Lahn Dalam Solat, Adakah Sah Solat Saya?

Soalan

Adakah sah solat selama ini kerana baru sedar terdapat kesalahan bacaan rukun qauli pada tahiyat akhir, Assalamualaika Ayyuhan Nabiyyu Warahmatullahi Wabarakatuh. Pada ayat (ayyuhan/اَيُّهَا النَّ ) saya membaca dengan ha bulat هَ sepatutnya ha pedas dan ayat (Wabarakatuh/وَبَرَكَاتُهُ) tapi saya membaca huruf ta pada huruf terakhir pada ayat wabarakatuh.

Adakah kesalahan saya itu merupakan lahn jali, jika lahn jali adakah sah solat saya selama ini kerana saya baru belajar?

Penjelasan

Kesalahan menukar huruf atau baris dalam bacaan tahiyat akhir (rukun qauli) merupakan lahn jali yang  menyebabkan solat tidak sah sekiranya tidak membetulkan semula bacaan tersebut. Oleh itu, solat tersebut wajib diulang semula.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara, seumpama dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld. 1 hlm. 141]

Rukun-rukun ini juga boleh kita pecahkan kepada 4 bahagian iaitu:

  1. Rukun Qauliyyah: Ianya ada 5 iaitu takbiratul ihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi SAW serta ke atas keluarga baginda, dan memberi salam.
  2. Rukun Fi liyyah: Ianya ada 6 iaitu berdiri, ruku’, I’tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tasyahhud akhir.
  3. Rukun Ma’nawiyyah: Hanya ada satu iaitu tertib.
  4. Rukun Qalbiyyah: Hanya ada satu iaitu niat.

[Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208-209]

Oleh itu, bacaan tasyahud akhir termasuk dalam rukun qauli yang memerlukan kepada bacaan yang tepat. Kesalahan atau “lahn” membaca tasyahud akhir boleh menyebabkan solat menjadi tidak sah.

Secara bahasa, lahn (لَحْن) bermaksud kesalahan dalam ucapan atau percakapan. Dalam konteks bacaan al-Quran, lahn merujuk kepada kesalahan dalam sebutan huruf, hukum tajwid atau makna ayat yang boleh menjejaskan keindahan dan kefasihan bacaan al-Quran. 

Ulama tajwid membahagikan lahn kepada dua kategori utama, iaitu lahn jali dan lahn khafi.

  1. Lahn jali adalah kesalahan yang berlaku pada lafaz sehingga menjejaskan struktur bacaannya dengan ketara, yang boleh dikenal pasti oleh para ulama qiraat serta orang awam sama ada mengubah makna atau tidak. Sebagai contoh, menukar satu huruf dengan huruf lain atau menukar satu harakat dengan harakat yang lain. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang  berat kerana mencacatkan makna dan struktur bacaan al-Quran.
  2. Lahn khafi adalah kesalahan yang berkaitan dengan kesempurnaan dalam sebutan. Kesalahan ini hanya dapat dikenal pasti oleh para pakar yang mahir sahaja dalam bidang ini yang orang awam sukar untuk menyedarinya. Sebagai contoh ketidaktepatan dalam mengawal panjang harakat bacaan (mad) seperti berkurang atau bertambah daripada kadar yang sepatutnya. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang ringan tetapi mencacatkan keindahan bacaan al-Quran. [Rujuk Qawa’id al-Tajwid ‘ala Riwayat Hafs ‘an ‘Asim, hlm. 44]

Berbalik kepada persoalan, membaca tasyahud akhir adalah termasuk dalam rukun qauli dengan bacaan yang paling ringkas adalah:

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ سَلَامٌ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ سَلَامٌ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِيْنَ أَشْهَدُ أَنْ لَّا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللَّهِ

Maksudnya: Segala penghormatan hanya bagi Allah. Selamat sejahtera ke atasmu wahai Nabi, begitu juga rahmat Allah dan segala keberkatan-Nya. Selamat sejahtera juga ke atas kami dan semua hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad utusan Allah.

Berdasarkan soalan, terdapat 2 kesalahan yang telah dilakukan ketika pembacaan tasyahud akhir:

Pertama: Membaca أيها dengan أيحا

Kedua: Membaca ورحمة الله وبركاته dengan  ورحمة الله وبركاتت

Kesalahan atau kesilapan yang dilakukan di sini termasuk dalam lahn jali iaitu kesalahan yang berat. Hal ini demikian kerana berlaku perubahan huruf yang menyebabkan kerosakan makna iaitu daripada huruf ه pada أيها kepada huruf ح serta daripada huruf ه pada وبركاته kepada huruf ت .

Oleh itu, sekiranya pembacaan tersebut tidak diulang semula dengan bacaan yang tepat ketika solat maka solatnya adalah tidak sah dan wajib diulang semula.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu alam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑