Ada satu ungkapan yang ringkas tetapi luar biasa: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ “Bismillahirrahmanirrahim.” atau pendeknya ““Bismillah” Kita diajar sejak kecil untuk menyebutnya sebelum makan, sebelum belajar, sebelum keluar rumah — bahkan sebelum melakukan apa jua perkara dalam kehidupan. Tetapi semakin dewasa, semakin ramai antara kita yang terlupa atau mengambil ringan tentang kekuatan lafaz ini.
Basmalah bukan sekadar pembuka kata. Ia adalah pengikat hati kepada Tuhan. Lafaz ini membawa makna kita meletakkan seluruh pengharapan kepada Allah SWT – Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang – sebelum memulakan sebarang urusan dunia mahupun akhirat. “Dengan nama Allah…” kita memulai segala perbuatan.
Mengapa Perlu Basmalah?
كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ
Maksudnya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.
Riwayat Ibnu Majah (1894)
Lihat betapa besarnya kesan sebuah lafaz. Sesuatu perkara, walaupun betul caranya, boleh kehilangan keberkatan jika tidak dimulai dengan niat yang jelas dan nama Allah SWT. Dalam dunia yang serba pantas dan mengejar hasil, kita kadangkala lupa bahawa keberkatan itu jauh lebih bernilai daripada kejayaan yang kosong.
Basmalah Menenangkan Jiwa
Setiap kali kita menyebut bismillah, kita sedang memusatkan perhatian — bukan sahaja kepada tindakan yang akan dilakukan, tetapi kepada niat sebenar di sebaliknya. Ia menenangkan jiwa yang gementar, memperbetulkan langkah yang tergesa-gesa, dan mendamaikan hati yang resah. Dalam dunia kerja, dalam rumah tangga, dalam pelajaran — lafaz ini menjadi pelindung dan pembimbing.
Dalam Hal Sekecil dan Sebesar Apa Pun
Bukan hanya sebelum mesyuarat besar atau ucapan penting — bahkan sewaktu menulis e-mel, menjawab mesej, memasak, menjemur pakaian, atau membasuh pinggan pun, lafaz basmalah sangat digalakkan. Ini kerana dalam Islam, tiada perkara yang terlalu remeh jika diniatkan kerana Allah. Basmalah menjadikan setiap urusan harian kita satu bentuk ibadah, satu amal soleh yang mengundang pahala dan reda-Nya.
Mendidik Diri dan Keluarga
Jadikan basmalah budaya dalam keluarga. Ajarkan anak-anak menyebutnya sejak kecil, bukan dengan paksaan, tetapi dengan pemahaman. Terangkan bahawa menyebut nama Allah bukan hanya membuat sesuatu jadi “halal”, tetapi juga menjadikan kita lebih sedar diri, lebih beradab, dan lebih bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan.
“Bismillah” adalah kunci keberkatan. Ia membina hubungan antara manusia dan Pencipta sebelum apa jua tindakan dilakukan. Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, lafaz ini menjadi benteng dan petunjuk. Mulakan segala urusan dengan bismillah – dan lihat bagaimana Allah membuka pintu-pintu yang tak terjangka.
Kerana bila kita mulakan dengan Allah, kita serahkan urusan itu pada pemilik segala kejayaan.
Leave a comment