakluk kepada hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (asing). Dengan pertunangan, segala batas syariat seperti larangan berdua-duaan tanpa mahram, sentuhan dan hubungan intim tetap berkuat kuasa.
Haram Meminang Pinangan Orang Lain
Dari sudut hukum asal, hukum bertunang adalah harus. Sunat hukumnya melihat bakal pasangan dengan niat yang ikhlas untuk berkahwin sebelum meneruskan lamaran sebagaimana sabda Nabi SAW:
إذا أراد أحدُكم أن يتزوَّجَ المرأةَ ، فإن استطاع أن ينظُرَ منها إلى ما يدعوه إلى نِكاحِها فليفعَلْ
Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu berkeinginan meminang seorang wanita, maka tidak mengapa dia melihat (calon isterinya itu) selagi tujuannya kerana ingin menikahinya.
[Riwayat Abu Daud, No.2082]
Tujuan syarak menggalakkan khitbah dan ta’aruf (perkenalan secara terhormat) ini adalah supaya rumah tangga yang bakal dibina kelak didasari rasa saling reda dan serasi.
Meskipun begitu, terdapat beberapa keadaan di mana pinangan tidak dibenarkan meskipun hukum asal meminang itu harus. Antaranya ialah meminang wanita yang telah bertunang dengan lelaki lain dan pertunangan itu masih sah diterima oleh pihak perempuan.
Larangan ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
وَلَا يَخْطُبُ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ
Maksudnya: “Dan janganlah seseorang lelaki meminang (seorang wanita yang sudah menjadi) tunangan saudaranya sehinggalah peminang pertama itu meninggalkan (membatalkan pinangannya) atau mengizinkannya (meminang wanita tersebut).”
[Riwayat Bukhari,No.5142]
Hadis di atas dengan jelas mengharamkan peminangan atas pinangan orang lain. Para ulama sepakat bahawa hukum meminang tunangan orang tanpa izinnya adalah haram kerana perbuatan itu mengandungi unsur pengkhianatan dan penganiayaan terhadap hak saudara Muslim yang terlebih dahulu meminang.
Imam Nawawi menyebut:
وَأَجْمَعُوا عَلَى تَحْرِيمِهَا إِذَا كَانَ قَدْ صُرِّحَ لِلْخَاطِبِ بِالْإِجَابَةِ وَلَمْ يَأْذَنْ وَلَمْ يَتْرُكْ فَلَوْ خَطَبَ عَلَى خِطْبَتِهِ وَتَزَوَّجَ وَالْحَالَةُ هَذِهِ عَصَى وَصَحَّ النِّكَاحُ وَلَمْ يُفْسَخْ هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْجُمْهُورِ
Maksudnya: “Dan mereka (para ulama’) telah bersepakat (ijmak‘) mengenai keharamannya (iaitu meminang atas pinangan orang lain) apabila pihak perempuan telah menyatakan persetujuan secara jelas kepada peminang, dan (pemuda pertama itu) tidak memberi keizinan dan tidak juga meninggalkan (pinangannya). Maka jika seseorang meminang atas pinangan tersebut dan berkahwin dalam keadaan ini, maka dia berdosa, tetapi pernikahan itu sah dan tidak dibatalkan. Ini adalah mazhab kami dan mazhab jumhur (majoriti) ulama.”
[Rujuk Syarah Muslim, Jld.9, Hlm.197]
Fuqaha’ dalam mazhab Syafie menjelaskan beberapa keadaan yang dibenarkan meminang pinangan orang lain seperti berikut:
وَخَرَجَ بِمَا ذَكَرَ مَا إذَا لَمْ تَكُنْ خِطْبَةً أَوْ لَمْ يُجّبْ الْخَاطِبُ الْأَوَّلُ أَوْ أُجِيبَ تَعْرِيضًا مُطْلَقًا أَوْ تَصْرِيحًا، وَلَمْ يَعْلَمْ الثَّانِي بِالْخِطْبَةِ أَوْ عَلِمَ بِهَا وَلَمْ يَعْلَمْ بِالْإِجَابَةِ أَوْ عَلِمَ بِهَا وَلَمْ يَعْلَمْ كَوْنَهَا بِالصَّرِيحِ أَوْ عَلِمَ كَوْنَهَا بِالصَّرِيحِ وَلَمْ يَعْلَمْ بِالْحُرْمَةِ أَوْ عَلِمَ بِهَا وَحَصَلَ إعْرَاضٌ مِمَّنْ ذَكَرَ أَوْ كَانَتْ الْخِطْبَةُ مُحَرَّمَةً كَأَنْ خَطَبَ فِي عِدَّةِ غَيْرِهِ فَلَا تَحْرُمُ خِطْبَتُهُ إذْ لَا حَقَّ لِلْأَوَّلِ فِي الْأَخِيرَةِ وَلِسُقُوطِ حَقِّهِ فِي الَّتِي قَبْلَهَا وَالْأَصْلُ الْإِبَاحَةُ فِي الْبَقِيَّةِ
Maksudnya: Larangan meminang pinangan orang lain mempunyai beberapa pengecualian. Hukum ini tidak terpakai dalam keadaan-keadaan berikut:
- Apabila tidak berlaku pinangan.
- Peminang pertama tidak menerima sebarang jawapan
- Jawapan yang diberikan bersifat sindiran dan tidak menunjukkan penerimaan yang jelas
- Pinangannya dijawab secara jelas, namun peminang kedua tidak mengetahui tentang kewujudan pinangan itu.
- Peminang kedua tahu tentang pinangan pertama, tetapi tidak tahu bahawa ia telah diterima.
- Peminang kedua tahu pinangan pertama telah diterima, namun tidak tahu bahawa penerimaan itu dibuat secara jelas dan pasti
- Peminang kedua tahu pinangan pertama diterima secara jelas tetapi tidak tahu hukum meminang atas pinangan orang lain adalah haram.
- Peminang kedua tahu ia haram tetapi telah berlaku pengunduran daripada pihak yang disebutkan tadi (peminang pertama).
- Pinangan pertama itu sendiri adalah haram seperti meminang wanita yang berada dalam tempoh iddah orang lain
maka dalam kes-kes ini tidaklah haram pinangan peminang kedua kerana peminang pertama tiada hak dalam kes yang terakhir (pinangan haram) dan disebabkan gugur haknya pada kes-kes sebelumnya. Dan hukum asal bagi yang selain daripada itu adalah harus.”
[Rujuk Hasyiah Bujairami, Jld.3, Hlm.409]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, apakah pertunangan dianggap batal jika perempuan menyatakan hasrat untuk memutuskan pertunangan. Imam Suyuthi pernah ditanya soalan yang hampir sama:
وَسُئِلَ الْجَلَالُ السُّيُوطِيّ عَمَّنْ خَطَبَ امْرَأَةً ثُمَّ رَغِبَتْ عَنْهُ هِيَ أَوْ وَلِيُّهَا هَلْ يَرْتَفِعُ التَّحْرِيمُ عَمَّنْ يُرِيدُ خِطْبَتَهَا وَهَلْ هُوَ عَقْدٌ جَائِزٌ مِنْ الْجَانِبَيْنِ؟ فَأَجَابَ بِقَوْلِهِ يَرْتَفِعُ تَحْرِيمُ الْخِطْبَةِ عَلَى الْغَيْرِ بِالرَّغْبَةِ عَنْهُ فِيمَا يَظْهَرُ وَإِنْ لَمْ يَتَعَرَّضُوا لَهُ
Maksudnya:Telah ditanya Al-Imam Jalaluddin As-Suyuti mengenai seseorang yang meminang seorang wanita, kemudian wanita tersebut atau walinya tidak lagi berkeinginan terhadap peminang itu — adakah larangan ke atas orang lain untuk meminangnya akan terangkat? Dan adakah keadaan tersebut dikira sebagai akad yang harus daripada kedua-dua pihak?
Lalu beliau menjawab dengan katanya:
“Larangan meminang oleh orang lain terangkat apabila jelas berlaku keengganan terhadap peminang itu, sebagaimana zahir keadaan, sekalipun mereka (wanita atau wali) tidak menyatakan secara langsung keengganan tersebut kepadanya.”
[Rujuk Hasyiah Bujairami, Jld.3, Hlm.409]
Daripada keterangan di atas dapat difahami, pertunangan tidak memerlukan lafaz pembubaran rasmi seperti talak, memadai dengan salah satu pihak menyatakan ketidaksudian meneruskan atau secara perbuatan menunjukkan penolakan yang jelas. Apabila perempuan atau walinya telah memutuskan pertunangan – sama ada secara lisan (“saya batalkan pertunangan ini”) atau tindakan jelas (contoh memulangkan cincin dan hantaran serta memaklumkan tidak mahu meneruskan) – maka sahlah pertunangan itu terbatal.
Oleh itu, lelaki peminang pertama perlu menerima hakikat bahawa wanita tersebut bukan lagi tunangnya menurut hukum. Walaupun mungkin secara emosi sukar menerimanya, namun hakikatnya wanita itu telah bebas daripada sebarang ikatan janji dengan dirinya. Lelaki tersebut tiada hak untuk melarang wanita itu daripada dikenali atau dipinang oleh orang lain selepas itu. Hukum larangan meminang tunangan orang juga tidak terpakai lagi kerana pertunangan tersebut sudah berakhir.
Memutuskan Pertunangan Tanpa Sebab Munasabah
Bagaimanapun, dari sudut akhlak Islam, pihak perempuan juga disaran agar menjelaskan dengan baik kepada lelaki tersebut bahawa pertunangan sudah tidak diteruskan, supaya tidak timbul harapan palsu atau tuntutan berpanjangan. Islam mengajar menyelesaikan urusan secara ihsan. Selesaikan pertunangan lama sebelum memulakan yang baru, agar tiada pihak terluka lebih parah. Jika lelaki itu masih enggan menerima kenyataan, nasihatilah dengan lembut dan libatkan keluarga atau pihak ketiga yang dipercayai. Ingatkan bahawa jodoh pertemuan di tangan Allah – jangan terlalu mengikut perasaan hingga memaksa sesuatu di luar ketentuan. Tiada faedah mempertahankan “pertunangan” yang sebelah pihak sahaja; perkahwinan perlukan persetujuan bersama.
Lelaki tersebut wajar menerima takdir dan bersabar atas ujian putus tunang. Yakinlah dengan janji Allah bahawa apabila satu pintu tertutup, akan terbuka pintu kebaikan lain bagi orang yang bertakwa.
Firman Allah SWT:
وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “…boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik buatmu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah jualah yang Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
[Surah al-Baqarah, No.216]
Ayat ini sangat relevan dalam meredakan hati yang kecewa: mungkin bukan dia jodoh terbaik menurut ilmu Allah, maka lepaskanlah dengan reda. Tidak halal lelaki tersebut terus menganggap wanita itu tunangannya, apatah lagi mencetuskan pergaduhan dengan lelaki lain yang datang kemudian. Sebarang tindakan seperti mengganggu bekas tunang atau bersikap obses melampau adalah dilarang kerana boleh membawa kepada kezaliman.
Meskipun hukum membatalkan pertunangan adalah harus, ulama menegaskan makruh hukumnya memutuskan pertunangan tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
Ini kerana Islam sangat menitikberatkan menunaikan janji dan memenuhi syarat yang telah dipersetujui selagi tidak bertentangan dengan syarak. Sabda Nabi SAW:
الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ شَرْطًا أَحَلَّ حَرَامًا
Maksudnya:” Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram.”
[Riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan, No.11762]
Membatalkan tanpa sebab boleh dikira mengingkari janji dan mengecewakan pihak satu lagi tanpa keperluan. Oleh itu, kemakruhan dikaitkan jika pembatalan dibuat sekadar menurut hawa nafsu atau tanpa sebarang maslahat.
Namun, jika ada sebab yang diiktiraf syarak atau kemaslahatan yang jelas, maka harus (tidak makruh) membatalkan pertunangan. Contohnya, setelah bertunang didapati pasangan mempunyai akhlak buruk, penipuan tentang status diri, hilang keserasian yang ketara, paksaan, atau lain-lain halangan serius. Dalam keadaan begini, memutuskan pertunangan mungkin lebih baik daripada meneruskan perkahwinan yang berisiko mendatangkan mudarat lebih besar.
Adab Apabila Ingin Memutuskan Pertunangan
Hendaklah dilakukan dengan cara baik, berhemah dan berterus terang. Sebaiknya keputusan disampaikan melalui perbincangan antara keluarga supaya tidak timbul fitnah atau salah faham. Islam mengajar agar menjaga akhlak dan silaturahim walaupun terpaksa memungkiri janji. Pihak yang memutuskan wajar memohon maaf dan memulangkan apa-apa hak yang patut. Manakala pihak yang satu lagi hendaklah redha dengan ketentuan Allah dan tidak berdendam.
Menyambung Hubungan Dengan Lelaki Lain Selepas/ Semasa Bertunang
Isu yang ditanyakan juga merangkumi hukum wanita yang telah bertunang menjalin hubungan dengan lelaki lain dalam tiga bentuk berikut:
(a) menerima lamaran lelaki lain.
(b) berkenalan sahaja dengan niat perkahwinan.
Setiap situasi ini perlu dilihat sama ada pertunangan asal sudah dibatalkan atau belum, kerana status itu mempengaruhi hukum. Berikut perinciannya:
1. Menerima Lamaran Lelaki Lain:
Selagi seorang wanita masih sah bertunang dengan seorang lelaki (ertinya dia telah menyatakan persetujuan menerima pinangan lelaki tersebut dan belum memutuskan pertunangan itu), haram hukumnya dia menerima lamaran orang lain. Tindakan menerima pinangan yang kedua bererti membenarkan lelaki lain meminang di atas pinangan pertama, yang jelas dilarang Nabi SAW. Wanita tersebut berdosa kerana mengkhianati janji dengan tunangnya, dan peminang kedua juga berdosa kerana melanggar larangan syarak. Ijmak‘ ulama menyatakan haram hukumnya lamaran kedua selagi lamaran pertama belum putus seperti yang dijelaskan di atas. Oleh itu, jika masih ingin dengan lelaki lain, perempuan tersebut wajib memutuskan pertunangan pertama terlebih dahulu dengan cara terhormat sebelum memberi jawapan kepada pinangan baru. Jika pertunangan pertama sudah dibatalkan secara jelas, maka tiada halangan untuk dia menerima lamaran lelaki lain kerana statusnya kembali seperti wanita belum dipinang.
2. Sekadar Berkenalan dengan Lelaki Lain (dengan Niat Perkahwinan):
Sekiranya seorang wanita sudah bertunang, adalah tidak dibenarkan sama sekali beliau menjalinkan apa-apa hubungan perkenalan khusus dengan lelaki lain pada masa yang sama. Tindakan “sekadar berkenalan” ini sering menjadi alasan untuk membuka pintu hubungan dengan lelaki kedua secara senyap, yang akhirnya boleh menjurus kepada memungkiri tunang pertama. Dari sudut akhlak dan amanah, wanita bertunang sepatutnya menjaga komitmen kepada tunangnya dan menutup pintu fitnah dengan tidak melayan mana-mana lelaki lain yang cuba mendekati. Berkenalan walau kononnya “tiada apa-apa” tetap boleh mengundang perasaan curang dan melukakan hati tunang yang sedia ada. Jika tunang mengetahui, boleh mencetuskan pergaduhan dan permusuhan. Maka, hukum berkenalan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan tunang adalah tidak jujur dan berdosa kerana mencabuli kepercayaan. Jika perkenalan itu disembunyikan, sudah termasuk unsur penipuan; jika diketahui tunang, termasuk menyakiti hati sesama Muslim tanpa hak. Hendaklah diputuskan pertunangan terlebih dahulu sebelum memulakan ta’aruf baru dengan orang lain.
Penutup
Pertunangan dalam Islam hanyalah janji awal menuju pernikahan dan tidak mengikat secara hukum. Ia boleh diputuskan oleh mana-mana pihak tanpa perlu persetujuan bersama. Namun, setiap tindakan mesti dilakukan dengan adab dan tanggungjawab. Apabila pertunangan telah dibatalkan, larangan untuk menerima lamaran lain terangkat, dan hubungan baru boleh diteruskan selagi mematuhi batas syarak. Jangan dipertahankan ikatan yang tidak lagi disepakati, dan jangan dimulakan hubungan baru sebelum yang lama diselesaikan.
Ingatlah, apa yang Allah takdirkan untuk kita, itulah yang terbaik – sama ada jodoh yang kekal atau ujian yang mendidik jiwa.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahua’lam
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment