Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Ayah: Wira Tanpa Mahkota 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ(٦)

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. 

(Surah At-Tahrim 66:6)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. 

Khutbah pada hari ini akan berbicara tentang; “Ayah: Wira Tanpa Mahkota”. 

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin menyeru sidang Jemaah sekalian untuk terus memanjatkan doa pertolongan kepada Allah SWT agar melindungi, menyelamatkan dan memberi kemenangan kepada penduduk Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. 

Sesungguhnya doa dari kita semua adalah senjata yang paling ampuh boleh kita salurkan kepada mereka dan hanya kepada Allah SWT jualah tempat yang selayaknya kita memohon pertolongan. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Peranan seorang bapa amat besar dalam pembentukan keluarga yang bahagia. Maka tidak hairanlah Islam menegaskan kepentingan menjaga diri dan keluarga daripada seksaan neraka. 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ 

Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)”. 

Ayat ini bukan sekadar nasihat, ia adalah perintah. Perintah kepada para bapa agar menjadi perisai kepada keluarga mereka. Seorang bapa bukan sahaja wajib menyediakan keperluan zahir seperti makan dan tempat tinggal, malah lebih penting daripada itu ialah mendidik jiwa dan membimbing rohani keluarganya agar hidup dalam redha Allah SWT. 

Menjadi ketua keluarga bukan tugas yang ringan. Seorang bapa adalah pejuang yang tidak pernah mengeluh. Dia membanting tulang, memeras keringat siang dan malam demi sesuap rezeki yang halal. Selain membesar dalam kehangatan pelukan ibu, anak-anak juga memerlukan pelukan ketegasan dan kepimpinan seorang ayah yang nanti akan membentuk prinsip, menanam perasaan kasih sayang dan ketahanan diri anak-anak. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah

Kaum lelaki terutamanya mereka yang bergelar bapa ialah mereka yang menjadi perwira dan pejuang kepada sesebuah keluarga. Mereka memimpin dengan iman, menanam akhlak, dan mengukuhkan ekonomi keluarga. Keluarga yang bahagia bukan terhasil dari harta semata-mata, tetapi dari nilai dan didikan yang berakar dari kepimpinan seorang bapa. 

Lihatlah realiti hari ini. Ramai bapa yang harus bangun seawal pagi, pulang pula yang paling lewat. Mereka memendam letih dan menyembunyikan resah. Mereka mungkin tidak menangis di depan anak-anak, tetapi hatinya yang paling resah apabila tidak berupaya mencukupkan keperluan keluarganya. Bahkan ada juga para bapa yang setiap hari mengikat perut demi mendahulukan keperluan keluarga berbanding keperluan diri sendiri. Para bapa sanggup bersusah demi melihat anak-anak mereka berguna di dunia dan akhirat. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Allah, 

Seorang bapa memiliki tanggungjawab yang cukup berat. Bukan hanya untuk mencari nafkah buat keluarga, bahkan perlu berperanan sebagai bapa yang qawwam kepada keluarga. 

Peranan ini antaranya; Memimpin dengan contoh yang baik, termasuk dalam ibadah dan akhlak. Kepimpinan seorang bapa bukan hanya pada kata-kata, tetapi lebih besar kesannya apabila ditunjukkan melalui perbuatan. Anak-anak melihat, meniru dan belajar daripada sikap ayah mereka. 

Jika seorang bapa menjaga solatnya, menjaga lidahnya, jujur dalam pekerjaan dan lembut dalam tutur kata, maka itulah cerminan yang akan membentuk anak-anaknya. Keluarga dipimpin dengan menunjukkan teladan. 

Rasulullah SAW sendiri, meskipun sebagai pemimpin agung, tetap menolong isterinya di rumah, bergurau dengan anak-anak dan menyantuni keluarga dengan penuh kasih. Itulah pemimpin sebenar dalam erti qawwam. 

Seterusnya bapa perlu menjadi pembimbing iaitu mendidik anak-anak dengan ilmu dan akhlak Islam. Bapa perlu menyampaikan ilmu dan mendidik akhlak. Oleh sebab itu, para bapa memiliki terlebih dahulu ilmu-ilmu berkenaan dan diaplikasikan dalam kehidupan. 

Tugas ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah atau ustaz yang mengajar di masjid dan surau. 

Bapa perlu menjadi guru pertama dalam hidup anak-anak supaya mereka cinta kepada agama. Bapa perlu menjadi pelindung dalam menjaga keluarga dari anasir buruk dunia luar. 

Dunia hari ini penuh dengan cabaran dan godaan yang merosakkan sama ada dari media sosial, hiburan yang melampau, ideologi songsang, hingga pergaulan bebas. Seorang bapa yang qawwam tidak boleh berpeluk tubuh melihat keluarganya terdedah tanpa perlindungan. Sebagaimana seorang bapa menutup pintu rumah dari pencuri, begitulah dia perlu menutup laluan masuk anasir buruk ke dalam hati anak-anaknya. Dia memagari  mereka dengan ilmu, doa, perhatian dan kasih sayang. Dia menjadi pelindung dari serangan yang tidak kelihatan seperti kerosakan iman dan kehilangan nilai diri.

 Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Kita banyak terhutang budi kepada bapa kita. Sungguhpun mereka tidak bercerita kesusahan yang dialami, sungguhpun mereka jarang bertanya keadaan kita, namun percayalah bahawa merekalah orang yang paling gembira melihat kejayaan anak-anaknya. 

Merekalah orang yang paling susah hati apabila anak-anak mereka berada dalam kesusahan. Ingatlah juga bahawa setiap kejayaan kita hari ini, tumbuh daripada keringat dan darah yang bapa kita tumpahkan sepanjang hayat mereka. 

Justeru, taatilah dan kasihilah para bapa selayaknya dan doakanlah kesejahteraan buat mereka. Teruskan berbakti terhadap mereka walau dengan sekecil perkara. Semoga Allah SWT merahmati mereka dan membimbing mereka ke jalan yang diredhai-Nya. 

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita hayati beberapa pengajaran; 

Pertama: Kita menghargai bapa bukan hanya tertentu pada Hari Bapa, tetapi hargailah mereka selagi hayat dikandung badan. 

Kedua: Untuk para bapa, teruslah berusaha memperbaiki diri dengan meningkatkan keilmuan dan keimanan supaya dapat mendidik anak-anak dengan ajaran dan akhlak Islam. 

Ketiga: Buat para lelaki, lindungilah kaum wanita dan jangan pergunakan mereka semata-mata demi nafsu. 

Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik kepada kita untuk menyantuni mereka selaras dengan kehendak dan ajaran Islam kerana nanti itulah yang akan dipersoalkan di akhirat. Renungkan firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّۭا كَبِيرًۭا(٣٤) 

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orangorang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.

(Surah An-Nisa 4:34)

Tarikh Dibaca: 23 Zulhijjah 1446H / 20 Jun 2025
Disediakan oleh: Bahagian Dakwah & Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑