Soalan
Sejak kebelakangan ini, aktivisme dalam kalangan penuntut di beberapa universiti luar negara dilihat semakin giat menjalankan kempen kesedaran untuk membanteras kezaliman terhadap haiwan. Antara dakwaan utama yang diketengahkan adalah bahawa krisis global seperti perubahan iklim dan pemanasan dunia berpunca daripada tabiat pemakanan manusia yang berasaskan daging.
Lebih membimbangkan, terdapat kelompok tertentu yang bersikap lebih agresif dengan cuba melarang individu lain daripada membeli makanan berasaskan daging, termasuk makanan halal. Malah, sebahagian penuntut Muslim yang terlibat aktif dalam gerakan ini turut menyatakan bahawa produk makanan yang berasaskan daging wajar diharamkan, atas dasar pemeliharaan alam sekitar dan kebajikan haiwan.
Situasi ini menimbulkan persoalan penting: Apakah hukum mengharamkan makanan halal yang berasaskan daging disebabkan oleh faktor alam sekitar dan kesejahteraan haiwan?
Penjelasan
Hukum mengharamkan pengambilan makanan berasaskan daging yang halal adalah haram kerana bercanggah dengan perintah Allah SWT. Perbuatan sedemikian disifatkan sebagai melampaui batas kerana mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh-Nya. Secara asasnya, syariat Islam mengharuskan pengambilan makanan berasaskan daging selain daripada haiwan yang diharamkan seperti khinzir, anjing, kacukan antara kedua-duanya, bangkai haiwan dan lain-lain.
Pelaksanaan kempen atau program yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap haiwan dan pemeliharaan alam sekitar bertepatan dengan perintah syarak yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di bumi. Namun pada masa yang sama, kempen tersebut mestilah dilaksanakan secara adil iaitu dalam kerangka yang harmoni dengan turut mengambil kira perspektif hukum syarak. Antaranya tidak mengharamkan perkara-perkara yang jelas halal menurut Islam.
Daging merupakan salah satu sumber makanan yang membekalkan sumber protein kepada tubuh manusia. Pengambilan daging merujuk kepada amalan memakan daging yang berasal daripada haiwan seperti lembu, ayam, kambing, dan ikan. Ia merupakan komponen penting dalam banyak diet di seluruh dunia yang menyumbang kepada aspek budaya, pemakanan dan ekonomi dalam masyarakat. Namun sejak akhir-akhir ini, kesan pengambilan daging secara berleluasa turut meninggalkan impak negatif terhadap krisis alam sekitar yang berpunca daripada pengeluaran gas rumah hijau, pembalakan yang tidak terkawal, pencemaran air serta udara.
Hal ini kemudiannya melahirkan golongan yang berjuang menentang penindasan terhadap haiwan melalui penternakan, pembinaan rumah penyembelihan dan perkilangan. Antara bentuk perjuangan golongan ini termasuk menggalakkan pengambilan makanan berasaskan tumbuhan. Namun terdapat juga segelintir dalam kalangan mereka yang menggunakan pendekatan keras dengan melarang atau mengharamkan secara terus makanan berasaskan daging haiwan.
Berdasarkan persoalan di atas, secara asasnya Allah SWT melarang orang beriman daripada mengharamkan perkara-perkara yang halal kerana ia termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas. Berdasarkan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-Ma’idah 5:87)
Menurut Imam al-Tabari, Allah SWT tidak menyukai golongan yang melampaui batas iaitu menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal. Hal ini kerana perbuatan sedemikian melanggar segala batasan yang telah ditetapkan ke atas hamba-Nya. Dalam menghuraikan maksud daripada ayat ini, Imam al-Qurtubi t memperincikan perintah agar tidak melampaui batas tersebut merujuk kepada pendekatan yang ekstrim iaitu bersifat terlalu keras hingga mengharamkan perkara yang halal dan terlalu longgar hingga menghalalkan perkara yang haram.
Sementara itu, Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa Allah SWT telah menjelaskan mengenai penentuan hukum halal, haram dan harus terhadap sesuatu perkara menerusi dalil-dalil yang terkandung dalam al-Quran. Diriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA bahawa Baginda SAW bersabda:
الْحَلَالُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ
Maksudnya: “Setiap perkara yang halal ialah setiap yang dihalalkan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya. Manakala setiap perkara yang haram pula ialah setiap yang diharamkan oleh Allah SWT dalam kitab-Nya. Sementara perkara-perkara yang didiamkan adalah dimaafkan oleh-Nya.”
Riwayat Ibn Majah (2731)
Di samping itu, menggunakan pendekatan untuk mengharamkan sesuatu yang halal juga bercanggah dengan kaedah fiqh yang telah disusun oleh fuqaha. Berdasarkan kaedah:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus hingga terdapat dalil yang menunjukkan terhadap haram.”
Pada asalnya, pelaksanaan kempen atau gerakan untuk memperjuangkan agenda pemeliharaan terhadap haiwan dan alam sekitar merupakan sesuatu yang diiktiraf oleh syarak. Hal ini kerana terdapat dalil dalam al-Quran yang menjelaskan larangan terhadap manusia daripada melakukan kerosakan di bumi sama ada di daratan mahupun di lautan. Allah SWT berfirman:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.”
(Surah al-Rum 30:41)
Walau bagaimanapun, golongan yang menjayakan agenda tersebut lebih-lebih lagi dalam kalangan muslim perlu mematuhi garis panduan tertentu. Antaranya adalah bersifat adil dengan turut mengambil kira perintah dan larangan daripada Allah SWT yang lain. Hal ini bagi mengelakkan daripada tindakan yang berlebih-lebihan dan melampaui batas hingga mengubah ketetapan syarak seperti mengharamkan perkara yang halal ataupun menghalalkan perkara yang halal. Tindakan yang berasaskan emosi ataupun rasional semata-mata akan menghasilkan natijah yang buruk dalam kehidupan.
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, hukum mengharamkan pengambilan makanan berasaskan daging yang halal adalah haram kerana bercanggah dengan perintah Allah SWT. Perbuatan sedemikian disifatkan sebagai melampaui batas kerana mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh-Nya.
Secara asasnya, syariat Islam mengharuskan pengambilan makanan berasaskan daging selain daripada haiwan yang diharamkan seperti khinzir, anjing, kacukan antara kedua-duanya, bangkai haiwan dan lain-lain.
Pelaksanaan kempen atau program yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap haiwan dan pemeliharaan alam sekitar bertepatan dengan perintah syarak yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di bumi. Namun pada masa yang sama, kempen tersebut mestilah dilaksanakan secara adil iaitu dalam kerangka yang harmoni dengan turut mengambil kira perspektif hukum syarak. Antaranya tidak mengharamkan perkara-perkara yang jelas halal menurut Islam.
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment