Oleh: Mymuslimin.com
Ramai di antara kita berkeinginan untuk solat berjemaah sama ada di masjid, surau, atau bersama keluarga di rumah. Tetapi cabarannya ialah bagaimana nak kekal istiqamah. Dalilnya jelas bahawa solat berjemaah itu lebih banyak fadilatnya berbanding solat sendirian.
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
Namun, disebabkan banyak faktor seperti kesibukan kerja, malas, rasa kurang semangat, ramai yang terlepas pahala berkali ganda yang dijanjikan.
Nak istiqamah dalam melakukan sesuatu ibadat bukanlah semudah yang disangka. Ramai yang mulakan, tetapi tidak meneruskan di pertengahan jalan kerana lelah dan faktor tertentu. Tapi janganlah risau, kerana istiqamah itu bukanlah tentang melakukan segalanya dengan sempurna di setiap masa, tetapi keinginan untuk terus berusaha ke arah yang dihajatkan.
Berikut kita cadangkan 4 cara mudah dan praktikal yang boleh bantu mengekalkan istiqamah solat berjemaah:
1. Niat & Azam yang Jelas
Segalanya bermula dengan niat. Tanamkan azam yang kuat dalam hati untuk menjaga solat berjemaah kerana Allah, bukan semata-mata kerana kawan, keluarga, atau rutin. Apabila kita mempunyai niat dan azam yang jelas, akan dipermudahkan segala urusan.
Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ(٦٩)
Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
(Surah Al-Ankabut 29:69)
2. Cari ‘Circle’ Yang Sama Matlamat
Dikelilingi rakan atau ahli keluarga yang sama-sama menjaga solat berjemaah akan sangat membantu. Bila ada sahabat yang ajak ke masjid atau ingatkan waktu solat, semangat lebih mudah dijaga. Seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:
“Seseorang itu akan mengikuti gaya kehidupan sahabatnya. Oleh kerana itu hendaklah kamu memilih dulu siapa yang patut dijadikan sahabat.”
(HR Abu Daud dan Tirmizi)
Apabila bergaul dengan mereka yang mementing solat berjemaah, insyaAllah kita sama semangat untuk melakukannya.
3. Pilih Masjid Yang Dekat & Mesra
Carilah masjid atau surau yang dekat dengan rumah atau tempat kerja. Bila perjalanan mudah, alasan pun makin kurang. Sesetengah masjid juga ada imam yang menyentuh hati dan jemaah yang mesra, ini semua bantu motivasi untuk terus datang. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا
Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.”
Riwayat Muslim (671)
Didik hati kita supaya dekat dengan masjid dengan menyantuni masjid yang berdekatan apabila sampainya waktu solat. Dengan ini, ianya dapat mendidik kita untuk terus istiqamah dalam melakukan solat berjemaah.
4. Kawal Jadual Harian
Susun aktiviti harian supaya solat jemaah menjadi ‘priority’, bukannya hanya apabila sempat. Contohnya, elakkan mesyuarat yang akan membawa sehingga ke Maghrib atau pastikan bangun awal agar sempat untuk solat Subuh berjemaah di masjid terdekat.
Makan tengahari juga perlu kita rancang supaya tidak terlalu lama dan komplikated sehingga terlepas peluang berjemaah di surau. Tanpa perancangan, agak kucar-kacir untuk menguruskan aktiviti harian dan ini akan menjadikan hal solat berjemaah hanya ‘bila sempat’.
Namun, apabila terlepas sekali dua peluang untuk solat berjemaah, janganlah terus kecewa dan tak mahu buat sudah. Istiqamah bukanlah bermaksud sempurna tapi tetap kembali walaupun ‘gagal’ berkali-kali.
“Amalan yang paling dicintai Allah adalah yang berterusan, walaupun sedikit.”
(HR Bukhari & Muslim)
Leave a comment