Setiap umat Islam tidak dibebani dengan apa-apa keperluan material dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita diberi sejumlah masa dan kesempurnaan akal untuk kita gunakan di dunia dalam mempersiapkan diri kita menuju Allah SWT. Dengan menggunakan hati dan jari, kita boleh berzikir kepada Yang Maha Esa, di mana-mana sahaja kita boleh bersolat kepada-Nya. Marilah kita bersama-sama melakukan amalan yang disarankan Al-Quran dan sunnah dalam kehidupan seharian agar kita sama-sama beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Dapatkan 8 kunci untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“…Kami (Allah SWT) lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
(Al-Qaf 50:16)
1. Zikir
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah Ar-Ra’d, 13:28)
Zikir ialah mengingati Allah SWT dengan melafazkannya melalui bacaan zikir dan doa. Mulakan dengan zikir yang ringkas seperti SubhanAllah (سُبْحَانَ ٱللَّٰهِ) (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (الحمد لله)(Segala puji bagi Allah), La ilaha illallah (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)(Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah) dan Allahu Akbar (الله أكبر) (Allah Maha Besar) dalam setiap perbuatan. Zikir juga dikenali sebagai ‘amal kebaikan yang kekal’.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
”Aku dianjurkan membaca subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar, lebih disukai dari apa–apa yang matahari terbit di atasnya”
(Riwayat Imam Muslim)
Pilihlah zikir kegemaran masing-masing yang khusus untuk dibaca ketika berada di rumah atau pilihlah zikir yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW untuk diamalkan kita seharian.
2. Solat
Kejayaan yang kita cari memanggil kita lima kali sehari. Nabi SAW bersabda:
“Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada Hari Akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya baik maka dia akan berjaya dan menang, jika solatnya rosak maka dia akan rugi serta menyesal.”
(Riwayat Imam Tirmizi)
Nabi Muhammad SAW biasa solat malam sehingga bengkak kaki Baginda. Aisyah r.a. bertanya,“Wahai Rasulullah, Apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni.” Lalu beliau menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”
(HR Muslim)
3. Istighfar
Diriwayatkan daripada Anas bahawa Nabi Muhammad SAW berkata:
“Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”
(Riwayat Imam Tirmizi)
Istighfar ialah perkataan Arab untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Taubat adalah satu amalan yang dicintai oleh Allah SWT kerana ia adalah cara manusia itu kembali kepada Allah SWT dengan cara yang indah dan merendah diri. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّابينَ
“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah Al-Baqarah, 2:222)
Apabila kita berusaha setiap hari untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik, kita mungkin tidak menyedari dosa yang telah kita lakukan. Namun, berkali-kali Allah mengampuni kita kerana Dia Maha Pengampun (Al-Ghafur), Maha Pemaaf (Al-‘Afuw) dan Maha Penerima Taubat (Al-Tawwab).
Sebesar mana pun dosa yang kita lakukan, jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Marilah kita memohon keampunan sebanyak mungkin dari Allah SWT. Berikut adalah salah satu daripada banyak doa yang boleh kita amalkan setiap hari:
أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
Aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepadaNya.
(HR Al-Bukhari, Muslim 4/2075)
4. Selawat
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
(HR Imam Muslim)
Terlalu banyak manfaat berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Berselawat juga merupakan salah satu cara yang paling digalakkan untuk kita menyatakan cinta kita terhadap Baginda SAW. Marilah kita saling mendorong untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW dengan berselawat sebanyak-banyaknya ke atas Baginda.
فَقُولُوا اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(HR Bukhari)
5. Luangkan Masa Berkualiti Bersama Keluarga
Luangkanlah lebih masa yang berkualiti dengan keluarga kita. Kita boleh menjamu ibu bapa, mengurut kaki mereka, berbakti kepada mereka. Kita boleh membaca buku dan bermain dengan anak-anak. Kita boleh berbual dan bergurau senda dengan adik-beradik kita dalam merapatkan silaturrahim dan akhirnya melakukan ibadah bersama orang-orang yang tersayang seperti solat berjemaah.
Uthman ibn Affan r.a melaporkan bahawa Nabi s.a.w. berkata, “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.”
(Riwayat Muslim 656)
6. Banyakkan Berdoa
Berdoa adalah cara yang sangat baik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perkara yang indah tentang berdoa untuk orang lain adalah, ianya juga memberi manfaat kepada kita. Abu Darda’ r.a melaporkan: Nabi Muhammad SAW bersabda,
“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.
(Riwayat Muslim 4914)
7. Bacalah Al-Quran
Banyak sekali faedah membaca Al-Quran. Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
(Riwayat al-Tirmizi 2910)
Ambillah peluang untuk mengisi sebanyak mungkin masa dengan Al-Quran. Cara terbaik untuk memastikan diri anda sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran ialah dengan membaca sekurang-kurangnya satu halaman selepas setiap solat.
8. Bersangka Baik Dengan Allah SWT
Sentiasalah mengingatkan diri kita untuk Husnudzon (bersangka baik) dan berfikiran positif. Lebih penting lagi, kita hendaklah bersangka baik dengan Allah SWT, Pencipta kita Yang Maha Pengampun.
Ingatkan diri anda tentang Hadis Qudsi ini:
“Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bersangka baik terhadap Allah SWT adalah soal hati. Bayangkan jika kita menghabiskan masa di rumah dengan membuat kerja, makan, bergelak ketawa bersama ahli keluarga sedangkan hati kita sentiasa berzikir dan terhubung dengan Allah SWT. Setiap titik kehidupan kita akan berserah kepada Yang Maha Kuasa.
Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan memberikan kita pertolongan dalam amal ibadah kita. Semoga Allah SWT mengurniakan kita kehidupan yang bahagia yang dipenuhi dengan syukur dan pelbagai kemudahan. Amin ya rabbal Al’amin.