أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ فَٱعْبُدِ ٱللَّهَ مُخْلِصًۭا لَّهُ ٱلدِّينَ(٢)
Maksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu dengan membawa kebenaran. Maka sembahlah Allah, dengan mengikhlaskan ketaatan dan agama hanya kepada-Nya.” (Surah Az-Zumar 39:2)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakwaan. Syukuri nikmat kehidupan dengan taat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Berikan seketika tumpuan kepada khutbah, hindari perkara-perkara lagha seperti tidur, berbual-bual dan berinteraksi dengan telefon bimbit. Mudah-mudahan kita meraih kesempurnaan ganjaran solat Jumaat yang dijanjikan.
Kita baru sahaja melangkah masuk ke tahun baru 1447 Hijrah. Menyedari betapa anugerah ini wajar disyukuri, khatib ingin mengajak sidang jemaah bermuhasabah untuk memperbaiki diri dengan menghayati khutbah bertajuk, “Menggalas Ikhlas, Kesempurnaan Dibalas”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Sesungguhnya, ikhlas menjadi roh kepada setiap amalan. Tanpa ikhlas, apa juga yang kita lakukan tiada nilai dan tidak layak mendapat ganjaran. Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah, bukan kerana pujian, sanjungan, gelaran atau habuan. Keikhlasan menjadikan amal yang walaupun hanya sebesar zarah, dinilai besar di sisi Allah. Renungi maksud firman Allah SWT yang menjadi mukadimah khutbah, menerusi Surah az-Zumar ayat 2, yang jelas menegaskan tuntutan ikhlas: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu dengan membawa kebenaran. Maka sembahlah Allah, dengan mengikhlaskan ketaatan dan agama hanya kepada-Nya.”
Para Tetamu Allah Yang Diberkati,
Keikhlasan sering runtuh lantaran kejahilan dan kelalaian. Penyakit hati tiga serangkai; riyak, ujub dan sum’ah adalah racun berbisa yang sering membunuh keikhlasan.
Riyak ialah rangsangan beramal untuk dilihat.
Ujub pula merasa takjub dan berbangga dengan amalan sendiri.
Sum’ah bermaksud beramal untuk didengari dan dipuji.
Sayunya bila melihat realiti umat hari ini, yang kian parah diserang penyakit yang kian membarah ini. Saban hari bergelumang dengan racun pemusnah amalan tanpa disedari. Bersama solat dan sedekah, kita teruja memuat naik foto dan video ke media sosial demi menagih perhatian dan menanti pujian. Menulis dan berbicara panjang tentang ‘amal kebajikan’ dengan tujuan meraih populariti, membantu golongan susah turut dipaparkan untuk menaikkan pengaruh diri dan melakukan amal kebajikan hanya untuk membina ujub di hati, tiada lagi niat ikhlas untuk meraih reda Allah. Sedarkah kita betapa amal-amal yang bersulam riyak, ujub dan sum’ah ini tiada nilai di sisi Allah dan amat merugikan?
Hadis Qudsi riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah bersabda bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Aku adalah Tuhan yang paling tidak memerlukan sekutu. Sesiapa yang melakukan sesuatu amal, lalu dia mensyirikkan Aku dengan selain-Ku, maka Aku tinggalkan dia dan sekutunya.”
Amati potongan terakhir ayat tadi, ‘maka Aku tinggalkan dia dan sekutunya.’ Sedarkah betapa kita semakin jauh ditinggalkan oleh Allah SWT akibat penyakit hati ini? Siapa lagi yang mampu memimpin kita untuk meraih bahagia setelah Allah meninggalkan kita?
Saudara-saudaraku Yang Dikasihi,
Realiti kehidupan hari ini menuntut kita untuk lebih berwaspada dan bersiap siaga. Tanpa keikhlasan, segala amalan bakal lenyap dan hilang daripada suratan amalan. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud bin Lubaid radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kalian ialah syirik kecil.” Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Riyak.” Allah ‘Azza wa Jalla akan berkata kepada mereka pada hari Kiamat, ketika manusia diberi balasan atas amalan mereka: “Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu meriyakkan kepada mereka di dunia, lalu lihatlah, adakah kamu dapati balasan di sisi mereka?”
Begitulah nasib mereka yang tenggelam dengan riyak. Sudahlah semua amalan lenyap tanpa ganjaran, dihalau pula oleh Allah SWT untuk mencari mereka yang diharapkan balasan. Pastinya, tiada siapa pun yang akan mampu memberi pertolongan apatah lagi memberi ganjaran. Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah gambaran nasib mereka di akhirat. Malah lebih mengerikan dengan realiti di sana, ‘sesudah terusir, dihumban ke neraka’. Wal’iyadzu billah.
Saudara-saudaraku yang Dikasihi,
Marilah kita kembalikan keikhlasan, lantaran amalan kita memang untuk dipersembahkan buat المَنَّان (al-Mannan, Maha Memberi Kurniaan) Tiada yang kita perolehi daripada riyak, sum’ah dan ujub, selain kehinaan dan kecelakaan. Yakinlah bahawa keikhlasan pasti membuahkan keberkatan, menenangkan jiwa, melahirkan kejujuran dan istiqamah dalam amalan. Tanpa ikhlas, hati kecewa bila tidak dipuji, amal terhenti bila tidak diperhatikan. Justeru, mari kita bangun untuk menggalas keikhlasan dengan beberapa panduan berikut:
Pertama, sedarlah betapa Allah sentiasa memerhatikan kita. Jadikan muraqabah (kesedaran bahawa Allah melihat kita) sebagai bekalan dalam setiap amal.
Kedua, sembunyikan amal seboleh mungkin. Terbukti, amal yang disembunyikan lebih hampir kepada keikhlasan. Namun, jika ada keperluan untuk memaparkan amalan, pastikan niat ikhlas dipelihara. Niatkan paparan kerana tujuan dakwah, atau sebagai qudwah iaitu teladan yang baik untuk dicontohi.
Ketiga, Jauhi pujian dan sanjungan yang berlebihan. Hakikatnya, pujian seringkali menjadi pencetus penyakit riyak, sum’ah dan ujub.
Di samping itu, berdoalah agar Allah mengurniakan kepada kita keikhlasan. Imam al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad meriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW mengajarkan doa berikut
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ
Bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui”
Tarikh Bacaan: 8 Muharam 1447H | 4 Julai 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment