ASMAUL HUSNA – AL-WARITHU (Yang Maha Mewarisi) 

Asmaul Husna yang ke-97 ialah Al-Warithu yang membawa maksud Tuhan yang Maha Mewarisi dan Mempusakai segala sesuatu. Menurut kaedah yang lazim bagi manusia bahawa orang yang menjadi pewaris ialah orang yang hidup setelah orang lain mati meninggalkan pusaka. Tetapi manusia menjadi pewaris atau menerima pusaka hanya bersifat sementara sahaja. Kerana manusia menjadi waris akan mati juga akhirnya, dan segala pusaka yang diwarisi itu terpaksa diwariskan kepada keturunan yang lain pula.

Bagi Allah SWT sebenarnya yang menjadi waris yang abadi kerana semua yang ada pada tangan makhluk akhirnya akan dipulangkan semua kepada Allah SWT setelah pemiliknya yang bersifat sementara binasa atau mati. Sama ada pusaka itu kepunyaan mereka berupa harta kekayaan, kerajaan dan kekuasaan, kebesaran atau kemasyhuran. Semua milik itu hanya sementara. Akhirnya semua itu akan kembali ke pangkuan Allah SWT. Allah SWT kekal dalam mewarisi segala sesuatu.

Semua manusia di muka bumi ini hendaklah mengambil pengajaran daripada sifat Al-Warithu dengan segala upaya hendaklah melakukan amal soleh. Buat sesuatu yang mampu menghasilkan pahala yang berpanjangan seperti membantu dalam pembinaan masjid, sekolah, jambatan dan lain-lain sedekah jariah seperti mengajar ilmu dan seumpamanya. Walaupun manusia itu mati tetapi pahala amalan itu tetap hidup dan menunggu kedatangannya di akhirat kelak. Rugilah bagi orang yang hanya menghimpunkan harta yang banyak tanpa membuat amal jariah. Harta yang terhimpun itu hanya menjadi beban di akhirat.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑