أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍۢ (٤٩)
“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).”
(Surah Al-Qamar 54:49)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan-Nya. Khatib berpesan kepada jemaah sekalian agar memberikan sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan dan jauhilah perbuatan sia-sia seperti berbual- bual, bermain telefon bimbit dan seumpamanya sepanjang khutbah disampaikan.
Marilah kita bersama-sama menghayati khutbah yang bertajuk, “Mengimani Qadar, Rahsia Berjiwa Besar.”
Sidang Jemaah yang berbahagia,
Dalam kehidupan yang serba tidak menentu ini, ramai yang tercari-cari makna, harapan, dan pegangan yang kukuh untuk terus bertahan. Ada yang tersungkur dalam tekanan hidup, ada pula yang larut dalam kecewa dan marah terhadap keadaan yang menimpa. Di sinilah letaknya keperluan kita untuk kembali kepada asas keimanan, khususnya beriman kepada takdir Ilahi, iaitu qada’ dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Qamar, ayat 49 yang dibacakan pada permulaan khutbah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” Iman kepada takdir merupakan rukun iman yang keenam, dan ia menjadi asas kukuh dalam akidah Islam. Tanpanya, seseorang akan mudah goyah dalam menghadapi realiti kehidupan.
Hadirin Jumaat yang dikasihi sekalian,
Takdir bermaksud ukuran, ketetapan, atau keputusan. Ia merujuk kepada ketentuan Allah SWT terhadap segala sesuatu yang berlaku, sama ada baik mahupun buruk, berdasarkan ilmu-Nya yang Maha Sempurna. Keimanan kepada takdir mencakupi empat perkara utama, iaitu; ilmu Allah, penulisan di Lauh Mahfuz, kehendak-Nya, dan ciptaan-Nya terhadap segala sesuatu termasuk perbuatan manusia.
Firman Allah SWT menerusi Surah al-Taubah, ayat 51:
قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ(٥١)
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami dan kepada Allah hendaklah orang-orang beriman bertawakal.’”
(Surah al-Taubah 9:51)
Keimanan kepada takdir bukanlah penghalang untuk berusaha, bahkan ia menjadi penawar kepada kegusaran jiwa. Ia membantu seseorang memahami bahawa semua yang berlaku berada dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah. Dengan itu, orang yang beriman akan melihat bahawa ujian itu bukanlah hukuman, sebaliknya merupakan suatu penyucian dan peluang untuk kembali.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Beriman dengan qadar mengajar kita erti reda. Reda bukanlah tanda kelemahan, bahkan ia adalah kekuatan rohani yang lahir daripada jiwa yang tenang dan hati yang yakin kepada Tuhan. Reda bukan bererti putus asa atau berhenti berusaha, sebaliknya ia adalah tanda kematangan iman yang menerima ketentuan Allah dengan sabar dan rela.
Imam al-Tirmizi meriwayatkan, daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu bergantung kepada besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka sesiapa yang reda, baginya keredaan Allah, dan sesiapa yang marah, maka baginya kemurkaan Allah.”
Dengan keimanan sebegini, seseorang tidak akan menyalahkan takdir apabila gagal, dan tidak pula menjadi takbur apabila berjaya. Sebaliknya, dia akan tetap bersyukur dalam nikmat, bersabar dalam ujian, dan terus istiqamah dalam setiap langkah kehidupannya. Baginya, segala yang ditentukan Allah pasti terselit hikmah, walau pun belum difahami oleh akal yang terbatas.
Hadirin Muslimin yang dimuliakan,
Mengimani takdir Ilahi adalah asas penting dalam membina jiwa mukmin yang sabar, kuat dan tenang. Ia tidak membunuh usaha, bahkan membentuk keyakinan yang seimbang antara ikhtiar dan tawakkal, antara perancangan dan ketentuan, antara usaha dunia dan persiapan akhirat. Usaha masih tetap diperlukan, tetapi natijah berada di tangan Allah.
Apabila kita benar-benar mengimani takdir, kita tidak akan pernah merasa terlalu kecewa, dan tidak pula terlalu bangga. Hati menjadi lebih tenang, tidak mudah panik atau kecewa apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Kita hanya akan menjadi hamba yang reda dan berserah, kerana kita tahu, setiap yang Allah SWT takdirkan itu pasti tidak sia-sia. Imam Muslim meriwayatkan daripada Suhaib radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik. Hal itu tidak berlaku melainkan bagi orang mukmin sahaja. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur (maka itu baik baginya). Jika dia ditimpa musibah, dia bersabar (maka itu juga baik baginya).”
Mengimani takdir Ilahi membentuk kekuatan rohani yang luar biasa dalam diri seorang mukmin. Sifat sabar dan reda yang lahir daripada kefahaman tentang qada’ dan qadar menjadikan seseorang lebih matang dan tenang dalam menghadapi cabaran hidup. Tidak goyah apabila diuji, kerana jiwanya yakin bahawa setiap ujian membawa hikmah dan nilai pahala di sisi Allah.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Realiti kehidupan masa kini menunjukkan masyarakat masih belum memahami konsep takdir secara seimbang dan tepat menurut panduan Islam. Ada yang menjadikan takdir sebagai alasan untuk tidak berusaha, seolah-olah kegagalan itu sesuatu yang sudah tertulis dan tidak boleh diubah. Sikap ini membawa kepada rasa putus asa, bahkan ada yang larut dalam kemurungan sehingga sanggup menyalahkan takdir atau mempertikai keadilan Tuhan secara terbuka.
Lebih membimbangkan, ada yang tergelincir ke arah kepercayaan karut seperti tilik nasib, ramalan bintang, mengambil tanah kubur dengan tujuan untuk dijadikan sebagai pendinding atau mengharapkan tuah serta pergantungan kepada bomoh untuk mengubah nasib, sekali gus mencemarkan akidah.
Dalam pada itu, wujud pula sikap menerima takdir dan membanding-bandingkan rezeki dan kehidupan orang lain tanpa ada sebarang usaha, dan ikhtiar bahkan meragui keadilan Allah. Takdir disalah erti sebagai nasib malang yang mesti ditelan. Sedangkan setiap individu diuji mengikut keupayaan dan bahagian masing-masing.
Para tetamu Allah yang dirahmati Allah,
Semua hal yang dinyatakan tadi menunjukkan betapa perlunya masyarakat dididik semula dengan pemahaman yang benar terhadap konsep qada’ dan qadar bahawa takdir bukan untuk ditakuti atau dijadikan alasan kelemahan, tetapi difahami sebagai satu ketentuan Ilahi yang penuh hikmah, menuntut usaha, tawakkal, reda dan pergantungan yang jujur kepada Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita perlu membina kefahaman yang betul tentang takdir, lalu menjadikannya asas pembinaan jiwa dan motivasi hidup. Antara pedoman yang boleh dipegang ialah; berusahalah sebaik mungkin, kemudian bertawakal dan reda. Didiklah hati supaya sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. Selain itu, kita juga hendaklah memahami bahawa kejayaan dan kegagalan itu, kedua-duanya adalah ujian daripada Allah SWT.
Janganlah kita cenderung membanding-bandingkan rezeki, tetapi syukurilah apa yang ada. Sesungguhnya, doa dan taubat boleh mengubah takdir muallaq, maka janganlah kita mudah putus asa. Didiklah anak-anak dan generasi muda supaya memahami, hidup ini berasaskan usaha, bukan nasib semata-mata. Jadikan iman kepada takdir itu sebagai terapi rohani, penawar kepada kegelisahan dan depresi.
Tarikh Bacaan: 15 Muharam 1447H | 11 Julai 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan,
Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment