Ayat-Ayat Al-Quran Tentang Syukur

Salah satu Asmaul Husna ialah As-Syakur (الشَّكُورُ) iaitu Allah SWT Yang Maha Pembalas Budi. Setelah merahmati hamba-hamba-Nya dengan segala-gala dan kemudian dibalas dengan kesyukuran yang sedikit, Allah SWT kelak akan membalas segala amalan dan kebaikan kita yang sedikit itu dengan sebaik-baik ganjaran di akhirat kelak. 

Apabila kita memikirkan konsep bersyukur dan berterima kasih, adalah penting untuk kita memikirkan bagaimana Allah SWT telah merahmati kehidupan kita dengan pelbagai kebaikan dan bagaimana kita boleh melakukan perkara yang sama dengan berbuat kebaikan kepada sesama makhluk sebagai tanda kesyukuran kita kepada-Nya.

Disenaraikan ayat-ayat Al-Quran tentang Syukur 

Bersyukur di atas nikmat Allah adalah wajib dan tidak harus seseorang itu meninggalkannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

(Surah al-Baqarah 2:152)

فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

(Surah al-A’raf 7:69)

وَقَالُوا۟ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَذْهَبَ عَنَّا ٱلْحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌۭ شَكُورٌ(٣٤)

Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: “Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);

(Surah Fatir 35:34)

لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ غَفُورٌۭ شَكُورٌۭ(٣٠)

Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).

(Surah Fatir 35:30)

وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةًۭ نَّزِدْ لَهُۥ فِيهَا حُسْنًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ شَكُورٌ

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).

(Surah Ash-Shuraa 42:23)

Allah juga memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua orang tua dan berbakti kepada mereka. Hal ini seperti firman Allah SWT dalam ayat:

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

(dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

(Surah Luqman 31:14)

Allah SWT menghargai kebaikan yang dilakukan bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada semua makhluk Allah SWT di dunia ini. 

هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَـٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَـٰنُ(٦٠)

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?

(Surah Ar-Rahman 55:60)

Allah SWT menjanjikan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang berusaha untuk beramal dan berbuat kebaikan di dunia.

إِنَّ هَـٰذَا كَانَ لَكُمْ جَزَآءًۭ وَكَانَ سَعْيُكُم مَّشْكُورًا(٢٢)

(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)”.

(Surah Al-Insan 76:22)

Segala kebaikan dan amalan perlulah dilakukan kerana Allah SWT tetapi sebagai manusia, kita tidak lepas daripada menginginkan perhatian manusia lain dan menghargai kebaikan yang telah kita lakukan. Dan ada masanya, kita ingin melakukan kebaikan tetapi yang terjadi sebaliknya, dan tiada siapa yang mengetahui niat kita melainkan kita sendiri dan Allah SWT.

مَّا يَفْعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًۭا(١٤٧)

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

(Surah An-Nisa 4:147)

Oleh itu, sebagai hamba-Nya, perlulah kita menghayati sifat Asy-Syakur yang Maha Esa dan berusaha untuk bersyukur dalam tuturkata dan perbuatan kita.

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ(١٨)

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah an-Nahl 16:18)

Ingatlah bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah lagi Maha Menghargai di mana dengan syukur kita yang sedikit, Dia memberi kita rahmat yang melimpah ruah. 

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu,

(Surah Ibrahim 14:7)

Dan bersyukur kepada manusia dengan melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas pertolongan yang diberikan. Berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikannya menjadi kayu ukur apakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah atau tidak atas segala nikmat pemberian-Nya. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”

Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑