Teks Khutbah Jumaat (WP): Infak: Benih Kebaikan, Tuaian Keberkatan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّآ أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا۟ ٱلْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِـَٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغْمِضُوا۟ فِيهِ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ(٢٦٧) 

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

(Surah Al-Baqarah 2:267)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakwaan. Dengan cara kita mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Khatib berpesan kepada jemaah sekalian agar memberikan sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan dan jauhilah perbuatan sia-sia seperti berbual-bual, bermain telefon bimbit dan seumpamanya sepanjang khutbah disampaikan. 

Marilah kita bersama menghayati khutbah yang bertajuk “Infak: Benih Kebaikan, Tuaian Keberkatan.”

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Infak merupakan antara ibadah yang paling besar ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Ibadah ini merupakan salah satu wasilah untuk kita menzahirkan syukur kepada Allah SWT atas nikmat pendapatan yang kita perolehi daripada sumber pekerjaan yang halal, mahupun rezeki-rezeki daripada Allah SWT seperti buah-buahan dan juga hasil tanaman.

Dalam ayat yang dibacakan pada awal khutbah sebentar tadi, Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke- 267 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”

Menurut Ibnu Abbas radiallahuanhuma, ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada golongan beriman untuk mereka bersedekah menggunakan harta paling baik yang dimiliki. Allah SWT juga melarang mereka daripada bersedekah dengan harta-harta mereka yang buruk. Yang mana jika mereka diberikan sedekah dengan yang seumpama dengannya, sudah tentu mereka sendiri enggan untuk menerimanya.

Lihat, betapa beruntungnya golongan manusia yang dikurniakan limpahan rezeki, lantas menginfakkannya bukan sekadarnya tetapi menjadikan pemberian yang paling terbaik sebagai keutamaan. Sewajarnya kita berasa malu mempersembahkan perkara hanya sekadar tangkap muat. Bukan sahaja malu kepada penerima dan diri sendiri; akan tetapi malulah kepada Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Setelah Dia mengurniakan pelbagai nikmat yang dikecapi sepanjang kehidupan ini, kita masih lagi lokek untuk memberikan yang terbaik. Contohilah sifat kedermawanan para salafussoleh dalam berinfak.

Sebagaimana Saidina Abu Bakar Al-Siddiq Radiallahuanhu memberikan seluruh hartanya semasa Perang Tabuk. Apabila Rasulullah SAW meminta sumbangan untuk perang, Abu Bakar lantas membawa seluruh hartanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?” Abu Bakar menjawab: “Aku tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka.” 

Saidatina Khadijah Radiallahuanha juga memberikan sejumlah besar daripada harta hasil perniagaannya untuk diinfakkan pada jalan Allah. Begitu juga Saidina Uthman Ibnu Affan Radiallahuanhu yang telah membeli sebuah Perigi Rummah (Bi’ru Rummah) daripada seorang Yahudi untuk manfaat kaum Muslimin di bumi Madinah. Subhanallah, begitu tinggi nilai kecintaan para sahabat radiallahuanhum dalam memberikan infak yang terbaik hanya semata-mata mengharap reda dan kasih sayang Allah SWT. 

Maka bertindaklah untuk memberi yang terbaik semampunya. Dalam era kecanggihan teknologi kini, amalan infak juga lebih mudah dan pantas. Semuanya hanya dihujung jari. Hanya dengan imbasan Kod QR kita sudah boleh melaksanakan infak dimana sahaja ruang, tempat dan masa kita berada. Lalu, apakah ada lagi alasan?

Renungi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban daripada Uqbah bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang akan berada di bawah naungan sedekahnya hingga perkara di antara manusia diputuskan.”

Para Tetamu Allah Yang Dimuliakan,

Ganjaran dan hasil kebaikan daripada sesuatu amalan merupakan cara syarak menggalakkan apa sahaja amalan soleh. Khususnya, bagi penginfak di jalan Allah SWT, yang telah melaksanakan amalan yang agung dalam Islam, sudah tentu ganjarannya amat besar. Motivasi ini telah dinyatakan Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ(٢٦١) 

Maksud: “Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yangdikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Baqarah 2: 261)

Bayangkan, infak di jalan Allah diumpamakan seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai dan di setiap tangkai itu terdapat 100 biji benih. Yang dikeluarkan satu digandakan sehingga 700. Allahu akbar!

Tidak cukup lagi dengan motivasi sebelum ini, Allah memberikan gambaran bahawa infak ialah satu perniagaan. Bezanya dengan perniagaan biasa, model perniagaan ini tidak akan rugi! Firman Allah SWT di dalam Surah Fatir ayat 29:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّۭا وَعَلَانِيَةًۭ يَرْجُونَ تِجَـٰرَةًۭ لَّن تَبُورَ(٢٩)

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta menginfakkan dari apa yang telah Kami kurniakan kepada mereka, secara sembunyi-sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”

(Surah Fatir 35:29)

Alangkah beruntung dan bertuahnya para penginfak. Dengan sedikit modal yang dikeluarkan, mereka mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Tidak salah untuk mengharapkan keberkatan rezeki di dunia. Namun, sentiasalah ganjaran yang didambakan dan diutamakan adalah pahala yang seterusnya akan membawa kita menuju ke syurga. Inilah suatu jaminan keuntungan buat mereka yang ‘berniaga’ dengan Allah SWT. 

Pusingan keuntungan yang hakiki pasti diraih di akhirat. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Taubah ayat 111: 

 إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ ۚ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.”

Justeru, ketahuilah apabila seseorang itu ‘menjual’ harta miliknya kepada Allah SWT menerusi infak, nescaya Allah SWT akan ‘membelinya’ dengan ganjaran pahala dan juga syurga.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bagi mengakhiri khutbah, marilah kita meneliti dan menghayati beberapa kesimpulan penting dari isi khutbah yang disampaikan :

Pertama: Infak merupakan suatu manifestasi syukur terhadap nikmat harta dan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

Kedua: Berusahalah untuk memberikan infak dengan harta terbaik yang kita miliki. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Baik dan Dia hanya menerima pemberian yang baik-baik sahaja.

Ketiga: Tanamkan dalam diri bahawa infak sama sekali tidak akan mengurangkan harta. Bahkan sebaliknya, dengan bersedekah nikmat Allah akan bertambah dan memperoleh barakah.

Renunglah sedalam-dalamnya firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 272 yang menyebut:

وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ فَلِأَنفُسِكُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبْتِغَآءَ وَجْهِ ٱللَّهِ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ(٢٧٢) 

ۗMaksudnya: “Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah Al-Baqarah 2: 272)

Tarikh Bacaan: 23 Zulhijjah 1446H | 20 Jun 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑