10 Masjid Terbesar Di Dunia

10. Masjid Umayyad, Damascus, Syria

Bilangan Jemaah: 100,000

Masjid Umayyad juga dikenali sebagai Masjid Besar Damsyik, terletak di kota Damascus (Damsyik) di Syria, merupakan salah satu masjid terbesar dan tertua di dunia. Siap dibina pada 750 CE dan telah menjadi tempat ibadat semenjak Zaman Besi lagi. Pada tahun 634, kota Damsyik telah ditawan oleh tentera Islam yang ketuai Khalid Ibn Al-Walid dan beliau menukar bangunan ini sebagai masjid. Masjid Umayyah adalah salah satu daripada beberapa masjid awal di dunia yang mengekalkan struktur umum dan ciri seni bina yang sama sejak pembinaan awalnya pada awal abad ke-8.

9. Masjid Hassan II, Casablanca, Morocco

Bilangan Jemaah: 105,000

Masjid terbesar di Afrika dan mempunyai minaret kedua tertinggi di dunia di ketinggian 210 meter. Kompleks masjid ini direka oleh arkitek Perancis bernama Michel Pinseau dan pembinaannya memakan masa 6 tahun. Siap dibina pada tahun 1993. Masjid ini terletak di atas tanjung yang menghadap ke Lautan Atlantik, membolehkan para jemaah untuk bersolat menghadap ke laut. 

8. Masjid Besar el Djazaïr, Algiers, Algeria

Bilangan Jemaah: 120,000

Masjid Besar Algiers ini direka oleh firma arkitek dari Jerman, dibina oleh syarikat pembinaan dari negara China dengan menggunakan 17,000 tenaga kerja keseluruhannya. Minaret masjid ini ialah yang tertinggi di dunia pada 265 meter dan keluasan masjid ini boleh menampung sehingga 120,000 jemaah. Masjid yang menghadap ke laut Mediterranean ini siap dibina pada tahun 2019 dengan kos pembinaan sebanyak 2 bilion dolar. 

7. Masjid Taj-Jul, India

Bilangan Jemaah: 175,000

terletak di Madhya Pradesh India. Dibina pada tahun 1871 dan habis dibina pada tahun 1958. Masjid ini mengambil inspirasi daripada seni bina Mughal. Boleh menampung 175,000 jemaah, Taj-ul-Masajid merupakan masjid paling besar di India. 

6. Masjid Istiqlal, Indonesia

Bilangan Jemaah: 200,000

Masjid Istiqlal ataupun dikenali warga Indonesia sebagai masjid kemerdekaan, dibina untuk memperingati kemerdekaan Indonesia. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Indonesia yang boleh menampung kapasiti sehingga 200,000 jemaah dalam satu-satu masa. Dibuka kepada umum pada 1978, masjid ini mempunyai 7 pintu masuk yang dinamakan sempena Al-Asmaul-Husna. Arkitek masjid ini ialah Friedrich Silaban, pemenang pertandingan reka bentuk yang juga anak kepada seorang pastor. 

5. Masjid Besar Astana, Kazakhstan

Bilangan Jemaah: 230,000

Dibuka pada tahun 2022, Masjid Besar Astana di Kazakhstan ini merupakan masjid terbesar di Asia Tengah, dibina atas permintaan dan di bawah seliaan presiden pertama Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev. Antara bahan masjid ini ialah kayu iroko keras yang hanya tumbuh di Afrika tropika dan jumlah keluasan permaidani di masjid ini ialah 15,525 meter persegi, menjadikannya permaidani buatan tangan terbesar di dunia.

4. Masjid Faisal, Islamabad, Pakistan

Bilangan Jemaah: 300,000

Masjid Faisal di Islamabad ini merupakan masjid negara Pakistan, yang terletak di kaki bukit Margalla. Dinamakan sempena Almarhum Raja Faisal dari Arab Saudi, masjid ini diilhamkan daripada reka bentuk khemah Badwi. Reka bentuk masjid ini ialah rekaan arkitek dari Turkiye, Vedat Dalokay, yang telah memenangi pertandingan telah diadakan di mana arkitek dari 17 negara mengemukakan 43 cadangan. Pembinaan masjid Faisal ini dimulakan pada tahun 1976 dan mengambil masa 10 tahun sebelum ianya dibuka kepada umum. 

3.Masjid Al-Aqsa, Palestin

Bilangan Jemaah: 400,000

Masjid Al-Aqsa ialah kompleks bangunan keagamaan Islam yang terletak di atas Haram al-Sharif di Al-Quds, Palestin.  Masjid Al-Aqsa atau Masjid Qibli boleh menampung lebih kurang 5,000 jemaah, dan masjid ini telah musnah dan dibina semula beberapa kali. Dikala masjid ini hanya boleh menampung 5,000 jemaah, kompleks bangunan keseluruhannya boleh menempatkan sehingga 400,000 jemaah. 

2. Masjid An-Nabawi, Madinah, Saudi Arabia

Bilangan Jemaah: 1.5 juta

Masjid Al-Nabawi atau dikenali juga sebagai Masjid Nabi merupakan masjid kedua yang didirikan oleh Rasulullah SAW selepas Masjid Quba di Madinah. Nabi Muhammad SAW sendiri mengambil bahagian dalam mendirikan masjid ini. Pada mulanya masjid ini berukuran 30.5 meter × 35.62 meter dan tinggi 3.60 meter. Bumbungnya hanya disokong oleh batang kurma, tanah liat dan daun kurma. Tiga pintu utama ke masjid ini dinamakan Bāb ar-Raḥmah (بَاب ٱلرَّحْمَة, “Pintu Keampunan”) , Bāb Jibrīl (بَاب جِبْرِيْل, “Pintu Jibril”) dan Bāb an-Nisāʾ (بَاب ٱلنِّسَاء, “Pintu Wanita”). Masjid Al-Nabawi ini telah melalui pelbagai proses pembaikan dan perluasan, dan sekarang masjid ini boleh menempatkan sehingga lebih 1.5  juta jemaah pada satu-satu masa. 

1. Masjidil Haram, Mekah, Saudi Arabia

Bilangan Jemaah: 4 juta

Masjidil Haram adalah merupakan tempat suci bagi umat Islam sedunia. Masjid ini terletak di jantung kota Makkah dan merupakan masjid terbesar serta tertua di dunia. Allah SWT telah menetapkan Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya sebagai tanah haram (suci). Ini bermakna ada larangan dan batasan tertentu yang harus dipatuhi di kawasan ini, seperti larangan berburu, menebang pohon, dan melakukan kekerasan. Masjidil Haram telah mengalami banyak pengubahsuaian dan penambahbaikan sepanjang zaman, termasuk pada zaman Khalifah Umar bin Khattab, era Uthmaniyyah, dan era kerajaan Arab Saudi. Kini, masjid ini memiliki tiga tingkat utama dengan keluasan mencecah 356,000 meter persegi. 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑