أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى ٱللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍۢ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ(٢٨١)
“Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”
(Surah Al-Baqarah 2:281)
Sidang Jemaah yang dimuliakan,
Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya kerana sesungguhnya takwa adalah bekal terbaik kita di dunia dan di akhirat. Marilah kita berikan tumpuan sepenuhnya kepada khutbah yang akan disampaikan. Elakkanlah dari sebarang gangguan seperti bermain telefon bimbit, bersembang atau tidur.
Semoga setiap nasihat yang didengari akan menyuburkan hati dan membimbing kita ke arah kebaikan. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Hijrah: Membangun Ummah MADANI”.
Hadirin Jumaat yang dimuliakan,
Pertamanya, mimbar mengambil kesempatan mengajak semua untuk bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan nikmat tahun baru 1447 Hijrah ini. Semoga segala amal kebaikan yang telah kita laksanakan sepanjang tahun lalu diterima oleh Allah SWT, dan mudah-mudahan tahun ini menjadi satu titik permulaan pembukaan lembaran baru yang lebih baik dan diberkati, dipenuhi dengan dengan rahmat, hidayah, serta taufik-Nya untuk diri kita, keluarga, masyarakat serta negara.
Setiap kali tibanya tahun baharu hijrah, kita sering diseru untuk kembali merenung peristiwa agung Hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat, iaitu perpindahan Baginda SAW dari kota suci Mekah ke Madinah (yang dahulunya dikenali sebagai Yathrib).
Bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab radiallahuanhu, setelah perbincangan mendalam dalam kalangan para sahabat, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dipilih sebagai titik permulaan takwim.
Hijrah ini bukan sekadar perubahan lokasi secara fizikal, bahkan ia merupakan simbol agung perubahan rohani – satu manifestasi pengorbanan, keimanan, serta kebangkitan jiwa dan akal dalam membina tamadun manusia berlandaskan wahyu. Inilah matlamat akhir daripada ibrah penghijrahan Nabi Muhammad SAW sebagaimana dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 281 dibacakan di awal khutbah yang bermaksud:
“Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”
Namun persoalan yang perlu kita renungi bersama ialah adakah kita sekadar mengenang detik bersejarah ini sebagai satu kisah silam, atau adakah kita benar-benar menghayati makna dan semangat hijrah itu demi mentransformasikan diri dan masyarakat dalam membina kehidupan yang lebih bertakwa?
Kaum Muslimin Yang Dikasihi,
Dalam usaha Membangun Ummah MADANI ini, tentunya kita menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Ayuh kita renung dan lihat apakah cabarannya serta bagaimanakah solusinya?
Pertama: Kurang Empati dan Toleransi.
Budaya “kubur masing-masing” membarahkan sikap prasangka dan stereotaip di kalangan masyarakat. Keengganan memahami menjadi penyebab kita tanpa sedar melakukan perbuatan yang mengguris perasaan orang lain bahkan mengakibatkan hubungan persaudaraan, kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan kian menjadi renggang.
Kedua: Hilang Rasa Hormat di Kalangan Muslim.
Apabila seseorang merasakan pandangan, identiti, atau cara hidupnya tidak difahami atau dihargai oleh saudaranya sendiri, perasaan terasing dan tersisih akan mula bersarang. Keadaan ini akhirnya boleh melahirkan kelompok-kelompok kecil atau puak yang saling menjauh, lalu melemahkan perpaduan umat Islam secara keseluruhan.
Ketiga: Kepercayaan Semakin Pudar.
Kepercayaan adalah asas utama dalam membina hubungan yang kukuh. Tanpa kepercayaan sukar untuk kita bersatu hati dan bekerjasama membangun ummah. Jauh sekali untuk berkorban demi kebaikan bersama. Perkara ini sangat jelas dapat dilihat bagaimana reaksi kita ketika mendepani sesuatu isu. Sangkaan baik ataupun buruk yang pertama menerpa di fikiran kita?
Penekanan terhadap cabaran ini telah disebutkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda: yang bermaksud: “Janganlah kalian saling dengki, melakukan najasy (menaikkan harga bidaan bukan tujuan membeli), saling membenci, saling membelakangi dan menjual di atas jualan orang lain. Jadilah kalian semua hamba–hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya, menghinanya, mendustakannya dan merendahkannya. Takwa itu letaknya di sini –sambil menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali– cukuplah seseorang itu dalam kejelekan selama dia merendahkan saudaranya sesama muslim. Setiap muslim terhadap muslim lainnya haram dan terjaga darah, harta dan kehormatannya.”
Sidang Jemaah yang dimuliakan,
Menyedari cabaran-cabaran ini, jelaslah bahawa pembentukan Ummah MADANI tidak akan tercapai tanpa usaha proaktif dari setiap individu. Justeru Islam sebagai agama yang sempurna, sentiasa menganjurkan umatnya untuk memupuk perpaduan dan sikap saling mengambil berat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ(١٠)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara. Oleh itu damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertengkar) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah Al-Hujurat 49:10)
Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa semua orang Mukmin adalah bersaudara. Inilah asas kepada prinsip kekeluargaan dalam Islam yang menuntut kita saling mengambil berat antara satu sama lain, perdamaian dan kasih sayang. Apabila kita menganggap orang lain sebagai saudara, maka kita secara semula jadi akan lebih prihatin terhadap nasib dan kesejahteraan mereka.
Justeru, keadaan ini memerlukan kebersamaan kita untuk saling mendekati, memahami dan memupuk kembali ukhuwah Islamiah serta keharmonian masyarakat. Sifat dan akhlak mulia melalui pergaulan, ucapan yang baik dan sopan santun, menyebarluaskan kebaikan serta menutup keaiban adalah contoh pekerti terpuji yang boleh kita amalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini kerana, perbuatan menyebarkan kebaikan kepada orang lain serta membimbing mereka akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.
Oleh itu, jadikanlah detik tahun baru hijrah sebagai pemangkin untuk kita menyuburkan kembali budaya amar makruf dan nahi mungkar dalam konteks mendekatkan silaturahim dan memupuk keprihatinan. Ini adalah langkah-langkah penting dalam merealisasikan aspirasi tema ‘Membangun Ummah Madani’ yang kita hayati pada tahun ini. Tema ini merangkum hikmah untuk melahirkan sebuah masyarakat Islam yang maju, berintegriti dan berlandaskan nilai-nilai murni.
Muslimin yang dimuliakan,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak kita untuk melihat tiga perkara berikut sebagai panduan dan pedoman bersama:
Pertama: Kedatangan tahun baharu hijrah pada setiap tahun harus menjadi medan untuk kita memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan.
Kedua: Kita seharusnya sedar akan realiti yang menghalang masyarakat melaksanakan ibrah daripada hijrah bagi membangunkan ummah. Peristiwa hijrah mengajar kita untuk sentiasa mencari peluang memperbaiki keadaan hidup kita serta memupuk sifat keprihatinan dan kepedulian terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang dan agama.
Ketiga: Hijrah adalah hasil usaha bersama. Kita harus proaktif dalam membangunkan aspek ilmu, politik dan ekonomi. Malah hijrah juga perlu turut melibatkan perubahan pada akhlak dan pemikiran umat Islam agar bergerak seiring ke arah yang lebih baik.
Firman Allah SWT di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ(١١٠)
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
(Surah Ali ‘Imran 3:110)
Tarikh Bacaan: 1 Muharam 1447H | 27 Jun 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment