Oleh: Mymuslimin.com
Pernah dengar tentang istilah “Kaedah Sandwich”? Ia adalah satu teknik komunikasi yang sangat berguna, terutama apabila kita ingin menegur atau memberi maklum balas tanpa melukakan hati orang lain.
Dalam kehidupan seharian sama ada di tempat kerja, dalam keluarga, atau pergaulan sosial memberi maklum balas yang jujur dan membina sangat penting. Namun begitu, ramai yang berasa serba salah untuk menegur kerana takut menyinggung perasaan atau merosakkan hubungan.
Ramai sebenarnya yang menegur secara semberono, tanpa mempertimbangkan kesannya terhadap emosi orang yang ditegur. Pengurus di pejabat sering meninggi suara mengkritik staf, bos di pejabat juga tak kurang kasarnya bila memberi maklum balas. Suami isteri juga tidak pandai berkomunikasi dan kemudiannya terbawa kepada komunikasi dengan anak-anak.
Dalam usaha kita semua memperbaiki cara berkomunikasi, mari kita kenali dan amalkan kaedah ‘Sandwich’, satu pendekatan yang lembut namun berkesan untuk menyampaikan kritikan tanpa menjatuhkan semangat seseorang.
Apa Itu Kaedah Sandwich?
Kaedah ini dinamakan ‘Sandwich’ kerana maklum balas yang ingin disampaikan diapit oleh dua unsur positif, seolah-olah seperti roti yang membalut inti di tengah-tengah.
Langkah-langkahnya:
1. Mulakan dengan pujian atau pengiktirafan.
Kenali usaha, niat baik, atau aspek yang telah dilakukan dengan baik. Ini membantu membuka hati penerima dan menjadikan mereka lebih bersedia untuk menerima teguran.
Contoh: “Cepat awak siapkan tugasan ni, memang nampak komited.”
2. Sampaikan maklum balas membina atau teguran secara profesional.
Gunakan nada yang tidak menyerang peribadi dan fokus kepada tindakan, bukan individu.
Contoh: “Cuma kalau boleh, semak semula susunan laporan supaya lebih tersusun dan mudah difahami.”
3. Akhiri dengan dorongan atau keyakinan.
Tutup maklum balas dengan galakan, keyakinan terhadap kebolehan mereka, atau tawarkan bantuan.
Contoh: “Saya yakin awak boleh hasilkan yang lebih baik. Kalau perlu bantuan, jangan segan jumpa saya.”
Kaedah ini bukan bertujuan untuk ‘sugarcoat’ atau memaniskan kritikan semata-mata, tetapi untuk mewujudkan suasana komunikasi yang selamat, terbuka, dan membina. Maklum balas sepatutnya membantu seseorang berkembang, bukan melemahkan keyakinan diri.
Boleh Diguna di Rumah Juga!
Kaedah ini bukan hanya sesuai di tempat kerja, malah boleh digunakan dalam keluarga sama ada dengan pasangan atau anak-anak.
Contoh dengan suami:
Situasi: Suami lupa buang sampah
Pujian: “Terima kasih sebab semalam abang dah bersihkan tandas dan kipas. Memang lega rasa bila rumah bersih.”
Teguran: “Cuma pagi tadi abang terlupa buang sampah ya? Saya balik tadi ada bau sikit dekat dapur.”
Dorongan: “Saya tahu kita dua-dua sibuk, tapi kalau boleh, sampah kita cuba buang setiap pagi sebelum pergi kerja. Kita sama-sama jaga rumahkan?”
Contoh dengan anak:
Situasi: Anak tak kemas tempat tidur
Pujian: “Wah, sekarang adik dah pandai urus barang sekolah sendiri. Itu tanda adik dah semakin besar.”
Teguran: “Cuma tempat tidur tu masih berselerak. Kalau kemas cepat-cepat lepas bangun tidur, bilik akan nampak lebih teratur dan tenang.”
Dorongan: “Siapa tak suka bilik bersih,kan? Kalau kemas selalu, mama boleh bantu hias bilik ikut citarasa adik pula!”
Kesimpulan
Maklum balas yang baik bukan hanya tentang apa yang kita sampaikan, tetapi bagaimana kita menyampaikannya. Dengan menggunakan kaedah ‘Sandwich’, kita bukan sahaja membantu orang lain berkembang secara positif, malah turut membina hubungan yang lebih kukuh, saling menghormati, dan menyenangkan kedua-dua pihak. Memanglah pelik pada mulanya tetapi jika kita tidak memperbaiki cara kita sendiri, siapa yang akan melakukannya?
Kadangkala, cara kita menyampaikan teguran lebih penting daripada teguran itu sendiri. Perbaiki komunikasi kita setiap hari untuk hidup yang lebih aman dan selesa.
Leave a comment