Di hari pertama bulan Muharram, semua umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan Tahun Baru Islam juga dikenali sebagai Awal Muharram. Bulan Muharram menandakan bulan pertama dalam kalendar Islam dan merupakan salah satu daripada empat bulan suci Allah SWT.
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
(Riwayat al-Bukhari 184)
Di bulan yang penuh barakah ini, pahala beramal adalah besar. Berikut adalah perkara mudah yang boleh dilakukan di bulan Muharram.
Baca Doa Akhir Tahun
Sebenarnya tiada doa khusus untuk mengakhiri atau menyambut tahun baru. Yang digalakkan ialah untuk kita memperbanyakkan doa kita pada bila-bila masa dan pada masa-masa yang digalakkan. Walau bagaimanapun, berikut disertakan beberapa doa yang boleh digunapakai. Doa-doa ini sering dibacakan di masjid-masjid walaupun terdapat serba sedikit perbezaan.
Dalam tradisi Islam, waktu Maghrib menandakan permulaan hari berikutnya. Oleh itu pada 29 Zulhijjah (26 Jun 2025), sebelum Maghrib, anda boleh membaca Doa untuk akhir tahun Islam sebanyak 3 kali.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ,الحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ مَا عَمِلْنَا فِى هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنَا عَنْهُ فَلَمْ نَتُبْ مِنْهُ، وَلَمْ تَرْضَهُ وَلَمْ تَنْسَهُ، وَحَلِمْتَ عَلَيْنَا بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَتِنَا إِلَى التَّوْبَةِ مِنْهُ بَعْدَ جَرَاءَتِنَا عَلَى مَعْصِيَتِكَ، فَإِنَّنَا نَسْتَغْفِرُكَ فَاغْفِرْ لَنَا، وَمَا عَمِلْنَا مِمَّا تَرْضَاهُ، وَوَعَدْتَنَا عَلَيْهِ الثَّوَابَ، فَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ يَا كَرِيمُ يَا ذَاالجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ، أَنْ تَتَقَبَّـلَهُ مِنَّا وَلاَ تَقْطَعْ رَجَاءَنَا مِنْكَ يَا كَرِيمُ. رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّى اللهُ وَسلَّمَ عَلَى سَيـِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ
“Ya Allah, apa-apa tegahan dan larangan-Mu yang kami telah lakukan sepanjang tahun ini dan kami belum bertaubat daripadanya sedangkan Engkau tidak lupa dan tidak meredhainya, Engkau juga telah berlemah-lembut kepada kami sedangkan Engkau berkuasa memaksa kami bertaubat daripada perbuatan maksiat yang sengaja kami lakukan, maka sesungguhnya kami memohon keampunan-Mu. Apa-apa perbuatan kami sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dengan pemberian pahala yang Engkau janjikan, maka dengan kemuliaan dan kebesaran-Mu, kami memohon dan berharap menerimanya, dan janganlah Engkau hampakan harapan kami kepada-Mu. Amin ya Rabbal ‘alamin.”

Baca Doa Awal Muharram
Pada 29 Zulhijjah (26 Jun 2025), selepas Maghrib, pada malam 1 Muharram, anda boleh membaca Doa untuk permulaan tahun Islam sebanyak 3 kali.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْـبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ الأَبَدِيُّ القَدِيمُ الأَوَّلُ وَعَلَى فَضْلِكَ العَظِيمِ وَجُودِكَ المُعَوَّلِ، وَهَذَا عَامٌ جَدِيدٌ قَدْ أَقْبَلَ عَلَيْنَا، نَسْئَـلُكَ العِصْمَةَ فِيهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَأَوْلِيَاءِهِ وَجُنُودِهِ، وَالعَوْنَ عَلَى هَذِهِ النَّفْسِ اللأَمَّارَةِ بِالسُّوءِ، وَالاِشْتِغَالِ بِمَا يُقَرِّبُنَا إِلَيْكَ زُلْفَى. اَللَّهُمَّ يَا مُحَوِّلَ الأَحْوَالِ حَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الأَحْوَالِ بِحَوْلِكَ وَقُوَّتِكَ يَا عَزِيزُ يَا مُتَعَالٍ. رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّى اللهُ وَسلَّمَ عَلَى سَيـِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ.
“Ya Allah Yang Kekal Abadi, dengan limpah kurnia dan kemurahan-Mu pada tahun baharu yang menjelang tiba ini, kami memohon pemeliharaan dan perlindungan-Mu daripada syaitan yang direjam dan semua pengikut serta pembantu-pembantunya. Kami memohon pertolongan-Mu mengatasi nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan, dan bantulah kami melakukan segala perkara yang memungkinkan kami mendampingi-Mu. Ya Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa mengubah segala keadaan, dengan kekuasaan-Mu Yang Maha Agung, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan. Amin ya Rabbal ‘alamin.”

Puasa Di Bulan Muharram
Umat Islam disunnahkan berpuasa pada Asyhurul Hurum (4 bulan haram Allah SWT) Antaranya ialah bulan Muharram. Nabi Muhammad SAW telah menyebut secara khusus keutamaan berpuasa di bulan Muharram:
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda SAW:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
(Riwayat al-Tirmizi 741)
Berpuasa Pada Hari Asyura
Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;
قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ” مَا هَذَا ”. قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ ” فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ”. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.
(Riwayat al-Bukhari 2004)
Rasulullah SAW juga telah menggalakkan kita berpuasa pada hari-hari sebelum dan selepas hari Asyura. Ini bermakna digalakkan berpuasa pada hari kesembilan dan kesebelas Muharram.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya”
(Riwayat Ahmad: no.2154)
Berkenaan dengan keutamaannya, Ibn Abbas r.a. ditanya tentang puasa pada hari Asyura’, beliau bersabda:
مَا عَلِمْتُ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمًا يَطْلُبُ فَضْلَهُ عَلَى الْأَيَّامِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ وَلَا شَهْرًا إِلَّا هَذَا الشَّهْرَ
Maksudnya: “Aku tidak ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada satu hari dan mencari-cari kelebihan yang ada padanya daripada hari-hari yang lain melainkan pada hari ini (hari Asyura’) dan tidak juga pada satu bulan melainkan pada bulan ini (Ramadhan).”
(Riwayat Muslim 1132)
Daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: “Dan berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya.”
(Riwayat Muslim 1162)
Mari kita bersama memulakan perjalanan tahun baharu kita dengan cara yang bersih dan diberkati Allah SWT. Sesungguhnya taubat itu membuka pintu-pintu rahmat-Nya. Semoga Allah SWT memberkati kita semua dengan tahun yang indah dan penuh rahmah. Amin.
Wallahu’alam. Salam Maal Hijrah.
Leave a comment