Manusia toksik adalah individu yang sering membawa aura negatif dalam perhubungan — suka memanipulasi, menghakimi, mementingkan diri, dan sukar diajak berbincang. Jenis-jenis ini hadir dalam kehidupan seharian kita, malah kadang-kadang tanpa sedar kita sendiri mungkin menyumbang racun melalui tingkah laku. Mari kenali 6 jenis perangai toksik yang perlu kita jauhi:
1. Si Tuan Hakim
Suka menghakimi apa sahaja yang anda kongsi, terutamanya perkara baik. Bila anda ceritakan impian, dia akan mencari alasan untuk meremehkan dan melemahkan semangat anda. Sifat ini biasanya berpunca daripada rasa rendah diri yang disembunyikan di sebalik ego tinggi. Elakkan berkongsi impian atau matlamat hidup dengan mereka — cukup sekadar berbual topik santai.
2. Si Negatif
Apa pun keadaannya, dia tetap akan nampak sisi buruk. Tak kira berapa banyak solusi yang dicadangkan, dia akan kekal dalam ‘mode mengeluh’. Jika anda sedang melalui waktu sukar, kehadiran Si Negatif akan menambahkan tekanan. Jauhkan diri jika boleh, atau hadkan interaksi jika dia adalah ahli keluarga.
3. Si Narsis
Segala-galanya tentang dia. Dia sentiasa betul, paling tahu, dan tidak boleh menerima teguran. Jika anda tidak setuju walaupun sedikit, dia akan merendahkan anda. Hadap dengan sabar atau nyatakan sempadan dengan jelas. Tetapi bersedialah, kerana Si Narsis sukar menerima perspektif orang lain.
4. Si Putar Belit
Jenis yang pandai memanipulasi dan hanya mencari untung dalam hubungan. Suka mengambil kesempatan — contohnya, pinjam duit tapi tak pulang, atau asyik minta tolong tapi tak pernah membalas budi. Jangan beri peluang kedua. Sekali cukup untuk menilai. Jika tidak berubah, putuskan hubungan.
5. Si Pura-Pura
Di media sosial dialah paling ‘sempurna’, tapi realitinya berbeza jauh. Tabiat membesar-besarkan atau berpura-pura mencipta tekanan sosial dan emosi. Tegur dengan baik, tapi jika tak berkesan, ‘mute’, ‘unfriend’ atau ‘unfollow’ demi kesihatan mental anda.
6. Si Gosip
Suka menyebar cerita orang, kadang ditambah perasa. Lelaki dan wanita sama sahaja. Mereka menyeronokkan pada awalnya, tapi boleh memecah-belahkan hubungan. Jangan berkongsi apa-apa peribadi dengan mereka, dan cuba tukar topik jika perbualan mula jadi negatif.
Kesimpulan
Manusia toksik boleh muncul dalam bentuk rakan, ahli keluarga, atau rakan sekerja. Tugas kita adalah menjaga sempadan dan kesihatan mental sendiri. Dan yang paling penting, kita juga harus muhasabah agar tidak menjadi salah satu daripada mereka.
Leave a comment