Adakah Sah Nikah Apabila Mas Kahwin Guna Duit Yang Dipinjam?

Soalan

Apakah hukum pengantin lelaki meminjam duit daripada individu lain sebagai contoh ibunya untuk dijadikan mahar atau mas kahwin? Akad tersebut dilakukan menggunakan akad TUNAI. Adakah sah atau tidak pernikahan tersebut? Dan jika tidak sah, apa tindakan yang perlu dilakukan? 

Penjelasan

Akad nikah yang dijalankan dengan lafaz tunai menggunakan wang pinjaman oleh pengantin lelaki atau suami daripada pihak ketiga adalah sah. Hal ini disebabkan pinjaman pengantin lelaki atau suami dengan pihak ketiga adalah tidak berkaitan dengan akad nikah secara hutang mahupun berhutang mahar dengan pengantin perempuan atau isteri.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

Membayar Mahar Secara Hutang

Berkenaan hukum membayar mahar secara hutang, maka hukumnya adalah diharuskan. Menurut al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm, 77:

“Mas kahwin tidak mempunyai kadar minimum dan maksimumnya. Setiap sesuatu yang dinamakan harta atau boleh ditukar dengan harta, harus dijadikan mas kahwin sama ada sedikit atau banyak, tunai atau hutang, atau sesuatu yang bermanfaat, seperti kain, sejadah, wang, tempat kediaman atau mengajar sesuatu kemahiran.” 

Firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ

Maksudnya:  “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.”

[Surah al-Nisa’ 4:24]

Ayat ini hanya menyebut harta (المال) semata-mata tanpa menetapkan kadar yang tertentu. 

Begitu juga, hadis Rasulullah SAW bersabda:

أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: Engkau berikanlah perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.”

[Sahih al-Bukhari 4741 dan Muslim 1425]

Selain itu, dalam hadis yang lain daripada riwayat Amir bin Rabi’ah RA, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwinnya, seperti kasut. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu reda dengan mendapat sepasang kasut sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.”

[Sunan al-Tirmidzi 1113]

Ini menunjukkan mahar yang diserahkan boleh dalam pelbagai bentuk. Begitu juga pemberian mahar boleh dilaksanakan secara hutang berdasarkan persetujuan isteri. Namun begitu, hendaklah ditentukan waktunya kerana itu adalah hak isteri. Menurut al-Fiqh al-Manhaji:

“Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan kesemuanya sebelum persetubuhan. Walau bagaimanapun, penangguhan itu hendaklah ditentukan masanya. Ini kerana mas kahwin itu milik isteri. Dia berhak meminta disegerakan atau ditangguhkan mengikut kehendaknya. Apabila mas kahwin tersebut diminta agar diserahkan segera, maka isteri berhak menahan dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan suami sehinggalah mas kahwin diterimanya. Jika mas kahwin itu dipersetujui untuk ditangguhkan, isteri tidak berhak menahan diri daripada suami kerana dia sendiri telah bersetuju dengan penangguhan tersebut.” [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm, 78]

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat kita simpulkan beberapa perkara:

  1. Mahar adalah pemberian yang wajib diberikan kepada isteri apabila akad nikah sudah termeterai. Ia boleh diberikan secara tunai atau hutang.
  2. Akad nikah yang tidak dinyatakan mahar adalah sah, walaupun mahar tetap wajib diserahkan kemudiannya.
  3. Mahar adalah hak isteri. Justeru, isteri ada hak untuk menghalang diri daripada disetubuhi suami sekiranya suaminya belum memberikannya mahar yang dia minta untuk segerakan.
  4. Sekiranya isteri telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran mahar, maka dia tidak lagi layak menghalang diri daripada dipersetubuhi oleh suaminya. Namun, penangguhan itu perlu ditetapkan masanya.

Akad nikah secara hutang adalah akad nikah yang dilakukan oleh si suami secara berhutang kepada si isteri. Ini bermaksud suami berhutang dengan isteri.

Hukum Akad Nikah Dengan Lafaz Tunai Menggunakan Wang Pinjaman

Memberikan hutang atau mendapatkan hutang merupakan sesuatu perkara yang diharuskan dalam syarak. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

مَّن ذَا ٱلَّذِى يُقْرِضُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا فَيُضَـٰعِفَهُۥ لَهُۥٓ أَضْعَافًۭا كَثِيرَةًۭ ۚ وَٱللَّهُ

Maksudnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?”

[Surah al- Baqarah 2:245]

Secara definisinya, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Berdasarkan kepada definisi tersebut, dapat difahami bahawa pemiutang memindah milik hartanya kepada penghutang dengan syarat memulangkan semula nilai jumlah yang diberikan. Oleh itu, penghutang bebas untuk melakukan sebarang transaksi atau akad secara tunai kerana wang tersebut kini adalah miliknya.

Berbalik kepada persoalan yang dilontarkan, akad nikah yang dijalankan dengan lafaz tunai menggunakan wang pinjaman adalah sah. Hal ini demikian kerana, suami menggunakan wang miliknya yang didapatkan secara hutang daripada orang lain dan bukan berhutang mahar dengan isterinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’alam

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑