Oleh: Mymuslimin.com
Kita sering mengagumi individu yang mempunyai keyakinan diri. Mereka kelihatan berupaya melakukan pelbagai perkara dan sering dikaitkan dengan kejayaan. Namun, hakikatnya, ramai remaja dan orang dewasa menghadapi isu kurang keyakinan diri.
Menurut kajian oleh Haircarebear, hampir 1 daripada 3 remaja di Malaysia melaporkan mengalami masalah keyakinan diri, khususnya yang berkaitan dengan penampilan. Statistik ini menunjukkan bahawa isu kurang keyakinan semakin meluas, terutamanya apabila dikaitkan dengan cara remaja melihat diri mereka melalui media sosial.
Dengan akses yang kerap kepada media sosial, remaja cenderung membandingkan diri mereka dengan gambar, gaya hidup, dan penampilan rakan sebaya atau influencer yang mereka lihat dalam talian. Walaupun kebanyakan kandungan yang dikongsi hanyalah versi yang ditapis dan terpilih, ramai remaja menganggap itulah realiti.
Mereka juga sering mengaitkan nilai diri dengan jumlah ‘like’, komen, atau perkongsian. Apabila interaksi yang diterima rendah, ia boleh melemahkan keyakinan dan persepsi terhadap diri sendiri. Ramai juga bergantung kepada pujian serta pengiktirafan dari luar, dan mula berasa kosong apabila tidak mendapatnya sedangkan penghargaan sebenar sepatutnya datang dari dalam diri sendiri.
Keyakinan diri bukanlah sesuatu yang hadir secara semula jadi sejak lahir. Ia perlu dibina dan diperkukuh melalui usaha berterusan. Individu yang memiliki keyakinan diri cenderung menghadapi cabaran dengan lebih tenang, membuat keputusan dengan yakin, dan berani tampil ke hadapan dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dalam kerjaya, perhubungan mahupun pembelajaran.
Berikut ialah lima cara praktikal untuk menyemai dan meningkatkan keyakinan diri dalam kehidupan seharian:
1. Ubah Cara Kita Bercakap dengan Diri Sendiri
Segalanya bermula dari dalam. Suara hati kita memainkan peranan besar dalam membentuk cara kita melihat diri sendiri. Jika kita sentiasa merendah diri, mempersoalkan kebolehan atau hanya fokus pada kelemahan, maka keyakinan sukar untuk tumbuh malah yang sedikit itu pun akan layu jika sering direndah-rendahkan.
Daripada terus memberitahu diri bahawa kita “biasa-biasa” sahaja, apa kata mulakan latihan ini setiap hari:
Ucapkan kata-kata positif seperti:
“Aku boleh belajar benda ni. Tak susah mana pun!”
“Aku berani cuba benda baru.”
“Aku juga boleh cemerlang dan berjaya macam orang lain.”
Kalau bukan kita yang menyayangi dan mempercayai diri sendiri, siapa lagi?
2. Mulakan dengan Langkah Kecil
Keyakinan dibina melalui tindakan, bukan sekadar pemikiran. Ambillah langkah-langkah kecil untuk keluar dari zon selesa. Contohnya, memperkenalkan diri kepada orang baru, bertanya soalan dalam kelas, atau mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan. Perlu diingat bahawa setiap kejayaan kecil ialah batu asas kepada keyakinan yang lebih besar.
3. Jaga Penampilan dan Bahasa Tubuh
Cara kita berdiri, berjalan, dan berpakaian boleh mempengaruhi bagaimana kita rasa tentang diri sendiri. Berdiri tegak, senyum, dan pandang mata orang apabila bercakap, semua ini memberi isyarat kepada minda bahawa kita bersedia dan yakin.
Jangan selekeh dalam berpakaian. Pilih pakaian yang membuat kita rasa selesa dan segar. Bila selesa, kita akan lebih yakin secara automatik dan orang yang mendekati kita juga selesa dengan penampilan diri kita.
4. Fokus pada Kekuatan dan Pencapaian
Ramai orang terlalu fokus pada kekurangan sehingga lupa tentang pencapaian diri sendiri. Luangkan masa untuk mengenal pasti kekuatan diri dan meraikan kejayaan walaupun sekadar menyiapkan tugasan tepat pada waktunya. Setiap langkah kecil ke hadapan ialah bukti bahawa anda mampu melakukan sesuatu dengan baik.
5. Jangan Bandingkan Diri dengan Orang Lain
Setiap orang ada proses dan rentak mereka sendiri. Membandingkan diri dengan orang lain secara berlebihan hanya akan melemahkan semangat sahaja. Sebaliknya, bandingkan diri anda hari ini dengan diri anda semalam.
Jika semalam anda ragu-ragu, dan hari ini anda lebih berani, itu adalah satu kemenangan.
Sokongan Keluarga Penting dalam Membina Keyakinan Diri
Selain usaha individu, peranan ibu bapa dan ahli keluarga turut memainkan peranan penting dalam menyemai keyakinan diri, terutamanya ketika anak-anak sedang membesar. Persekitaran keluarga yang menyokong dan memberi kasih sayang tanpa syarat membentuk asas yang kukuh untuk rasa percaya diri. Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang menerima mereka seadanya, bukan semata-mata kerana pencapaian akan lebih mudah melihat diri mereka sebagai seseorang yang bernilai dan berkemampuan.
Kata-kata yang diucapkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga memberi kesan yang sangat mendalam dalam pembentukan keyakinan diri seseorang. Bahasa yang positif dan membina membantu menyemai keyakinan, manakala kata-kata yang merendahkan, membandingkan atau menghukum boleh meninggalkan luka emosi yang mengganggu harga diri dalam jangka panjang.
Elakkan daripada mengeluarkan kata-kata seperti:
“Ini pun tak tahu buat?”,
“Apa sajalah yang kau tahu?”,
“Lembik betul, apa suruh pun tak boleh!”
Sebaliknya, gantikan dengan mesej yang lebih membina dan memberi galakan seperti:
“Apa kata kita cuba cara ni?”,
“Cuba tengok YouTube, mungkin ada tutorial yang boleh bantu.”,
“Ini dah bagus, tapi abang/adik boleh buat lagi hebat, kan abang pandai!”
Kata-kata yang menyokong bukan sahaja membina keyakinan, tetapi juga menggalakkan sikap ingin belajar dan mencuba sesuatu yang baru tanpa takut dihukum.
Di samping itu, keluarga boleh memainkan peranan dengan memberi ruang kepada anak-anak untuk bersuara dan membuat keputusan, walaupun dalam perkara kecil. Apabila pandangan mereka dihormati di rumah, mereka akan lebih yakin untuk menyuarakan pendapat di luar rumah.
Kegagalan juga tidak sepatutnya ditakuti atau dihukum dengan keras, tetapi dilihat sebagai peluang untuk belajar. Keyakinan diri bukan terbentuk kerana tidak pernah gagal, tetapi kerana seseorang tahu bahawa dia mampu bangkit selepas kegagalan.
Lebih penting lagi, ibu bapa dan ahli keluarga perlu menunjukkan teladan yang baik. Anak-anak belajar bukan hanya melalui nasihat, tetapi melalui pemerhatian terhadap bagaimana orang dewasa di sekeliling mereka mengurus tekanan, menyelesaikan masalah, dan bercakap tentang diri sendiri. Jika mereka melihat orang dewasa berani mengakui kesilapan, yakin dengan kekuatan diri, dan sentiasa bersikap terbuka untuk belajar, maka nilai-nilai ini akan turut meresap dalam diri mereka.
Ringkasnya, keyakinan diri bukan sahaja dibina melalui latihan individu, tetapi juga melalui kasih sayang, penerimaan dan sokongan berterusan daripada keluarga. Ia adalah benih yang ditanam sejak awal — dan keluarga adalah tanah pertama yang menentukan sama ada benih itu akan tumbuh subur atau layu sebelum berkembang.
Kesimpulan
Keyakinan diri bukan sesuatu yang hanya dimiliki oleh golongan tertentu. Ia boleh dibina oleh sesiapa sahaja yang bersedia untuk mengenal diri, berlatih, dan tidak mudah berputus asa. Dengan lima langkah ini, anda sedang bergerak ke arah versi diri yang lebih kuat, lebih berani dan lebih yakin.
“Yakin bukan bermakna kita tahu segalanya, tapi kita percaya kita mampu belajar apa sahaja yang perlu.”
Leave a comment