Teks Khutbah Jumaat (WP): Budaya Tular: Saring Sebelum Sebar

​​أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍۢ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍۢ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ (٦)

 “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan (kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

(Surah Al-Hujurat 49:6)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan-Nya. Jadikan cita-cita akhir hayat kita nanti, berstatus Muttaqin di sisi-Nya. Oleh itu, matikan telefon bimbit dan berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat. 

Mimbar pada hari ini akan menyampaikan satu khutbah bertajuk “Budaya Tular: Saring Sebelum Sebar”.

Tetamu Allah yang dikasihi,

Sekarang adalah zaman tersebar luasnya penggunaan teknologi. Semua lapisan masyarakat, tidak terkecuali daripada memiliki gajet peribadi masing-masing. Malah, pelbagai platform media sosial dan jaringan internet di hujung jari, telah memudahkan kita mendapat maklumat. Hanya dengan beberapa klik, segala maklumat dapat disebar dan dikongsikan. Maklumat tersebut samada dalam bentuk tulisan, video pendek, infografik dan sebagainya, kadang-kadang menjadi tular atau ‘viral’ bila mana perkongsiannya cepat tersebar.

Dalam menghadapi fenomena masyarakat yang suka kepada budaya tular ini, hendaklah kita berwaspada daripada terjebak dalam kejelikan, unsur fitnah dan adu domba yang boleh memecah belahkan masyarakat. Allah SWT telah mengingatkan kita dengan firman-Nya dalam al-Quran, surah Al-Hujurat ayat 6, yang dibaca di awal khutbah sebentar tadi bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan (kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

Ayat ini mengajarkan kita semua agar tidak terburu-buru membenarkan dan menyebarkan berita yang diterima. Bak kata peribahasa burung yang liar jangan dilepaskan, khabar mustahil jangan didengarkan. Hal ini disebabkan satu berita yang diterima tanpa penapisan boleh memporak-perandakan keharmonian bahkan mampu mengancam keselamatan seseorang. Setelah kemusnahan terjadi penyesalan tiada berguna lagi.

Sidang muslimin yang dikasihi Allah,

Masa kini, penyebaran berita meluas dengan tiada sempadan. Kita seharusnya meluruskan niat dan membersihkan hati agar tidak menjadi alat kepada syaitan dan nafsu yang suka melihat perpecahan dalam kalangan umat. Ingatlah, setiap respon kita di media sosial dicatat oleh para malaikat. Apatah lagi, berita palsu yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah seorang Mukmin. 

Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengatakan sesuatu yang tidak benar terhadap seorang mukmin, maka Allah akan menempatkannya di dalam Radghatal Khabal (iaitu neraka yang penuh nanah dan darah penghuninya) sehingga dia menarik balik apa yang dikatakannya.”

Seharusnya bagi seorang yang beriman memegang sabda baginda SAW ini dengan erat. Takutlah kita akan azab Allah SWT yang bakal menimpa di akhirat kelak. Menyesal dengan air mata darah sekalipun tidak mampu menyelamatkan kita daripada azab!

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sebagai warganegara Malaysia, memuatnaik kandungan tular yang menyentuh perihal agama, kaum dan institusi raja merupakan satu kesalahan undang-undang. Berdasarkan bilangan aduan kandungan media baharu yang bersifat jelik yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat sebanyak 3214 aduan pada tahun 2021 dan; 2804 pada tahun 2022 di bawah kategori ucapan kebencian terhadap agama, kaum, institusi raja dan sebagainya. 

Ingatlah! Perbuatan ini boleh disiasat dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (iaitu Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Oleh sebab itu, janganlah berkongsi sebarang bentuk berita tular yang tidak diketahui sumbernya. Selain daripada tindakan undang-undang, kesan buruk budaya tular sebelum saring ini sangat banyak.  Pertama, fitnah dan aib seseorang akan terbongkar secara terbuka. Kedua, kehormatan individu dicerobohi. Ketiga, kepercayaan sesama manusia semakin terhakis.

Budaya menyebar aib saudara seislam, mencalarkan kehormatan individu dan menghakis kepercayaan antara satu sama lain ini bukan suatu perkara yang diajarkan Islam. Liciknya permainan syaitan, berita-berita aib dan kebencian sudah tentulah senang tular berbanding mempromosikan kesatuan dan kebaikan. Hindarkan gosip liar dan sebarkan kebaikan. Itulah sifat seorang yang beriman.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Oleh kerana buruknya kesan terhadap kehidupan umat Islam akibat daripada ucapan yang tidak baik dan penyebaran fitnah melalui budaya tular ini, maka marilah sama-sama kita berusaha menjadi agen yang mendamaikan dan saling memperkukuhkan persaudaraan. Sesungguhnya, ajaran Islam menyeru ke arah perpaduan dan perdamaian.

Maka marilah kita tinggalkan segala budaya tular yang terpalit dengan ungkapan buruk yang berbaur fitnah, hasad, sombong yang memecah belah saf umat. Kita perkuatkan persaudaran Islam, kita bina persefahaman, dan hindari kebencian yang menodai keharmonian. Umat yang bersatu, pasti kuat; umat yang berpecah, pasti lemah dan mudah dimusnahkan musuh-musuh Islam. Semoga kita menjadi umat yang bersatu hati, seiring langkah, menuju keredaan Ilahi.

Renungi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (١٠)

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat 49:10)

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Kesimpulan yang boleh kita ambil daripada khutbah pada hari ini ialah:

Pertama: Menjadi satu kewajipan kita sebagai seorang muslim untuk memeriksa sesuatu maklumat sebelum disebarkan. Kesan buruk daripada penyebaran berita tidak sahih akan merosakkan masyarakat.

Kedua: Jangan sesekali terlibat dengan budaya fitnah dan terlalu mudah berkongsi sesuatu yang tular dalam media sosial sebelum memastikan kesahihannya. Tambahan pula, bersangkut paut dengan agama, perkauman dan institusi raja boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketiga: Jadilah agen penyatuan bukan perpecahan. Penuhi media sosial dengan perkara positif. Nasihatilah rakan yang menyebarkan kebencian dan aib orang agar tidak mendapat rantaian dosa yang sukar dihapuskan.

Akhirnya, marilah kita tanamkan adab dan budaya celik maklumat dalam masyarakat. Budaya menyaring sebelum menyebar. Budaya menjaga aib saudara. Budaya mendidik, bukan mengaibkan. Doakan agar Allah SWT memelihara lidah dan jari kita daripada menyakiti manusia lain, dan agar kita tergolong dalam golongan yang menyebarkan kebaikan, bukan kebinasaan.

Marilah bersama kita hayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi ayat 49,

وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا(٤٩) 

Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

(Surah Al-Kahfi 18:49)

Tarikh Bacaan: 16 Zulhijjah 1446H | 13 Jun 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑