Teks Khutbah Jumaat (JAKIM):  Bersiap Menghadapi Kepastian 

​​أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ(١٨٥) 

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan balasan kamu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya” 

(Ali Imran 3:185)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. 

Dengarkan baik-baik kerana khutbah pada hari ini akan berbicara tentang; “Bersiap Menghadapi Kepastian”.

 Sidang Jemaah Yang Dikasihi, 

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 185 sepertimana yang dibaca pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan balasan kamu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya”. 

Kematian adalah hakikat yang tidak mampu disangkal oleh sesiapa pun. Setinggi mana kedudukan, semewah mana harta, sekuat mana tubuh, tiada yang mampu menolak ketentuan ini. Setiap hari kita menyaksikan atau mendengar berita kematian orang lain, namun seringkali kita lupa bahawa giliran kita juga pasti akan tiba. Hari ini kita melaksanakan solat jenazah untuk orang lain. Esok lusa, mungkin jasad kita pula dibaringkan di hadapan saf. 

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisaa’ ayat 78:  “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan, iaitu kematian”. (Hadis Riwayat Imam at-Tirmidzi)

Namun sayang, realitinya kita lebih sibuk merancang masa depan dunia, tetapi lupa merancang untuk perjalanan selepas mati. Kita menabung untuk persaraan, tetapi lupa menabung untuk akhirat. Kita siapkan rumah di dunia, tetapi lupa mengumpul amal untuk rumah di alam barzakh. 

Orang yang banyak mengingati mati dan mempersiapkannya dengan iman yang benar, tauhid yang murni, amal yang soleh, dengan landasan niat yang ikhlas, itulah orang-orang yang paling berakal. 

Diriwayatkan dari Ibnu Umar, beliau berkata: Aku bersama Rasulullah SAW, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda, kemudian mengucapkan salam kepada Nabi SAW, lalu dia bertanya: “Wahai Rasulullah! Manakah antara kaum mukminin yang paling utama?” Baginda menjawab, “Yang paling baik akhlaknya antara mereka”. Dia bertanya lagi: “Manakah antara kaum mukminin yang paling cerdik?” Baginda menjawab, “Yang paling banyak mengingati mati antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Kematian itu datang tanpa isyarat. Tanpa tanda. Ada yang pagi ini sihat, petangnya sudah meninggalkan dunia. Ada yang masih muda belia, namun ajalnya lebih awal daripada yang tua. Kematian tidak mengenal status, usia, atau waktu. Ia adalah pertemuan dengan Allah dan penamat kepada segala peluang untuk beramal. Di saat nyawa berada di kerongkongan, segala harta tidak lagi berguna. Anak-anak hanya mampu menangis. Sahabat hanya mampu mengiringi ke kubur. Yang tinggal bersama kita hanyalah amalan kita sama ada baik atau buruk. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah semua amal perbuatannya, kecuali tiga perkara: sedekah yang manfaatnya berterusan; atau ilmu yang terus dimanfaatkan; atau anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis riwayat Imam Muslim) 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Sesungguhnya orang yang tenggelam dalam kehidupan dunia, lemas dalam syahwat dan kelazatannya akan menyebabkan hatinya lalai terhadap kematian. Kematian itu bukan sekadar pemisah antara dunia dan akhirat, tetapi ia datang bersama rasa sakit yang tidak terperi. Sakaratul maut itu mencengkam jiwa, menggoncang tubuh, dan meruntun rasa. Ia akan dialami oleh setiap insan, tanpa terkecuali. 

Namun, bagi sebahagian hamba Allah yang terpilih, seperti para syuhada, sakaratul maut itu menjadi ringan seumpama kilatan pedang yang menyambar, cukup sebagai ujian terakhir sebelum bertemu Tuhan yang Maha Penyayang. Ada pula insan yang merasai kesakitan itu dengan amat berat, bukan kerana Allah membencinya, tetapi sebagai kasih sayang dan penyucian akhir bagi dosa-dosa yang lampau. 

Sakaratul maut itu menjadi detik penyucian, penyembuh bagi hati yang pernah lalai, dan pengangkat darjat yang membawa hamba itu lebih dekat kepada rahmat-Nya. Bahkan Rasul kita yang mulia, Nabi Muhammad SAW, manusia yang paling dicintai Allah, turut merasai beratnya sakaratul maut. Baginda menggigil dalam pelukan ajal, sebagai tanda bahawa kesakitan itu bukan hinaan, tetapi satu bentuk rahmat, ujian dan kemuliaan buat mereka yang sabar menanti pertemuan abadi.

 Maka marilah kita bermuhasabah diri sesungguh-sungguhnya bagi menghadapi kematian yang penuh rahsia. Jangan menunda-nunda untuk beramal atau menunda untuk bertaubat. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar radhiallahuanhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW memegang bahuku, lalu bersabda, “Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah seorang yang asing atau seorang musafir”. Dan Ibnu Umar mengatakan: “Jika engkau masuk waktu Subuh, maka janganlah engkau menanti petang. Jika engkau masuk waktu petang, maka janganlah engkau menanti Subuh. Ambillah dari kesihatanmu untuk sakitmu. Dan ambillah dari hidupmu untuk matimu”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) 

Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkanlah beberapa kesimpulan ini; 

Pertama: Kematian tidak dapat disangkal oleh sesiapa bahkan itulah janji yang pasti kepada semua makhluk yang bernyawa. 

Kedua: Perbanyakkanlah mengingati mati dan mempersiapkan diri menghadapinya kerana itulah ciri orang yang bijak. 

Ketiga: Keadaan kematian kita bergantung kepada amal yang dilakukan di dunia. Maka perbanyakkanlah melaksanakan amal soleh dan janganlah menunda-nunda untuk bertaubat kerana sakaratul maut itu sungguh sangat menyakitkan. 

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah Taahaa ayat 112: 

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَا يَخَافُ ظُلْمًۭا وَلَا هَضْمًۭا (١١٢)

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang dia beriman, maka tidaklah (seharusnya) dia berasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari pahalanya”.

(Surah Taahaa 20:112)

Tarikh Dibaca: 16 Zulhijjah 1446H / 13 Jun 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑