Teks Khutbah Aidiladha (WP): Menyubur Keikhlasan, Meraih Pengorbanan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍۢ مَّعْلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۖ فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ(٢٨)

“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(Surah Al Hajj 22:28)

Sidang jemaah sekalian,

Allahu Akbar, sesuci lafaz takbir, tahmid, tasbih dan tahlil yang dilafazkan dalam mensyukuri segala nikmat-Mu.

Allahu Akbar, sebesar harapan makbul ibadah para jemaah haji yang melaksanakan kewajipan-Mu.

Allahu Akbar, setulus niat para hamba-Mu yang beribadah dan berkorban sembelihan lalu dimakan, dihadiahkan dan disedekahkan hanya kerana-Mu.

Segala pujian dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala kurnia sehingga kita dapat berkumpul bersama meraikan Aidiladha yang mulia. Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dan berazam untuk terus sabar serta ikhlas dalam mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Di hari yang penuh keceriaan dan kegembiraan ini, marilah bersama kita memberikan tumpuan sepenuhnya kepada khutbah yang disampaikan. 

Mimbar pada hari yang penuh keberkatan ini akan membicarakan khutbah bertajuk “Menyubur Keikhlasan, Meraih Pengorbanan.”

اللَّهُ أَكْبَرُ،اللَّهُ أَكْبَرُ،اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Para tetamu Allah SWT yang dimuliakan,

Aidiladha merupakan hari kegembiraan umat Islam yang disyariatkan. Hadis riwayat Abu Daud daripada Anas bin Malik r.a. mengisahkan sewaktu Rasulullah SAW tiba di Madinah Baginda SAW mendapati penduduknya merayakan dua hari raya. Baginda SAW bertanya hari apakah keduanya ini? Mereka menjawab, sewaktu jahiliah kami merayakannya. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada keduanya iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.”

Aidiladha atau maksudnya Hari Raya Korban secara khusus adalah hari umat Islam menyembelih haiwan korban sebagai ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di hari yang mulia ini, kita melaungkan takbir, tahmid, dan tahlil. Ayuh kita hayati bersama keagungan Allah Azza wa Jalla.

Gema takbir yang kita kumandangkan bukan hanya rangkaian kata tetapi adalah panggilan jiwa yang merindukan kebesaran-Nya, pengakuan akan kelemahan diri di hadapan Kekuasaan-Nya. Dengan itu, umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji mula bertakbir sesudah solat Subuh pada Hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah berterusan sehingga sesudah Solat Asar pada Hari Tasyrik ketiga iaitu 13 Zulhijjah.

Kaitan antara korban dan zikrullah terletak pada pengagungan Allah yang terdapat pada kedua ibadah ini. Takbir adalah ungkapan lisan yang mengagungkan Allah, sedangkan korban adalah tindakan nyata yang menunjukkan bahawa pengagungan kepada Allah mengatasi segala-galanya. Bahkan sanggup mengutamakan Allah SWT berbanding kecintaan kepada harta dan anak. Apabila seorang muslim mengorbankan sebahagian rezekinya untuk melaksanakan perintah korban, ia sedang membuktikan bahwa Allah lebih besar dari segala yang dimilikinya.

Matlamat Aidiladha pun dapat dizahirkan seiring dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 28 yang dibacakan pada awal khutbah yang bermaksud: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.’’

اللَّهُ أَكْبَرُ،اللَّهُ أَكْبَرُ،اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Saudara-saudaraku sekalian,

Sedarkah kita bahawa Aidiladha yang kita sambut pada hari ini hakikatnya penuh dengan pengorbanan. Bermula daripada perjalanan pulang ke kampung halaman. Walaupun sudah sedia maklum akan menempuh kesesakan jalan raya dan jauhnya perjalanan pulang ke kampung halaman sanggup ditempuhi. Itu semua kerana apa? Tidak lain kesanggupan itu terhasil daripada ikatan kekeluargaan dan silaturahim yang diajarkan agama kita. Maka kita sanggup mengorbankan tenaga dan wang ringgit.

Kemudian usai sahaja khutbah ini, ibadah korban bermula dengan niat yang tulus untuk menunaikan perintah Allah SWT, meneladani sunnah Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Sebahagian daripada rezeki yang Allah anugerahkan kita catu dan kita pilih haiwan terbaik yang mampu kita korbankan. Haiwan pun disembelih mengikut kehendak syarak dan tumpahlah darahnya ke muka bumi tanda pengorbanan kita demi mencapai reda Allah SWT dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Hal ini dinyatakan dalam Surah Al-Hajj ayat 37:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُحْسِنِينَ(٣٧) 

Maksudnya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

(Surah Al Hajj 22:37)

Hakikatnya kemanisan amal soleh ini hanya dirasai dengan pengorbanan. Melihat tawa mesra keluarga kita, senyum dan syukur mereka yang menerima agihan korban sekaligus menggembirakan hati kita dan hilanglah segala penat pengorbanan kita pada hari yang mulia ini. 

Pengorbanan kepada Allah SWT bersifat menyatukan. Lihatlah saudara kita yang masih di tanah suci mengerjakan ibadah haji. Terhimpun di sana jutaan manusia tanpa mengira darjat, asal-usul dan warna kulit. Semua datang daripada pelbagai penjuru dengan niat yang satu, semata-semata untuk tunduk sujud terhadap Tuhan Yang Satu. Inilah mesej penyatuan paling jelas yang patut dihayati umat Islam di seluruh dunia.

Tetamu-tetamu Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah, khatib menyeru diri dan Muslimin Muslimat sekalian untuk kita hayati bersama firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1-3:

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ(١) فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ(٢) إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ(٣)

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

(Surah Al-Kauthar 108:1-3)

Tarikh Dibaca: 7 Jun 2025M | 10 Zulhijjah 1446H
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑